MAJLIS UNDANGAN BORNEO UTARA | MAJLIS UNDANGAN BORNEO UTARA, badan perwakilan golongan pemodal Eropah dan Asia semasa pentadbiran British. Majlis ini dibentuk pada tahun 1912 bagi menggantikan Majlis Penasihat (1883–1909), yang bertujuan membantu pentadbiran kerajaan. Ahli majlis ini seramai tujuh orang ahli rasmi dan empat orang ahli tidak rasmi yang dilantik oleh gabenor. Ahli tidak rasmi mewakili para peladang di Pantai Barat dan Pantai Timur, para peniaga Eropah, serta para peladang Cina. Pada mulanya peribumi serta orang Asia selain orang Cina diwakili oleh orang Cina. Keadaan ini kurang disenangi, lalu majlis diletakkan di bawah penyeliaan gabenor serta ahli rasmi majlis. | SEJARAH DAN ARKEOLOGI | Institusi/Organisasi |
STAR CHAMBER | Star Chamber ialah mahkamah undang-undang Inggeris pada tahun 1500-an dan 1600-an. Star Chamber terdiri daripada canselor diraja dan ahli Majlis Diraja lain, iaitu kumpulan penasihat diraja. Ia meluluskan penghakiman tanpa perbicaraan oleh juri dan membuat prosedur, hukuman, dan pemulihannya sendiri. Mahkamah ini dinamakan sedemikian kerana ia mengadakan perbicaraan dalam Star Chamber Istana Westminster di London. Kini, istilah Star Chamber merujuk kepada mesyuarat mana-mana mahkamah kehakiman atau pertubuhan rasmi secara rahsia dan yang tidak dikawal. | UMUM | |
BAJU KURUNG | BAJU KURUNG, pakaian tradisional orang Melayu di Semenanjung Malaysia. Baju ini dikenal juga sebagai baju melayu. Terdapat dua jenis baju kurung iaitu baju kurung teluk belanga dan baju kurung cekak musang. Baju ini sesuai dipakai oleh semua golongan masyarakat tua dan muda, terutama untuk menghadiri majlis atau upacara rasmi. Selain itu, terdapat sejenis lagi baju kurung yang dipakai oleh wanita Melayu di Kedah, Perlis dan Pulau Pinang yang dinamakan baju kurung kedah. Terdapat beberapa perbezaan kecil antara ketiga-tiga jenis baju kurung ini, iaitu dari segi potongan dan cara memakai. | BUDAYA | Pakaian |
BAJU KEBAYA | BAJU KEBAYA, baju yang berlengan panjang, berpinggang dan berbelah di hadapan. Baju ini dipakai oleh wanita di Malaysia, Indonesia, Brunei dan Singapura. Pada asalnya baju ini direka labuh hingga ke paras lutut ataupun lebih. Kini banyak perubahan yang dilakukan ke atas potongan baju tersebut. Ada yang labuhnya hingga ke paras lutut disebut kebaya labuh dan ada yang singkat ke paras punggung sahaja, disebut kebaya pendek. Meskipun begitu, kedua-duanya mempunyai ciri yang sama. Kebaya labuh lebih sesuai dipakai dalam upacara rasmi, istiadat dan majlis kenduri kahwin sahaja, sedangkan kebaya pendek dipakai di mana-mana dan pada bila-bila masa sahaja, oleh semua peringkat umur. | BUDAYA | Pakaian |