METER CAHAYA | Meter cahaya ialah satu alat yang digunakan untuk menyukat kecerahan cahaya. Meter cahaya mempunyai pelbagai kegunaan yang khusus. Contohnya, ahli astronomi menggunakannya untuk menyukat kecerahan cahaya bintang. Jurutera pencahayaan menggunakannya untuk menyukat kecerahan lampu rumah dan pejabat. Jurufoto menggunakannya untuk menyukat keamatan cahaya di tempat mereka mengambil gambar. | UMUM | |
MAGNITUD | Magnitud ialah skala yang digunakan oleh ahli astronomi untuk mengukur kecerahan objek yang bercahaya di angkasa. Lebih cerah sesuatu bintang atau planet, maka lebih rendah nombor magnitudnya. Sistem magnitud adalah berasaskan usaha yang dilakukan oleh ahli astronomi Yunani purba, Hipparchus. Kira-kira pada tahun 125 S.M., Hipparchus mengelaskan bintang mengikut kecerahan. Dia menamakan bintang yang paling cerah sebagai bintang magnitud pertama, bintang yang kedua cerah sebagai bintang magnitud kedua dan seterusnya sehinggalah kepada bintang yang paling pudar. Bintang yang paling pudar digelar sebagai bintang magnitud keenam. | UMUM | |
NOVA | Nova merupakan letupan yang menyebabkan sebutir bintang menjadi terlalu cerah sehingga mencapai 10 000 hingga 100 000 kecerahan matahari. Bintang tersebut boleh bersinar secerah itu selama sebulan atau lebih lama sebelum beransur-ansur pudar kepada kecerahannya yang asal. Sesuatu nova menghamburkan jisim gas dan debu yang besar ke angkasa. Perkataan nova berasal daripada perkataan Latin yang bermaksud baru. Manusia pernah tersalah tanggap kerana menyangka nova sebagai bintang baru. | UMUM | |
PALANG SELATAN | Palang Selatan ialah buruj (sekumpulan bintang) terkenal di Hemisfera Selatan. Ia juga digelar sebagai Pari atau Crux. Buruj ini dinamai begini kerana empat buah bintangnya yang paling cerah membentuk palang. Kecerahan cahaya bintang disebut magnitud. Bintang yang paling cerah berada dalam magnitud pertama. Bintang yang terletak paling jauh ke selatan ialah bintang magnitud pertama. Bintang yang terletak di sebelah timur dan utara ialah bintang magnitud kedua, sementara bintang di sebelah barat bertahap magnitud ketiga. Lihat Magnitud. | UMUM | |
AMPLIFIER MAGNET | Amplifier magnet,juga dikenali sebagai reaktor boleh tepu, ialah alat yang digunakan untuk mengawal kuasa elektrik yang besar. Ia digunakan apabila arus elektrik terlalu besar atau keadaan lain terlalu teruk bagi amplifier transistor atau injap. Contohnya, amplifier magnet selalu digunakan untuk mengawal kelajuan motor elektrik yang besar ataupun kecerahan lampu-lampu landasan di lapangan terbang. | UMUM | |
SIRIUS | Sirius, yang juga dikenali sebagai Bintang Anjing, ialah bintang yang paling terang yang dapat dilihat dari bumi pada waktu malam. Saiz Sirius lebih kurang sama dengan saiz matahari, tetapi memancarkan hampir-hampir 30 kali ganda cahaya. Bintang ini merupakan bintang magnitud pertama (lihat Bintang [Mengukur kecerahan]). | UMUM | |
MIRA | Mira ialah bintang merah raksasa. Ia salah satu bintang yang berubah-ubah kecerahannya yang mula-mula ditemui. Pada tahun 1596, ahli astronomi Jerman, David Fabricius mendapati bahawa bintang tersebut berubah-ubah dalam masa beberapa bulan, iaitu daripada malap kepada cerah. Disebabkan penemuan ini, ahli astronomi menamakannya mira iaitu daripada perkataan Latin yang bermaksud menakjubkan . Semasa keadaannya yang paling cerah, kecerahan mira adalah 100 kali ganda daripada keadaannya yang paling malap. | UMUM | |