SEVEN SLEEPERS OF EPHESUS | Seven Sleepers of Ephesus , menurut legenda purba, ialah tujuh remaja beragama Kristian yang telah melarikan diri ke kawasan pergunungan berhampiran Ephesus di Asia Kecil, untuk menyelamatkan diri daripada penganiayaan oleh Maharaja Decius pada tahun 251 M. Orang yang mengejar mereka telah menemui tempat persembunyian mereka dan menyekat jalan masuk ke situ. Dua ratus tahun kemudian, seorang penggembala terserempak dengan gua tersebut dan menemui ketujuh-tujuh remaja tersebut sedang nyenyak tidur. Apabila dia mengejutkannya, mereka mengatakan bahawa mereka baru tidur satu malam sahaja. Salah seorang daripada mereka pergi ke Ephesus untuk mencari makanan dan membayar dengan menggunakan duit syiling yang berusia 200 tahun. Remaja itu telah ditangkap kerana disyaki sebagai pencuri harta karun. Walau bagaimanapun, Maharaja Theodosius II percaya bahawa satu keajaiban telah berlaku dan membawa remaja itu dalam satu perarakan besar-besaran ke gua tersebut. Kemudian, dia membina sebuah gereja dan kawasan perkuburan yang besar di situ sebagai memperingati peristiwa itu. Ketujuh-tujuh lelaki itu hidup tidak lama. Kesemuanya meninggal dunia pada masa yang sama dan dikebumikan di tempat mereka pernah tidur. | UMUM | |
KUALA SELINSING | KUALA SELINSING, tapak arkeologi prasejarah akhir atau protosejarah awal. Kuala Selinsing di Pulau Kelumpang, Perak. I.H.N. Evans, orang pertama menjalankan ekskavasi pada tahun 1920-an dan tahun 1930-an menamakan tapak tersebut sebagai tapak Tanjung Rawa, Kuala Selinsing. Antara tahun 1988 hingga tahun 1990, beberapa penyelidik arkeologi dapat mengesan semula tapak tersebut dan menemuinya di dalam hutan paya bakau, Pulau Kelumpang. Tapak tersebut terletak dari Pelabuhan Sepetang, melalui Sungai Selinsing, sejauh lebih kurang 14 km. Jalan Sungai yang paling dekat ke situ melalui Kampung Selinsing atau dari Kuala Gula, sejauh lebih kurang 7 km. | SEJARAH DAN ARKEOLOGI | Bandar/Negeri/Negara/Tempat |
ABU HAMID AL-GHAZZALIY | Abu Hamid al-Ghazzaliy ialah pemidato Islam. Nama sebenarnya ialah Muhammad ibn Muhammad ibn Muhammad, Abu Hamid al- Ghazzaliy. Dia lahir di Tus. Bapanya meninggal dunia ketika dia masih kanak-kanak. Dia dipelihara beberapa lama oleh seorang sufi yang telah diwasiatkan oleh bapanya. Selepas itu, dia diletakkan di institusi kebajikan untuk tinggal dan belajar di situ. Kemudian, dia pergi ke Naysabur untuk mempelajari ilmu tasawuf dengan Imam al- Faramidi. Di samping itu, dia belajar ilmu fikah dan ilmu kalam dengan Imam al-Haramayn. Kemudian dia menyertai Majlis Diraja di bawah pemerintahan menteri Saljuk tahun 478 H. (1085 M.), dan kekal di situ selama enam tahun. Kemudian dia dipilih oleh menteri menjadi ustaz di Baghdad. Dia mengajar di situ selama empat tahun (484 H.–488 H.). Ketika tempoh tersebut dia mengalami keraguan tentang ilmu falsafah dan telah mengarang dua buah buku yang berjudul: Maqasid al-Falasifah , yang mengemukakan falsafah al-Farabiy dan Ibn Sina. Buku kedua berjudul Tahafut al-Falasifah , yang mengkritik tentang falsafah al-Farabiy dan Ibn Sina. Dia telah meninggalkan Baghdad, dan menjalani kehidupan zuhud selama 10 tahun. Kemudian, dia mengajar semula di Naysabur. Selepas tahun 500 H./ 1106 M., dia berhenti mengajar sehinggalah hari kematiannya. | UMUM | |
PERANG CROFTER | Perang Crofter ialah satu siri rusuhan petani di Scotland dari tahun 1882 hingga tahun 1888. Ramai penduduk di Tanah Tinggi Scotland yang tinggal di situ pada tahun-tahun sebelumnya telah diusir secara sistematik daripada kawasan tanah tengah oleh tuan tanah yang mahu memperkenalkan penternakan biri-biri ke kawasan itu. Mereka yang diusir telah membuka petempatan di bidang tanah yang dikenali sebagai croft. Banyak tanah croft ini terletak di pulau dan ada yang masih wujud hingga kini. Kemudian, tuan tanah mengambil lebih banyak tanah ladang untuk tujuan memburu rusa, dan menembak burung dan menghalau penyewa lain dengan mengenakan tunggakan sewa. Tindakan ini ditentang oleh penyewa tersebut. | UMUM | |
NEPTUN | Neptun ialah salah sebuah daripada dua buah planet yang tidak boleh dilihat tanpa menggunakan teleskop. Neptun terletak kira-kira 30 kali ganda jauh dari matahari berbanding dengan bumi ke matahari. Pluto ialah satu-satunya planet yang terletak lebih jauh dari matahari. Tetapi pada setiap 248 tahun, Pluto beredar ke dalam orbit Neptun untuk jangka masa selama 20 tahun, dan ketika itu ia terletak lebih dekat dengan matahari berbanding Neptun. Pluto merentasi orbit Neptun pada 23 Januari 1979 dan akan berada di situ sehingga 15 Mac 1999. | UMUM | |
SAVAGE | Savage ialah sebatang sungai di pergunungan barat laut Tasmania, Australia. Di sinilah terletaknya lombong bijih besi yang mengeluarkan hasil secara besar-besaran. Bijih besi gred rendah yang dikenali sebagai magnetit dikeluarkan daripada lombong dedah berhampiran sungai. Magnetit itu ditumbuk menjadi debu, dan zarah besi dikeluarkan daripadanya dengan menggunakan magnet. Air ditambah dan sluri dipam sejauh 87 kilometer melalui saluran paip ke Port Latta. Di situ, bijih besi dibentuk menjadi penabur yang diameternya kira-kira satu sentimeter, dan dikeraskan melalui proses pemanasan. Hampir 2 286 000 tan metrik penabur dipunggah setiap tahun ke dalam kontena besar untuk dieksport ke Jepun. | UMUM | |
TEROWONG LÖTSCHBERG | Terowong Lötschberg ialah terowong landasan kereta api yang menembusi Bernese Alps di selatan tengah Switzerland berdekatan dengan Jungfrau (lihat Switzerland [peta]). Terowong ini yang dibuka pada tahun 1913, berukuran 14.6 kilometer panjang. Ia sebahagian daripada landasan kereta api Swiss Lötschberg, yang sepanjang 74 kilometer dan menghubungkan Spiez dan Brigue. Sebelum landasan ini sampai di Kandersteg, iaitu jalan masuk ke terowong ini di sebelah utara, ia menyeberangi banyak jambatan dan jejambat dan melalui 38 terowong. Di Göppenstein, iaitu hujung terowong ini di sebelah selatan, landasan tersebut menurun ke Rhône Valley, dan dari situ ia bersambung dengan Terowong Simplon yang menghala ke utara Itali. | UMUM | |
TUK KU TUAN BESAR | TUK KU TUAN BESAR (1795 -1878), ulama dan penulis. Dia lahir di Cabang Tiga, Kuala Terengganu. Nama sebenarnya ialah Sayid Muhammad bin Zainal Abidin. Tuk Ku Tuan Besar berketurunan Sayid al-Idrus. Nenek moyangnya datang dari Hadramaut dan tiba ke Terengganu pada akhir abad ke-18. Bapanya adalah seorang peniaga beras yang berulang-alik dari Jawa ke Terengganu dan kemudiannya menetap di situ setelah berkahwin dengan anak Sayid Muhammad Mustafa al-Idrus (golongan sayid terawal di Terengganu). | SEJARAH DAN ARKEOLOGI | Tokoh |
STOKER, BRAM | Stoker, Bram (1847–1912), pengarang British, telah mengarang cerita Dracula (1897), salah satu cerita seram yang paling terkenal sepanjang zaman. Count Dracula, watak utama buku ini, ialah seorang bangsawan. Dia sebenarnya puntianak (pembunuh yang menghisap darah). Dia tinggal di Transylvania (kini sebahagian Romania) dan berumur beberapa ratus tahun. Pada waktu malam, dia bertukar menjadi kelawar besar dan terbang ke merata desa, menghisap darah dari leher mangsa-mangsanya yang sedang tidur. Dracula berpindah ke England dan menakutkan penduduk di situ pula. Akhirnya dia ditangkap pada waktu siang dan dibunuh. “Dracula’s Guest”, sebuah cerita pendek yang asalnya ialah satu bab daripada buku Dracula, tidak diterbitkan sehingga tahun 1937. Buku lain yang ditulis oleh Stoker termasuk The Mystery of the Sea (1902) dan Famous Imposters (1910). | UMUM | |
MZILIKAZI | Mzilikazi (c. 1795–1868) ialah pengasas negara Ndebele, yang kini dikenali sebagai Zimbabwe. Dia ialah ketua puak Khumala yang tinggal berdekatan hulu Sungai Mkuze di Zululand pada awal tahun 1800-an. Ndebele mengasaskan empayar yang kuat dengan menghancurkan dan menyerapkan kebanyakan puak Sotho dan kemudiannya puak Tswana. Mzilikazi telah mengetuai pengikutnya menyeberangi Limpopo dan ke bukit Matopo, di Zimbabwe, tempat mereka membina perkampungan tetap di situ. | UMUM | |