| MESIN JAHIT | Mesin jahit ialah mesin yang menggunakan jarum untuk mencantumkan kain dengan benang. Mesin jahit meringankan kerja rumah dan membantu keluarga mendapatkan pakaian yang lebih baik dan murah berbanding dengan perbelanjaan yang terpaksa dikeluarkan. Di kilang, mesin jahit membantu pengeluaran pakaian secara besar-besaran. | UMUM | |
| ADAT PERKAHWINAN SULUK | ADAT PERKAHWINAN SULUK, adat perkahwinan yang diamalkan oleh masyarakat Suluk di sebelah pantai timur Sabah seperti di Sandakan, Lahad Datu dan Semporna. Lazimnya ibu bapa mencari pasangan untuk anak lelaki mereka. Si ibu mengadakan satu ujian ke atas gadis yang bakal menjadi menantunya dengan cara meminta gadis tersebut tinggal di rumahnya dan bekerja untuk beberapa waktu. Selain membantu kerja rumah, gadis itu diminta ‘mengutu’ iaitu menyisir atau menguruskan rambut si ibu. Tujuannya adalah untuk mengetahui sejauh mana kerelaan gadis tersebut untuk bersama atau berkahwin dengan anak lelakinya. Sekiranya didapati ada kesesuaian, barulah diadakan acar merisik. | BUDAYA | Konsep |
| PERABOT | Perabot terdiri daripada kerusi, meja, katil, dan kelengkapan lain yang memberikan keselesaan dan kemudahan di dalam rumah, sekolah, dan pejabat kita. Kita berehat di atas kerusi dan kerusi panjang, dan menyimpan pelbagai barang di dalam peti, kabinet dapur, dan almari buku. Meja tulis menyediakan tempat untuk menelaah dan membuat kerja-kerja menulis. Sesetengah set televisyen dan sistem hi-fi mempunyai kabinet yang menarik, dan oleh kerana itu, ia juga dianggap sebagai perabot. Piano merupakan sejenis perabot yang menarik di kebanyakan rumah. | UMUM | |
| PAKAIAN BASAHAN | PAKAIAN BASAHAN, pakaian yang dipakai setiap hari seperti baju, seluar, kain sarung, kain ikat kepala dan segala jenis pakaian dalam. Pakaian basahan sering dikaitkan dengan pakaian yang agak lusuh, dipakai ketika berada di dalam rumah atau membuat kerja-kerja di sekitar rumah. Pakaian basahan juga merangkumi pakaian harian yang dipakai oleh orang kampung ketika pergi ke sawah, ke kebun, atau melakukan apa jua kerja harian yang lasak. | BUDAYA | Pakaian |
| KUASA ELEKTRIK | Kuasa elektrik ialah penggunaan tenaga elektrik untuk melakukan kerja. Ia menerangi, memanaskan dan menyejukkan suhu rumah. Elektrik juga dapat membekalkan kuasa untuk set televisyen, peti sejuk, pembersih vakum dan banyak lagi alat rumah. Kuasa elektrik menggerakkan jentera di kilang. Eskalator, lif dan komputer, dan banyak lagi alat bagi kegunaan di kedai dan pejabat menggunakan kuasa elektrik. Elektrik memacu dan menggerakkan kereta api dan sistem pengangkutan bawah tanah. Di ladang, jentera elektrik melakukan kerja seperti mengepam air, memerah susu lembu dan mengeringkan rumput kering. | UMUM | |
| PEREKAT | Perekat ialah bahan yang melekatkan permukaan. Perekat, yang termasuk bahan seperti simen, epoksi, glu dan pes, digunakan dengan meluas dalam industri dan di rumah. Ia memainkan peranan penting dalam pembuatan kapal terbang, kereta, buku, dan perabot dan dalam pembinaan bangunan dan jalan raya. Ramai orang menggunakan epoksi dan glu untuk melakukan kerja pembaikan mudah di rumah. | UMUM | |
| METALURGI | Metalurgi ialah sains untuk mengasingkan logam daripada bijihnya dan menyediakannya untuk digunakan. Semua objek logam yang kita gunakan adalah hasil kerja metalurgi. Logam mengalirkan elektrik ke rumah dan kilang, dan menjadi rangka bangunan pencakar langit. Kereta, kereta api dan kapal terbang dibuat daripada terutamanya logam. Begitu juga kebanyakan peralatan. Industri dan pembuatan tidak mungkin wujud tanpa menggunakan logam. Metalurgi terbahagi kepada dua bahagian utama, iaitu metalurgi ekstratif atau metalurgi proses; dan metalurgi fizikal atau metalurgi aloi. | UMUM | |