STROK | Strok ialah kehilangan fungsi otak dengan tibatiba. Ia adalah kecemasan perubatan yang boleh menyebabkan kelumpuhan, kerosakan otak yang teruk, atau kematian. Kebanyakan strok berlaku apabila darah beku atau sesetengah bahan lain menyekat aliran darah ke otak, lalu mengganggu bekalan oksigen dan nutrien ke otak. Jika sekatan ini berlanjutan lebih daripada beberapa minit, kecacatan otak yang kekal mungkin berlaku. Strok juga mungkin berlaku apabila pembuluh darah pecah dan menyebabkan pendarahan ke dalam otak, atau ke dalam bendalir di sekeliling otak. Pendarahan mendatangkan tekanan yang merosakkan tisu otak, menyebabkan kehilangan fungsinya. | UMUM | |
KEGANASAN | Keganasan ialah perbuatan ganas menggunakan ancaman atau ugutan bagi menimbulkan ketakutan dan kecemasan. Pengganas membunuh dan menculik, menembak, melontar bom, merampas kapal terbang, dan melakukan jenayah berat yang lain. | UMUM | |
S O S | S O S ialah isyarat meminta pertolongan yang diterima dari kapal yang berada dalam kecemasan. Huruf ini tidak membawa makna tertentu dan dipilih hanya kerana huruf ini merupakan huruf paling mudah dihantar melalui wayarles. Ia terdiri daripada tiga titik, tiga sempang, dan tiga titik. | UMUM | |
PERTOLONGAN CEMAS | Pertolongan cemas ialah rawatan serta-merta yang diberi kepada mangsa yang mengalami kemalangan, sakit yang mendadak, atau lain-lain kecemasan perubatan. Pertolongan cemas yang betul dapat menyelamatkan nyawa mangsa, lebih-lebih lagi jika mangsa itu mengalami pendarahan yang banyak, terhenti pernafasannya, atau terkena racun. Pertolongan cemas juga boleh mencegah masalah perubatan yang selanjutnya yang terhasil daripada kecederaan atau sakit. | UMUM | |
SALVAJ | Salvaj ialah wang atau barangan yang dibayar kepada sesiapa yang menyelamatkan kapal atau kargo yang ditinggalkan di laut. Bantuan yang diberikan kepada kapal yang berada dalam keadaan kecemasan atau bahaya dikenali sebagai perkhidmatan salvaj. Salvaj dibenarkan bagi tindakan yang dilakukan di laut lepas tetapi di sesetengah negara, mahkamah juga membenarkan salvaj kerana menyelamatkan barangan, kapal, atau hidupan di perairan pedalaman. | UMUM | |
PERTAHANAN AWAM | Pertahanan awam juga dikenali sebagai perlindungan awam , ialah program yang dibiayai oleh kerajaan, untuk menyelamatkan nyawa dan harta benda jika musuh menyerang sesebuah negara ketika perang. Ia juga menyediakan pasukan penyelamat dan bantuan kecemasan untuk orang ramai yang menderita akibat bencana alam seperti banjir, angin ribut, gempa bumi, gunung berapi, kebakaran, dan letupan. Pertubuhan pertahanan awam juga merangka rancangan untuk mengurangkan kesan buruk yang disebabkan oleh kejadian pemberontakan seperti pengeboman dan pencemaran yang teruk atau kemalangan nuklear. | UMUM | |
KENTUNG | KENTUNG, alat yang dipalu untuk menyatakan waktu sembahyang atau menyampaikan maklumat kepada orang ramai seperti kematian dan sesuatu kecemasan. Kentung juga dipanggil `ketuk-ketuk'. | BUDAYA | Alat/Alatan |
PINGAT HANG TUAH | PINGAT HANG TUAH, pingat atau anugerah yang diberikan oleh kerajaan Malaysia kepada kanak-kanak yang berumur di bawah 18 tahun sebagai pengiktirafan kepada jasa dan keberanian mereka menyelamatkan nyawa orang lain dalam masa kecemasan. Anugerah ini diberikan setiap tahun sempena Hari Kanak-Kanak Sedunia. Jawatankuasa Pingat Hang Tuah dibentuk untuk memilih kanak-kanak yang layak menerima anugerah ini. | BUDAYA | Anugerah/Hadiah |
KETIADAAN TEMPAT BERTEDUH | Ketiadaan tempat berteduh ialah satu keadaan bagi seseorang yang tidak mempunyai alamat yang tetap. Mereka yang tiada tempat berteduh ini biasanya tinggal di bangunan-bangunan yang terbiar, di bawah jambatan, stesen bas, hotel-hotel murah, tempat persinggahan kecemasan dan jalanan. | UMUM | |
ACROPOLIS | Acropolis ialah pusat agama dan tentera sesebuah negara kota di Yunani purba. Orang Yunani biasanya membina kubu di atas bukit, yang dinamakan acropolis, di dalam atau dekat kota untuk pertahanan. Ia kerap merupakan tempat pertama yang diduduki. Semasa kegemilangan era Mycenaea (1400–1200 S.M.), istana raja biasanya dibina di atas bukit. Istana juga menjadi kubu tentera dan tempat perlindungan bagi warga kota semasa kecemasan. Kuil-kuil terpenting bagi negara kota juga dibina di sini, termasuk rumah berhala dewa mereka. | UMUM | |