Morrison, Toni (1931– ), penulis novel wanita kulit hitam Amerika yang menerima Hadiah Nobel pada tahun 1993 bagi bidang kesusasteraan. Dia juga telah memenangi Hadiah Pulitzer 1988 untuk cereka melalui novelnya Beloved (1987). Novel tersebut menceritakan kisah seorang bekas hamba yang dihantui oleh kenangan hidupnya sebagai seorang hamba dan bayinya yang telah dibunuh untuk menyelamatkannya daripada mengalami nasib yang sama. Beloved mempamerkan gaya liriknya, gambaran watak yang jelas, dan kebolehannya untuk membuat pembaca menerima perkara yang luar biasa sebagai benar. Kemahirannya menggunakan bahasa menjadikannya salah seorang penulis Amerika yang terbaik bagi tahun 1900-an. |