PRAMBANAN | Prambanan ialah nama yang diberikan kepada sekumpulan kuil Hindu berhampiran dengan Yogyakarta, Jawa Tengah, Indonesia. Kuil-kuil ini dibina pada tahun 800-an M. Pada malam bulan purnama, salah satu halaman luar kuil ini digunakan sebagai teater terbuka untuk pertunjukan drama puisi epik Ramayana. Lihat Ramayana. | UMUM | |
KUIL ABU SIMBEL | Kuil Abu Simbel merupakan dua kuil Mesir purba yang dibina dengan menebuk lereng gunung berbatu di pinggir Sungai Nil, selatan Mesir. | UMUM | |
KUIL | Kuil ialah rumah tempat beribadat. Perkataan kuil selalunya dikaitkan dengan tempat beribadat penganut agama Buddha, Konfusius, Hindu, Tao dan tempat beribadat di Timur Dekat dan Eropah purba. | UMUM | |
PARTHENON | Parthenon ialah sebuah kuil Yunani purba di kota Athens. Kuil ini terletak di atas sebuah bukit bernama Acropolis yang menghadap kota Athens. Kuil Parthenon ini dibina untuk memperingati Athena, dewi pelindung kota Athens. Kuil ini mungkin merupakan contoh terbaik seni bina Yunani purba. | UMUM | |
ORISSA | Orissa ialah negeri yang terletak di pantai timur laut India. Negeri ini hanya menerima kunjungan segelintir pelancong walaupun terkenal dengan Kuil Matahari di Konarak dan Kuil Jagannath di Puri. Di ibu negeri Orissa, Bhubaneswar, terdapat beberapa buah kuil yang paling cantik di India yang bertarikh tahun 600-an. | UMUM | |
ACROPOLIS | Acropolis ialah pusat agama dan tentera sesebuah negara kota di Yunani purba. Orang Yunani biasanya membina kubu di atas bukit, yang dinamakan acropolis, di dalam atau dekat kota untuk pertahanan. Ia kerap merupakan tempat pertama yang diduduki. Semasa kegemilangan era Mycenaea (1400–1200 S.M.), istana raja biasanya dibina di atas bukit. Istana juga menjadi kubu tentera dan tempat perlindungan bagi warga kota semasa kecemasan. Kuil-kuil terpenting bagi negara kota juga dibina di sini, termasuk rumah berhala dewa mereka. | UMUM | |
BOROBUDUR | BOROBUDUR, candi terbesar di Indonesia, dibina di kaki Gunung Menoreh yang terletak di wilayah Desa Bumisegoro, dekat Kota Magelang, Jawa Timur. Borobudur yang bererti ‘Himpunan Kuil-kuil di atas Bukit’ atau ‘Himpunan Kebajikan dalam 10 Tingkatan Bodhisatwa’ mula dibina sekitar tahun 800 M. oleh kerajaan Sailendra, yang memerintah Jawa Tengah dari pertengahan abad ke-8 M hingga tahun 830 M. Kekuasaan wangsa itu lenyap pada pertengahan abad ke-9 M. Seabad kemudian kegiatan politik dan budaya berpindah dari Jawa Tengah ke Jawa Timur. | SEJARAH DAN ARKEOLOGI | Bangunan/Kota |
NARASIMHAVARMAN I | Narasimhavarman I (630?–668?), juga dikenal sebagai Mamalla, merupakan raja dinasti Pallava di India selatan. Dia diingati terutamanya kerana membangunkan bandar Mahabalipuram, yang juga dikenal sebelumnya dengan nama Mamallapuram sempena menghormatinya. Bandar ini terletak di Teluk Benggala, yang kini dalam negeri Tamil Nadu, India. Ia telah pun berkembang maju sebagai pelabuhan perdagangan apabila Narasimhavarman menguasainya, dan dia seterusnya membesarkan dan menjadikan bandar ini sebagai pangkalan tentera laut dan pusat agama Hindu. Kuil-kuil dan tugu-tugunya yang masih ada menarik minat pelancong dan para sarjana. Wajah Narasimhavarman diukir pada salah satu ukiran batu, yang tertulis dengan kata-kata “Penambah Tiga Dunia” (“Augmenter of the Three World”). | UMUM | |
PETRA | Petra ialah bandar purba di selatan Laut Mati yang kini dikenali sebagai Jordan. Petra ialah pusat perdagangan yang penting pada akhir tahun 400- an S.M. hingga awal tahun 200-an. Bandar tersebut berada di jalan perdagangan darat yang menghubungkan kawasan Arab dan Laut Mediterranean . Kaum Nabataean, satu kumpulan orang Arab, berkuasa di Petra pada tahun 400-an S.M. Pada tahun 106 M., Petra ditawan oleh tentera Rom yang menjadikannya sebahagian daripada empayar Rom. Petra maju dari tahun 106 hingga awal tahun 200-an M. Penduduk Petra membina kuil-kuil di kawasan lapang dan mereka menebuk cerunan untuk membuat rumah. Petra selalu digelar bandar merah mawar kerana bangunannya yang diperbuat daripada batu merah dan cerunan merah yang mengelilinginya. | UMUM | |
PANTEON | Panteon ialah kuil purba yang dipelihara dengan baik di tengah Rom. Panteon disiapkan semasa pemerintahan Maharaja Rom bernama Hadrian pada kira-kira tahun 126 M. | UMUM | |