KELENJAR PARATIROID | Kelenjar paratiroid terdiri daripada empat kelenjar kecil yang berfungsi sebagai satu kelenjar. Kelenjar-kelenjar ini terletak di depan leher dekat kelenjar tiroid. Kelenjar paratiroid merembes hormon paratiroid (PTH), yang juga dinamakan parathormon , ke dalam darah. PTH membantu mengawal amaun kalsium dan fosfat dalam badan. Mineral ini diperlukan untuk beberapa proses badan yang penting, termasuk pertumbuhan tulang dan otot, dan fungsi saraf. | UMUM | |
KELENJAR PITUITARI | Kelenjar pituitari ialah satu daripada kelenjar yang paling penting dalam badan. Kelenjar ini merembes beberapa hormon yang mengawal pelbagai fungsi badan. Kelenjar pituitari adalah kira-kira sebesar kacang pis dan terletak di bawah otak berhampiran dengan pusat tengkorak. Kelenjar ini dihubungkan oleh satu tangkai pendek dengan hipotalamus, sebahagian daripada otak. Kelenjar pituitari kadangkala dikenali sebagai hipofisis. | UMUM | |
KELENJAR MAMARI | Kelenjar mamari ialah kelenjar khas yang terdapat pada semua mamalia. Pada mamalia betina, kelenjar mamari mengeluarkan susu. Ia adalah satu daripada ciri-ciri penting yang membezakan mamalia daripada haiwan-haiwan lain. (Lihat Mamalia). | UMUM | |
LIANG ROMA | Liang roma ialah bukaan halus pada kelenjar kulit. Kelenjar ini adalah seperti karung kecil yang terdapat jauh dalam kulit. Sel di dalam karung ini mengeluarkan peluh jika kelenjarnya adalah kelenjar peluh, dan mengeluarkan minyak jika kelenjarnya adalah kelenjar sebum. | UMUM | |
KELENJAR PROSTAT | Kelenjar prostat ialah organ sistem reproduksi lelaki. Kelenjar ini merembeskan bendalir kental yang keputih-putihan dalam tubuh. Semua mamalia jantan mempunyai bentuk kelenjar prostat yang serupa. Pada orang lelaki, kelenjar itu terletak betul-betul di bawah pundi air kencing dan bersetentangan dengan bahagian rektum. Beratnya lebih kurang 20 gram dan besarnya lebih kurang sebesar buah berangan. Prostat terdiri daripada tisu yang berotot dan berkelenjar, serta mempunyai permukaan yang bergentian lagi liat. | UMUM | |
KELENJAR TIROID | Kelenjar tiroid ialah kelenjar endokrin (pengeluaran hormon) yang terletak di depan leher. Ia mempunyai dua lobus (bahagian) di setiap sisi trakea (salur udara). Kedua-dua lobus ini disambungkan oleh satu jalur nipis tisu. Rangkaian pembuluh darah menyelaputi kelenjar ini. Tiroid mengambil iodin dari darah dan menggunakannya untuk membuat hormon aktif, tiroksina yang juga dikenali sebagai tetraiodotironina dan triiodotironina . Hormon tiroid tidak aktif tersimpan di dalam lobus dalam ruang yang dikenali sebagai folikel . | UMUM | |
KELENJAR | Kelenjar ialah tisu atau organ yang menghasilkan dan membebaskan bahan kimia yang berguna. Kelenjar terletak di pelbagai tempat di seluruh badan manusia dan kebanyakan haiwan lain. Bahan-bahan yang dikeluarkan oleh kelenjar melakukan pelbagai fungsi. Contohnya, sesetengah daripada rembesan ini membantu melembapkan kulit. Rembesan yang lain pula membantu penghadaman mengawal pertumbuhan dan perkembangan badan. | UMUM | |
KELENJAR PINEAL | Kelenjar pineal juga dikenali sebagai jasad pineal, ialah organ kecil di dalam otak manusia dan kebanyakan vertebrat (haiwan bertulang belakang) lain. Ahli sains tidak begitu pasti tentang fungsi kelenjar pineal kepada manusia. Mereka percaya kelenjar ini memainkan peranan dalam pelbagai fungsi tubuh yang penting termasuk proses pembiakan. Dalam kebanyakan vertebrat lain, kelenjar ini membantu mengawal atur kitaran harian dan bulanan tertentu tubuh. | UMUM | |
KELENJAR ADRENAL | Kelenjar adrenal ialah organ kecil dalam badan yang merembeskan banyak hormon penting. Terdapat dua kelenjar adrenal di dalam badan, satu di atas setiap ginjal. Adrenal, yang juga dikenali sebagai suprarenal, mempunyai garis pusat kira-kira lima sentimeter setiap satu. Setiap kelenjar adrenal terdiri daripada medula (teras dalam) dan korteks (lapisan luar). | UMUM | |
DEMAM KELENJAR | Demam kelenjar, juga dikenali sebagai mononukleosis berjangkit , ialah penyakit berjangkit yang ringan. Penyakit ini biasanya disebabkan oleh virus herpes Epstein-Barr (EB). | UMUM | |