MIAMI | Miami, Florida (pend. 358 548; pend. kaw. met. 1 937 094) ialah bandar raya peranginan Amerika Syarikat yang terkenal di dunia. Kawasan rekreasinya dan cuaca yang panas menarik ramai pengunjung. Iklimnya yang menyegarkan telah menarik ramai pesara dari seluruh Amerika Syarikat berpindah ke sini. Walau bagaimanapun pada tahun 1990-an, serangan terhadap orang asing yang dilakukan oleh penjenayah tempatan yang mendapat publisiti besar-besaran, telah menjejaskan imej Miami sebagai sebuah pusat pelancongan. Miami terletak di Teluk Biscayne, di pantai tenggara Florida, iaitu di muara Sungai Miami, kira-kira enam kilometer ke barat Lautan Atlantik. | UMUM | |
LIBERIA | Liberia ialah sebuah negara di pantai barat Afrika. Ia merupakan negara merdeka yang kedua tertua di dunia yang kebanyakan penduduknya terdiri daripada warganegara kulit hitam. Negara merdeka yang tertua ialah Haiti. Liberia ditubuhkan pada tahun 1822 oleh hamba abdi yang telah dibebaskan dan dihantar ke sini oleh masyarakat penjajah di Amerika Syarikat. Hamba abdi yang dibebaskan ini disertai oleh hamba abdi lain yang dibebaskan daripada kapal hamba abdi yang menuju ke Amerika Syarikat. Nama Liberia berasal daripada perkataan Latin yang bermakna Tanah Bebas. | UMUM | |
OBERAMMERGAU | Oberammergau (pend. 4664) ialah kampung Bavaria yang terletak 72 kilometer ke barat daya Munich di selatan Jerman [lihat Jerman [(peta politik)]. Ia terkenal kerana persembahan Passion Play , yang biasanya diadakan sekali setiap 10 tahun. Pertunjukan dramatik ini, yang menarik beribu- ribu orang pelancong, memaparkan penderitaan dan kematian Jesus Christ. Penduduk di sini mengambil bahagian memainkan semua watak. Persembahan ini mula dipentaskan pada tahun 1634. | UMUM | |
SUNGAI YANGTZE | Sungai Yangtze, juga disebut Yangtze Kiang ialah sungai yang ketiga terpanjang di dunia dan yang terpanjang serta terpenting di China. Bagi kebanyakan penduduk China, Sungai Yangtze dikenali sebagai Chang Jiang, atau sungai panjang. Sungai ini berpunca dari Pergunungan Tanggula di Wilayah Qinghai, kira-kira 4880 meter di atas aras laut. Sungai itu mengalir ke timur, tenggara, dan kemudian ke selatan ke provinsi Yunan. Dari sini ia mengalir ke timur laut menyeberangi provinsi Sichuan (Szechwan), kemudian mengalir mengikut haluan yang tidak tetap ke timur melalui bahagian tengah China dan memasuki Laut China Timur, 6300 kilometer dari puncanya. Sungai Yangtze dan cabang sungainya mengairi kawasan seluas kira-kira 1 829 000 kilometer persegi. | UMUM | |
MURRUMBIDGEE | Murrumbidgee ialah sungai yang ketiga terbesar dalam sistem Sungai Murray-Darling di Australia. Ia mengalir sepanjang 32 kilometer dari Kiandra di Pergunungan Snowy di New South Wales. Ia mengalir ke utara melalui Canberra, kemudian ke barat sehingga bertemu dengan Sungai Lachlan, selepas bandar Hay. Di sini Sungai Murrumbidgee mengalir ke arah barat daya dan sampai ke Sungai Murray di sempadan Victoria. | UMUM | |
TAY | Tay ialah sungai yang terpanjang di Scotland yang mengalir sejauh 190 kilometer dari puncanya ke Laut Utara. Sungai ini berpunca sebagai Sungai Cononish di Ben Lui di Scotland Tengah dan mengalir melalui Strath Fillan. Kemudian sungai ini mengalir terus sebagai Sungai Dochart di celah gunung-ganang dan mengalir masuk ke Tasik Tay. Di sini sungai ini menjadi Sungai Tay dan mengalir berliku-liku melalui Aberfeldy, Dunkeld, dan Perth lalu masuk ke Teluk Tay. | UMUM | |
ABU NUWAS | Abu Nuwas (129 H.–198 H./747 M.– 814 M.), salah seorang penyair terkenal pada abad ke-2 H. Nama sebenarnya ialah al-Hasan ibn Hani’. Dia lahir di daerah al-Ahwaz, Iraq dan meninggal dunia di Baghdad. Ibunya juga kelahiran al-Ahwaz. Bapanya ialah seorang tentera Khalifah Marwan ibn Muhammad dan dia merupakan penduduk Damsyik. Abu Nuwas mempunyai dua orang saudara, iaitu Abu Muhammad dan Abu Mu‘adh. Ketika bapanya meninggal dunia, Abu Nuwas masih kecil dan berusia enam tahun. Setelah itu, dia dibawa oleh ibunya ke Basrah dan menyerahkannya kepada seorang penjual minyak wangi dan kemudian menghantarnya belajar di sebuah sekolah. Di sini dia mula mengenali seorang penyair yang suka berjenaka bernama Walibah ibn al-Habbab. Dia mendidik Abu Nuwas sehingga besar. | UMUM | |
POSUM | Posum ialah mamalia berbulu yang hidup di atas pokok di Australia, New Guinea dan pulau-pulau yang berhampiran. Posum adalah marsupial , iaitu haiwan betina melahirkan anak yang benar-benar tidak matang, yang melengkapkan pembesarannya semasa melekap pada puting ibunya. Seperti kebanyakan marsupial, anak posum membesar semasa dikendong ke sana sini dalam kantung pada abdomen ibunya. Posum dan oposum adalah marsupial, tetapi ia tidak berkaitan rapat. Posum berserta cuscus membentuk sekumpulan mamalia yang dikenali sebagai phalanger (lihat Cuscus ). | UMUM | |
NIFLHEIM | Niflheim adalah dunia orang yang telah meninggal dunia dalam mitologi Norse. Niflheim merupakan sebuah kawasan ais, kabus, dan kegelapan yang abadi. Dunia ini terletak di seberang Sungai Gjol, jauh ke utara Midgard, di mana manusia tinggal. Ketua dewa Odin membuang negeri dewi Hel ke Niflheim. Di sini dewi itu menjadi pemerintah alam baka, yang menempatkan roh mereka yang meninggal dunia kerana penyakit atau kerana tua. Roh pahlawan yang terbunuh dalam pertempuran pergi ke tempat yang disebut Valhalla. | UMUM | |
SUNGAI PARANÁ | Sungai Paraná ialah sungai kedua terpanjang di Amerika Selatan selepas Sungai Amazon. Panjangnya kira-kira 4000 kilometer. Sungai Paraná berpunca di selatan Brazil, iaitu pertemuan Sungai Rio Grande dan Sungai Paranaiba. Dari sini, Sungai Paraná mengalir ke selatan melalui Brazil dan sepanjang sempadan di antara Brazil dengan Paraguay. Kemudian sungai ini menjadi sempadan di antara Paraguay dengan Argentina dan mengalir melalui Argentina. Sungai ini masuk ke Lautan Atlantik melalui muara yang dikenali sebagai Sungai Plata (Rio de la Plata). Kapal boleh mudik melalui muara itu dan terus sampai ke Paraná sejauh Rosario, Argentina, iaitu 640 kilometer dari Lautan Atlantik. Sungai Paraguay ialah cabang utama Sungai Paraná. Lihat juga Rio de la Plata; Sungai Paraguay. | UMUM | |