Spinoza, Baruch (1632–1677) ialah ahli falsafah Belanda. Dia juga dikenali sebagai Benedict, iaitu nama Baruch dalam bahasa Latin. Spinoza lahir di bandar Amsterdam. Ibubapanya berketurunan Yahudi. Pada awalnya dia memperoleh reputasi sebagai seorang yang berfikiran bebas dalam hal agama dan oleh yang demikian dia disingkirkan oleh masyarakat Yahudi daripada mazhab mereka pada tahun 1656. Dia kemudian tinggal di beberapa buah bandar di Belanda, menyara hidupnya dengan bekerja sebagai pencanai kanta. Sepanjang kerjayanya, Spinoza merupakan penyokong fahaman liberalisme yang kuat dalam hal agama dan politik. Dia sangat menghargai kebebasannya, sehingga dia menolak tawaran wang persaraan daripada Raja Louis XIV dari Perancis, dan juga tawaran jawatan sebagai profesor universiti di Jerman. Walaupun dia dihormati oleh ramai orang, Spinoza merupakan seorang yang kontroversial sebab pandangannya yang amat menyimpang terhadap hal agama, falsafah, dan politik. |