Murabitun, Kerajaan merupakan satu daripada kerajaan Islam yang muncul dalam lingkungan masa di antara tahun 448 hingga 541 H. bersamaan tahun 1056 hingga 1147 M., di sebelah barat laut benua Afrika. Beberapa kabilah iaitu Sanhajah, Lamtunah, Masufah dan Jadalah al- Barbariyyah telah bersatu pada abad ketiga Hijrah. bersamaan abad kesembilan Masihi. Antara tujuan penyatuan ini adalah untuk berusaha menyusun urusan perdagangan antara kafilah-kafilah yang melalui padang pasir – iaitu di antara bahagian utara terletaknya wilayah Walata dengan bahagian selatan terletaknya kerajaan Ghana. Namun, penyatuan ini tidak dapat bertahan lama, malah ia menjadi lemah dan seterusnya runtuh. Ghana telah mengambil peluang di sebalik keruntuhan ini dan menjadi semakin berpengaruh. Seterusnya, Ghana berjaya menguasai beberapa bahagian di padang pasir yang menjadi tumpuan pedagang-pedagang Barbar dan Arab. |