PIGMEN | Pigmen ialah sejenis bahan berwarna dalam bentuk serbuk, yang memberikan warna kepada bahan lain. Ini dilakukan dengan mencampurkannya dengan bahan itu atau menyapu satu lapisan nipis pada permukaan bahan itu. Pigmen tidak larut tetapi kekal terampai dalam cecair apabila ia dicampurkan atau dikisar dalam cecair untuk membentuk cat. Bahan berwarna yang larut dalam cecair dan memberikan kesan warnanya dinamakan pencelup. Pelbagai kaedah mengecat berbeza daripada satu sama lain pada bahan yang disapu dengan warna tersebut. Tetapi pigmen yang digunakan adalah sama dalam semua jenis. | UMUM | |
SYAL | Syal ialah butiran batuan enapan yang terhasil dari mampatan lumpur. Ia terdiri terutamanya daripada batu kuarza dan mineral yang ditemui di dalam tanah liat. Syal boleh pecah dengan mudah kepada lapisan nipis dan sama rata. Syal digali kerana kegunaannya untuk membuat batu-bata dan simen. Lihat juga Batuan; Batu loh; Syal minyak. | UMUM | |
STEREOTAIP | Stereotaip ialah kaedah membuat plat logam untuk kegunaan percetakan. Dalam proses ini, pekerja menentukan taip dan menguncinya dalam bingkai keluli. Pekerja yang lain menyapu permukaan taip itu dengan lapisan nipis minyak. Sekeping kertas tebal komposit yang dikenal sebagai flong, dibentangkan di atas taip dan ditekan rapat padanya. Kertas ini menekap permukaan taip atau kat (gambar) pada bingkai. Dengan itu acuan kertas terbentuk lalu dimasukkan ke dalam ketuhar dan dibakar hingga keras dan kering. Acuan ini yang dikenal sebagai matriks atau mat, diletakkan dalam kotak dalam kedudukan telentang. Pekerja menuang cairan logam stereotaip yang diperbuat daripada timah, antimoni, dan plumbum ke atas acuan tersebut. Logam itu akan menjadi keras serta-merta lalu menghasilkan plat pejal. Halaman akhbar dicetak daripada plat ini. | UMUM | |
SENDI | Sendi ialah tempat pertemuan dua atau lebih tulang dalam rangka tubuh. Tempat ini dikenali juga sebagai artikulasi . Sendi boleh jadi tetap atau boleh bergerak . Sendi tetap ialah kelim di antara tulang yang terletak bertentangan dengan sama satu lain, atau dipisahkan oleh satu lapisan nipis tisu penyambung. Apabila terhantuk atau kemalangan, sendi ini boleh menyerap secukup kejutan supaya tulang tidak patah. Sendi pada kranium (meliputi otak) adalah tetap dan melindungi otak. | UMUM | |
PAPAN LAPIS | Papan lapis ialah bahan binaan yang biasanya dibuat daripada lapisan kayu nipis yang ganjil bilangannya yang telah digam bersama. | UMUM | |
TEORI DUA SAPUT | Teori yang menjelaskan bahawa terdapat tiga rintangan terhadap proses pengangkutan, iaitu rintangan dalam fasa gas, fasa cecair dan permukaan sentuhan antara dua fasa tersebut, iaitu lapisan antara muka. Teori dua saput bersandar pada andaian bahawa terdapat satu lapisan saput yang nipis yang terbina di sempadan sistem. Rintangan terhadap proses pengangkutan dalam fasa gas atau cecair diwakili oleh rintangan yang terdapat dalam saput fasa tersebut. Fasa gas mempunyai komposisi komponen A yang lebih tinggi daripada fasa cecair. | KEJURUTERAAN | Teori/Teorem/Hukum |
KEMATU | Kematu ialah tebalan yang kecil, keras, dan berkilat pada epidermis (lapisan luar kulit). Ketumbuhan yang tebal ini menekan dermis (lapisan kulit yang lebih dalam) dan menyebabkannya menjadi nipis dan lembut. Tekanan dan geseran menyebabkan tumbuhnya kematu. Oleh itu, kematu sering kali tumbuh pada sendi jari kaki seseorang yang memakai kasut yang tidak sepadan. Walau bagaimanapun, kematu mungkin terbentuk di mana-mana sahaja pada badan apabila tekanan dan geseran mencederakan kulit. Kematu lembut biasanya terdapat di antara jari-jari kaki. Di sini, kulit yang menebal itu akan sentiasa lembut kerana sentiasa dibasahi peluh. | UMUM | |
MUKA BUMI | Muka bumi, lapisan permukaan bumi yang nipis dan terdiri daripada tiga jenis bentuk muka bumi yang utama, iaitu gunung, dataran tinggi, dan tanah pamah. | GEOGRAFI DAN GEOLOGI | Bentuk Muka Bumi |
ATOL | Atol ialah lingkaran bulat karang di laut lepas yang terbina di atas tebing yang tenggelam, atau terbentuk di atas kawah gunung berapi yang telah tenggelam di bawah permukaan laut. Umumnya satu lapisan tanah yang nipis terlekat di atas terumbu karang, dan ditumbuhi tumbuh-tumbuhan. Tumbuh-tumbuhan tropika hidup subur di atas atol, dan ia menjadi pulau karang. Atol mengepungi kolam atau lagun yang cetek. Satu saluran atau lebih biasanya menghubungkan lagun kebanyakan atol dengan laut di sekelilingnya, di bahagian hadap angin. Atol ditemui terutamanya di Lautan Pasifik. Lihat juga Karang . | UMUM | |
TAKAT EMBUN | Takat embun ialah suhu apabila lembapan dalam udara mula terpeluwap. Takat embun sama ada lebih rendah daripada suhu udara atau sama dengan suhu udara apabila kelembapan relatif adalah 100 peratus. Embun terbentuk apabila lapisan udara yang nipis, yang bersentuhan dengan permukaan, disejukkan di bawah takat embun. Penyejukan udara ini menghasilkan embun di permukaan atau kabut di udara, apabila takat embun di atas takat beku. Jika suhu udara dan takat embun di bawah takat beku, fros terbentuk di permukaan, atau hablur ais terbentuk di udara. Kabut dan awan terbentuk apabila banyak udara disejukkan di bawah takat embun. Lihat juga Embun; Fros; Kabut; Kelembapan. | UMUM | |