| ORTEGA, DANIEL | Ortega, Daniel (1945– ) ialah ketua kerajaan Nicaragua dari tahun 1979 hingga tahun 1990. Pada tahun 1979, dia dikenali sebagai pemimpin kerajaan revolusioner apabila partinya, Sandinista National Liberation Front, menggulingkan kerajaan Anastasio Somoza Debayle. Ortega dilantik sebagai presiden Nicaragua pada tahun 1984. Tempohnya sebagai presiden berakhir pada tahun 1990, apabila dia dikalahkan dalam pilihan raya presiden oleh Violeta Barrios de Chamorro, pemimpin parti campuran yang menentang pemerintahan Sandinista. | UMUM | |
| PERTUBUHAN PERPADUAN PEMBEBASAN PATANI | PERTUBUHAN PERPADUAN PEMBEBASAN PATANI, pertubuhan gerila bawah tanah yang ditubuhkan pada tahun 1968. Pertubuhan Perpaduan Pembebasan Patani atau Patani United Liberation Organization (PULO), ditubuhkan untuk mengkoordinasikan beberapa pertubuhan gerila yang bergerak menentang pemerintah Thailand di empat wilayah Thailand Selatan, iaitu Patani, Yala, Narathiwat dan Satun. Dua buah gerakan lain yang berjuang untuk kemerdekaan Patani ialah Barisan Nasional Pembebasan Patani (BNPP) yang ditubuhkan pada tahun 1959 oleh Tengku Abdul Jalal (Adul Na Saiburi) dan Barisan Revolusi Nasional (BRN) yang diasaskan oleh Ustaz Abdul Karim Hassan pada tahun 1963. Aktiviti pertubuhan-pertubuhan ini mencapai kemuncaknya dari tahun 1970 hingga tahun 1975. Empat wilayah di Thailand Selatan diberi gelaran sebagai ‘kawasan bebas’ yang dikuasai oleh ‘pemerintah halimunan’ yang mencabar kekuasaan pemerintah pusat di Bangkok. | SEJARAH DAN ARKEOLOGI | Institusi/Organisasi |