| ORESTES | Orestes , dalam mitologi Yunani, ialah anak lelaki Agamemnon dan Clytemnestra, pemerintah Mycenae, atau Argos. Clytemnestra dan kekasihnya, Aegisthus, membunuh Agamemnon selepas dia kembali dari Perang Trojan. Kakak Orestes, Electra, yang bimbang akan keselamatan Orestes, membawanya keluar dari istana raja. | UMUM | |
| SYAIR KUPU-KUPU | SYAIR KUPU-KUPU, puisi Melayu tradisional. Syair ini ialah syair kiasan atau sindiran yang menyindir peristiwa tertentu. Ada beberapa buah syair yang diberi judul Syair Kupu-kupu. Syair Kupu-kupu (Schoemann V 40) yang tersimpan di perpustakaan di Berlin mengisahkan cinta kupu-kupu pada biring-biring/berang-berang. Setelah gagal beberapa kali, akhirnya dia berhasil mendapat kekasihnya. Isi syair ini sama dengan Syair Berang-Berang (MS Malay 2 (R) ) yang disimpan di Bodleain Library, Oxford. | SASTERA | Konsep |
| PERTEMUAN | PERTEMUAN, novel karya A. Datuk Pamuncak Nan Sati. Novel ini pertama kali diterbitkan pada tahun 1927 dan sudah pun diulang cetak sebanyak tiga kali. Cetakan yang terakhir pada tahun 1961. novel setebal 191 halaman ini mengandungi tujuh keping gambar karya Hasan Basri. Gambar kulit depan adalah tokoh utama, Masri yang cuba membunuh diri terjun ke tebing laut yang curam, tetapi berjaya ditangkap dari belakang oleh Rasdiana, kekasihnya. | SASTERA | Karya |
| ADAT PERKAHWINAN MELAYU SARAWAK | ADAT PERKAHWINAN MELAYU SARAWAK, adat perkahwinan yang diamalkan oleh masyarakat Melayu Sarawak di Kuching, Seri Aman, Miri, Sibu, Bintulu dan Limbang. Adat perkahwinan dan peraturan kekeluargaan penduduk Melayu Sarawak tertakluk kepada Undan-undang Mahkamah Melayu Sarawak yang mula dilaksanakan pada tahun 1910 di bawah pentadbiran Majlis Islam. Perkahwinan di kalangan masyarakat Melayu Sarawak terbahagi kepada lima. Pertama, ‘nikah benar’ iaitu perkahwinan yang biasa berlaku dan mengikut segala peraturan hukum dan adat yang biasa. Kedua, ‘nikah salah’ iaitu perkahwinan setelah melakukan perbuatan yang curang atau sumbang. Ketiga, ‘nyerah diri’ dan keempat, ‘ngekot’, serta kelima, ‘basuh kaki’. Nyerah diri berlaku jika lelaki menyerahkan dirinya kepada keluarga perempuan yang berada kerana tidak mampu untuk berkahwin mengikut adat. Keluarga perempuan boleh menghalau atau menolaknya secara lembut dengan mengenakan syarat yang ketat. Ngekot pula berlaku jika perempuan lari dari rumah untuk mengikut kekasihnya. Basuh kaki ialah perkahwinan yang sebahagian besar belanjanya ditanggung oleh pihak perempuan. Merisik Mencari jodoh dilakukan melalui keserasian antara pasangan lelaki dan perempuan. Apabila ibu bapa merasakan anak lelaki mereka sudah cukup umur untuk berkahwin, mereka akan mencadangkan nama beberapa orang gadis daripada saudara dekat dengan mengambil kira persamaan status dalam masyarakat. Anak lelaki dibenarkan membuat pilihannya sendiri dan pemilihannya itu diuji melalui ‘berugam’. Upacara menguji keserasian ini dijalankan oleh orang perempuan sahaja. Barang yang digunakan dalam upacara ini ialah ‘turak’ (alat penenun yang bulat), beras, tepung tawar iaitu tepung beras yang dicampur dengan limau, sirih tiga kapur dan tiga gulung rokok. | BUDAYA | Konsep |