Shahnon Ahmad, Dato’ (1933– ) ialah penulis,  pengkritik sastera, dan ahli politik. Dia merupakan  penerima Anugerah Sasterawan Negara yang  kedua (1982). Shahnon juga merupakan pelopor  penerapan konsep Islam dalam kesusasteraan  Melayu. Novel Shahnon yang terkenal, Ranjau   Sepanjang Jalan (1969) mengisahkan kemiskinan  keluarga petani di Banggul Derdap, Sik, Kedah  yang diwakili oleh Lahuma bersama-sama isteri, Jeha,  serta anak-anaknya. Novel ini diterjemahkan ke  dalam bahasa Inggeris, Jepun, Sweden, Rusia,  Iceland, Belanda, dan Denmark. Di samping itu,  novelnya yang berunsur Islam seperti al-Shiqaq   (1986), Umi dan Abang Syeikul (1988), dan Tuk Guru   (1988) menampilkan suatu pendekatan baharu dalam  menyampaikan kesedaran beragama dan  pelaksanaannya. Shahnon juga menghasilkan  novel-novel yang berkaitan dengan fenomena  politik semasa yang berlaku di tanah air seperti  tergambar dalam novelnya Menteri (1967), Perdana   (1969), Tunggul Gerigis (1988), Patriarch (1991),  Sutan Baginda (1990), dan Shit (novel satira, 1999).  Shahnon juga menghasilkan novel-novel yang  berkaitan dengan pergolakan sosial dan kejatuhan  moral masyarakat kesan daripada pengaruh  pemodenan seperti terlukis dalam novelnya  Kemelut (1977) dan Tivi (1995).  |