MAKAM | Makam ialah tempat menguburkan mayat. Sesetengah makam dibina dengan menebuk batuan, dan sesetengahnya dibina di atas tanah. Manusia purba menggunakan makam untuk menjaga mayat agar selamat. Orang Mesir percaya bahawa roh orang yang sudah meninggal akan datang mengunjungi makamnya. Mereka mendirikan Piramid, iaitu makam paling besar di dunia, untuk raja-raja mereka . | UMUM | |
MAKAM HABIB NOH | Makam Habib Noh, makam yang dianggap keramat yang terletak di Singapura. | SEJARAH DAN ARKEOLOGI | Artifak/Mentifak |
TAJ MAHAL | Taj Mahal ialah salah satu daripada makam yang tercantik dan termahal di dunia. Maharaja India, Shah Jahan memerintahkan pembinaan makam untuk memperingati isteri yang dikasihinya, Mumtaz Mahal yang meninggal dunia pada tahun 1629. Makam ini terletak berhampiran bandar raya Agra di bahagian utara India, di sebelah selatan tebing Sungai Jumna. Lebih kurang 20 000 orang pekerja telah diambil untuk membinanya dan ia telah disiapkan selepas lebih kurang 20 tahun, iaitu kira-kira pada tahun 1650. | UMUM | |
ANNE, SAINT | Anne, Saint, secara tradisi dianggap sebagai isteri Joachim dan ibu kepada Virgin Mary. Kisah mengenai kehidupannya ditemui hanya dalam buku yang keluarannya diragui, daripada Kitab Perjanjian Baru. Menurut kisah ini, seorang malaikat muncul di hadapannya dan mengumumkan bahawa anaknya akan direstui di seluruh dunia. Saint Anne mempunyai banyak makam yang didirikan untuknya. Salah sebuah makam yang paling terkenal ialah makam yang terletak berhampiran Quebec City, Kanada, iaitu makam Ste.-Anne-de-Beaupre. | UMUM | |
PIKTOGRAF | Piktograf ialah tulisan dalam bentuk gambar. Sebelum perkembangan abjad, ramai orang purba menyampaikan mesej mereka melalui piktograf. Orang Mesir mengukir atau mengecat piktograf pada makam dan tugu. Tulisan bergambar juga merupakan kaedah komunikasi bagi kaum Aztek dan juga masyarakat Orang Asli Amerika. Terdapat dua jenis piktograf, iaitu piktograf yang mewakili objek seperti lukisan bulan, dan piktograf yang mewakili idea seperti lukisan seorang kanak- kanak sedang memegang buku, yang mewakili seorang pelajar. Piktograf moden menggunakan gambar dan perkataan untuk menerangkan sesuatu cerita dengan lebih baik berbanding dengan penggunaan perkataan semata-mata. | UMUM | |
KHUFU | Khufu ialah salah seorang raja Firaun Mesir yang hidup kira-kira 2600 SM. Namanya masyhur kerana berjaya membina makam diraja iaitu piramid terbesar di Giza, berhampiran bandar Kaherah. | UMUM | |
KARBALA’ | Karbala’ ialah sebuah bandar yang terletak di selatan Iraq. Ia ialah salah satu bandar yang terpenting bagi orang Islam daripada kalangan pengikut Syiah kerana di situ terdapat makam Sayidina Husayn ibn ‘Ali r.a. | UMUM | |
MESHED | Meshed (pend. 1 463 508) ialah salah sebuah bandar terbesar dan pusat keagamaan utama Iran. Bandar ini terletak di dataran subur di sebelah timur laut Iran. Untuk lokasinya, lihat Iran (peta). Pada setiap tahun, ramai orang mengunjungi Meshed untuk melihat kubah emas makam Imam Reza, seorang pemimpin Islam. | UMUM | |
SHAH JAHAN | Shah Jahan (1592–1666) ialah pemerintah kelima empayar Mughal di India. Baginda menjadi pemerintah pada tahun 1627. Ketika pemerintahannya, rakyat Mughal berada dalam zaman keemasan, dengan bilik kebal yang dipenuhi harta dan gaya seni bina yang indah dan mengagumkan. Shah Jahan paling diingati kerana Taj Mahalnya yang amat sempurna, iaitu makam marmar putih yang amat besar yang dibina untuk permaisurinya di Agra, India (lihat Taj Mahal ). Baginda juga telah membina sebuah istana yang amat hebat dan luar biasa di Delhi. Istana ini berserta dengan bangunan lain masih lagi kekal sebagai contoh keagungan empayar Mughal. Dinasti itu mulai mengalami kemerosotan kerana terlalu banyak wang telah dihabiskan untuk kemewahan dan terlalu banyak tenaga yang telah disia-siakan dalam peperangan. Pemerintahan Shah Jahan sentiasa menghadapi masalah, dan seorang daripada puteranya telah merampas takhta daripadanya. | UMUM | |
PHRYGIA | Phrygia ialah sebuah negara purba yang terletak di antara Laut Mediterranean dengan Laut Hitam, iaitu di Turki tengah masa kini. Penduduk Phrygia merupakan orang Indo-Eropah yang datang dari tenggara Eropah selepas tahun 1200 S.M., dan menetap di kawasan yang pernah diperintah oleh kaum Hitti. Menurut legenda, raja-raja Phrygia yang awal termasuk Gordius dan Midas. Makam batu mereka yang hebat masih dapat dilihat di kawasan pergunungan di situ. Lihat Midas. | UMUM | |