Nabi Sulayman a.s. Nama penuh baginda ialah Sulayman ibn Daud ‘Alaihimassalam yang berasal dari keturunan Yahudha ibn Ya’kub ibn Ishaq. Nabi Allah Daud a.s. mewasiatkan kekuasaan kepada Nabi Sulayman a.s. selepas kewafatan Nabi Daud a.s. Oleh itu, selepas Nabi Daud wafat, Nabi Sulayman melaksanakan wasiat tersebut. Pada ketika itu Nabi Sulayman a.s. baru berusia 13 tahun. Meskipun usianya masih terlalu muda, Nabi Allah Sulayman seorang yang bijaksana, cekap dalam urusan pentadbiran dan memiliki pendapat yang bernas untuk memutuskan sesuatu hukum. Sebagai contoh Nabi Allah Sulayman telah memberi pendapatnya berkenaan bercucuk tanam seperti yang diceritakan dalam al-Qur'an. Begitu juga, dalam mengeluarkan fatwa apabila berlaku perselisihan pendapat antara dua orang perempuan tentang kedudukan kanak- kanak dalam hadith yang diriwayatkan oleh Imam Bukhariy dan Muslim. Nabi Allah Sulayman membina Baitulmaqdis selepas empat tahun dilantik sebagai raja dan pembinaannya siap dalam masa tujuh tahun. Nabi Allah Sulayman juga telah mendirikan benteng di sekeliling kota Baitulmaqdis. Selepas 13 tahun pembinaan kota tersebut, Nabi Sulayman a.s. turut mendirikan Istana Raja pula. Bahkan Nabi Sulayman a.s. mendirikan tempat penyembelihan binatang korban. |