MAKTAB MELAYU MATANG | MAKTAB MELAYU MATANG, maktab perguruan kedua di Perak. Maktab ini dibuka pada 11 Oktober 1913, setelah Sultan Idris Syah tertarik dengan pencapaian Maktab Melayu Melaka yang telah ditubuhkan pada tahun 1900. O.T. Dussek, pengetua maktab tersebut, telah memberi bantuan merangka struktur dan kurikulum Maktab Melayu Matang. Kekurangan guru-guru terlatih bagi sekolah-sekolah Melayu Perak tidak dapat ditampung oleh Maktab Melayu Melaka yang dapat mengambil hanya 10 orang pelatih dari Perak pada setiap tahun. Maktab Melayu Melaka juga terpaksa melatih guru pelatih dari negeri-negeri lain di Semenanjung Tanah Melayu. | SEJARAH DAN ARKEOLOGI | Institusi/Organisasi |
MAKTAB MELAYU TAIPING | MAKTAB MELAYU TAIPING, maktab perguruan yang pertama di Perak. Maktab ini ditubuhkan pada bulan Julai 1898. | SEJARAH DAN ARKEOLOGI | Institusi/Organisasi |
MAKTAB MELAYU TELUK BELANGA | MAKTAB MELAYU TELUK BELANGA, maktab perguruan Melayu pertama bagi Negeri-Negeri Selat. Maktab ini ditubuhkan pada tahun 1878 di Teluk Belanga, Singapura. Penubuhan maktab ini bertujuan untuk melatih guru lelaki bagi sekolah-sekolah vernakular Melayu di Negeri-Negeri Selat sebagai kesan daripada perkembangan sekolah vernakular Melayu yang agak baik. Sebelum tertubuhnya maktab ini, satu usaha telah dibuat oleh Rev. Keasberry untuk melatih guru-guru bagi sekolah vernakular Melayu Singapura dengan peruntukan $2400 dari Negeri-Negeri Selat. Dia telah menggunakan rumahnya untuk dijadikan maktab tersebut. | SEJARAH DAN ARKEOLOGI | Institusi/Organisasi |
MAKTAB MELAYU MELAKA | MAKTAB MELAYU MELAKA, maktab perguruan. Maktab ini ditubuhkan di Melaka pada 1 Mac 1900 dengan Mr. S.E. Codrington sebagai pengetuanya yang pertama. Penubuhan maktab ini diusahakan oleh R.J. Wilkinson, Pemangku Nazir Sekolah-sekolah Negeri-Negeri Selat (1898–1909). | SEJARAH DAN ARKEOLOGI | Institusi/Organisasi |
MAKTAB MELAYU JOHOR BAHRU | MAKTAB MELAYU JOHOR BAHRU, pusat latihan guru. Tarikh penubuhan maktab ini tidak dapat dipastikan, tetapi pada tahun 1919, maktab ini telah pun beroperasi dengan melatih seramai 10 orang guru pelatih. Rancangan untuk melatih guru dan membina bangunan baharu turut dicadangkan. Bagaimanapun hanya pada tahun 1926, maktab ini mendapat bangunan khas di hadapan Selat Tebrau, yang kini dikenal sebagai English College, Johor Bahru. Maktab Melayu Johor Bahru sebelum itu terletak di Jalan Ayer Molek, Johor Bahru. | SEJARAH DAN ARKEOLOGI | Institusi/Organisasi |
MAKTAB PERGURUAN SULTAN IDRIS | MAKTAB PERGURUAN SULTAN IDRIS, maktab perguruan melatih guru lelaki dan pencetus gerakan kebangsaan Melayu. Sebelum itu maktab ini terkenal dengan nama Sultan Idris Training College (SITC). Maktab ini ditubuhkan pada 23 November 1922 dengan mengambil nama Sultan Idris, almarhum Sultan Perak, yang memang telah menunjukkan minat yang sangat mendalam terhadap pendidikan bagi orang Melayu. Pada 29 November 1922, maktab ini telah dirasmikan oleh Sir George Maxwell, Ketua Setiausaha Negeri-Negeri Melayu Bersekutu. | SEJARAH DAN ARKEOLOGI | Institusi/Organisasi |
MAKTAB PERGURUAN PEREMPUAN MELAYU MELAKA | MAKTAB PERGURUAN PEREMPUAN MELAYU MELAKA, maktab latihan perguruan bagi guru wanita yang pertama di Malaysia. Maktab ini dibuka secara rasmi pada 31 Januari 1935 dengan nama The Malay Women’s Training College (MWTC). Maktab ini terletak di kawasan kampus seluas 17 hektar di Jalan Tun Fatimah, Durian Daun, Melaka. Kerajaan kolonial memilih Melaka kerana sifat historikal dan kedudukannya yang strategi. Di samping itu terdapat sebuah bangunan hospital yang telah dikosongkan dan diubahsuai untuk dijadikan maktab tanpa perbelanjaan yang besar. | SEJARAH DAN ARKEOLOGI | Institusi/Organisasi |
MAKTAB PERGURUAN KOTA BHARU | MAKTAB PERGURUAN KOTA BHARU, maktab perguruan yang pertama dibina di Kelantan. Maktab ini terletak di Pengkalan Chepa, Kelantan. Maktab ini mula dibina pada tahun 1952 dan siap pada tahun 1954. | SEJARAH DAN ARKEOLOGI | Institusi/Organisasi |
MAKTAB POLIS DIRAJA | Maktab Polis Diraja, pusat latihan yang ditubuhkan dengan tujuan untuk memberikan latihan asas dan latihan dalam perkhidmatan kepada pegawai dan ahli yang berpangkat rendah serta kakitangan Polis Diraja Malaysia (PDRM). | SAINS POLITIK DAN KETATANEGARAAN | Institusi/Organisasi |
MAKTAB PERGURUAN TEKNIK KUALA LUMPUR | Maktab Perguruan Teknik, Kuala Lumpur (MPT), maktab perguruan yang bertanggungjawab untuk melatih dan mendidik guru yang terlatih dalam bidang teknik dan vokasional. | SAINS POLITIK DAN KETATANEGARAAN | Institusi/Organisasi |