MAPHILINDO, gagasan untuk menyatukan negara-negara rumpun Melayu. Gagasan ini merangkumi Tanah Melayu Persekutuan (Malaya), Indonesia dan Filipina dalam satu persekutuan yang besar. Gagasan MAPHILINDO (Malaya, Philippines, Indonesia) dikemukakan oleh Diasdado Macapagal, Presiden Filipina, di Persidangan Menteri-Menteri Luar, di Manila pada bulan Jun 1963. Persidangan ini dihadiri oleh pemimpin dari ketiga-tiga negara untuk berunding bagi menyelesaikan konflik antara negara berkaitan isu penubuhan Persekutuan Malaysia yang dikemukakan oleh Tunku Abdul Rahman Putra pada tahun 1961. Persekutuan Tanah Melayu diwakili oleh Dato’ Abdul Razak bin Hussein, Timbalan Perdana Menteri merangkap Menteri Pertahanan; Indonesia diwakili oleh Dr. Subandrio, Menteri Luar; dan Filipina diwakili oleh Emmanuel Pelaez, Naib Presiden merangkap Setiausaha Luar Negara. Adalah diharapkan penubuhan gagasan ini dapat mewujudkan keamanan serantau dan ia dapat bertindak sebagai benteng kepada ancaman luar.
Thanks for clicking. That felt good.