ALIRAN BENDALIR | Sistem terbuka dikenali juga sebagai isipadu kawalan. Dalam analisis aliran secara isipadu kawalan, pertama ditakrifkan sebagai satu rantau atau daerah kajian. Untuk membezakan daerah kajian daripada persekitarannya, maka satu sempadan yang meliputi rantau kajian dilakarkan. Sempadan ini dikenali pula sebagai permukaan kawalan S.Pada permukaan kawalan inilah jisim, tenaga, dan momentum boleh keluar masuk isipadu kawalan tersebut.....Rujuk Ensiklopedia Sains dan Teknologi | KEJURUTERAAN | Konsep |
SENEFELDER, ALOIS | Senefelder, Alois (1771–1834), mencipta proses litografi (lihat Litografi). Sebagai anak muda, Senefelder menulis drama. Oleh kerana dia tidak dapat menerbitkan dramanya, maka dia cuba mencetaknya sendiri. Semasa menyediakan goresan di atas papak batu, dia menulis di atasnya menggunakan krayon lilin dan mendapati bahawa goresan itu boleh didakwatkan (diwarnakan) dan dicetak. Dia lahir di Munich, Jerman. | UMUM | |
MAGNITUD | Magnitud ialah skala yang digunakan oleh ahli astronomi untuk mengukur kecerahan objek yang bercahaya di angkasa. Lebih cerah sesuatu bintang atau planet, maka lebih rendah nombor magnitudnya. Sistem magnitud adalah berasaskan usaha yang dilakukan oleh ahli astronomi Yunani purba, Hipparchus. Kira-kira pada tahun 125 S.M., Hipparchus mengelaskan bintang mengikut kecerahan. Dia menamakan bintang yang paling cerah sebagai bintang magnitud pertama, bintang yang kedua cerah sebagai bintang magnitud kedua dan seterusnya sehinggalah kepada bintang yang paling pudar. Bintang yang paling pudar digelar sebagai bintang magnitud keenam. | UMUM | |
SEGI EMPAT SAMA | Segi empat sama ialah rajah satah dalam geometri, yang mempunyai empat sisi yang lurus dan empat sudut tegak (90º) yang sama. Jika setiap sisi pada sesuatu segi empat sama berukuran empat sentimeter panjang, maka segi empat sama tersebut boleh dipotong menjadi 4 x 4, atau 16 segi empat sama yang lebih kecil yang mempunyai sisi satu sentimeter panjang. Luas segi empat sama tersebut bersamaan 16 sentimeter persegi (lihat Ukuran persegi ). Dalam aritmetik dan algebra, kuasa dua bagi sesuatu kuantiti ialah hasil kuantiti itu sendiri. Contohnya, 16 ialah kuasa dua 4, kerana 4 x 4 = 16. Jika b mewakili sebarang kuantiti, maka kuasa dua bagi b , atau b+ b, ditulis sebagai b² . Angka 2 kecil yang ditulis di sebelah kanan dan atas huruf b dikenali sebagai eksponen . Eksponen 2 tersebut menunjukkan bahawa kuantiti b hendaklah diambil dua kali sebagai satu faktor. Lihat juga Kuasa; Punca kuasa dua; Sisi empat. | UMUM | |
MEMORI | Memori ialah kebolehan untuk mengingat sesuatu yang sudah dipelajari atau yang pernah dialami. Memori merupakan bahagian penting dalam proses pembelajaran. Jika kita tidak mengingati langsung tentang masa lampau, maka kita tidak akan dapat mempelajari sesuatu yang baru. Semua pengalaman kita akan hilang sebaik sahaja pengalaman tersebut berakhir dan setiap keadaan baru betul-betul merupakan suatu perkara yang asing. Tanpa memori kita akan mengalami pengalaman yang sama berulang kali untuk “pertama kalinya”. Kita juga akan kehilangan nikmat yang diberikan oleh memori kepada kehidupan – nikmat kenangan yang indah di samping kenangan yang menyedihkan. | UMUM | |
ASPIDISTRA | Aspidistra ialah sejenis tumbuhan yang berasal dari Timur, tetapi ditanam secara meluas sebagai tanaman di rumah. Oleh sebab tumbuhan ini tumbuh dengan baik dalam keadaan yang kurang baik, maka tumbuhan ini juga dikenal sebagai tumbuhan besi tuangan . Daunnya banyak lagi panjang dan berkilat-kilat. Warna daunnya itu boleh jadi hijau tua, berjalur-jalur putih ataupun bertompok-tompok kuning. Aspidistra berbunga di pangkalnya dengan warna ungu keperangperangan. Pengelasan saintifik. Aspidistra termasuk dalam famili lili, Liliaceae. Genusnya Aspidistra elatior . | UMUM | |
KANDELA | Kandela ialah unit ukuran bagi keamatan lar, iaitu jumlah cahaya yang dihasilkan dalam satu arah tertentu oleh objek yang bercahaya. Apabila cahaya mempunyai keamatan lar yang lebih, maka cahaya yang terhasil adalah lebih terang. | UMUM | |
MINIT | Minit adalah unit yang digunakan untuk mengukur masa dan sudut. Dalam masa, 60 minit adalah satu jam. Setiap minit dibahagikan kepada 60 saat. Oleh sebab satu jam adalah 1∕24 daripada satu hari, maka satu minit adalah 1∕1440 daripada satu hari. Dalam pengukuran sudut, 60 minit adalah satu darjah. Sebuah bulatan dibahagikan kepada 360 darjah. Oleh itu, satu minit adalah 1∕121 600 daripada sebuah bulatan lengkap. Setiap minit bagi suatu sudut dibahagikan kepada 60 saat. | UMUM | |
AGEN | Agen ialah orang yang mewakili seseorang lain dalam urusan undang-undang, perniagaan, atau lain-lain. Orang yang mengupah agen dikenali sebagai prinsipal . Jika agen bertindak di dalam kuasa yang diberikan oleh prinsipal, maka prinsipal wajib bertanggungjawab seolah-olah dia yang bertindak. | UMUM | |
KEMATIAN BAYI | Kematian bayi ialah ukuran bagi menunjukkan bilangan bayi yang meninggal dunia sebelum mencapai setahun usia kelahiran mereka. Kadar kematian bayi ini menunjukkan jumlah bayi yang meninggal dunia setiap tahun bagi setiap seribu bayi yang lahir. Oleh sebab kadar ini mencerminkan keadaan kesejahteraan anggota masyarakat yang paling bergantung kepada orang lain, maka, kadar ini sering ditafsirkan sebagai ukuran sejauh mana satu-satu masyarakat itu menjaga anggota mereka. Atas alasan itu, maka, membandingan kadar kematian bayi antara negara atau komuniti yang berlainan ialah satu cara untuk menilai taraf hidup masyarakat itu. | UMUM | |