SULTAN MANSUR SYAH I | SULTAN MANSUR SYAH I ( ? – 1793), Sultan Terengganu yang kedua keturunan Bendahara Johor. Baginda juga dikenali dengan panggilan Ku Tana Mansur, Tun Dalam, Raja Kecil, Yang Dipertuan Kecil dan Marhum Janggut. Baginda adalah putera Sultan Zainal Abidin I dengan Che Puan Besar Nang Rugayah. Baginda menggantikan ayahandanya menduduki takhta kerajaan Terengganu ketika berusia tujuh tahun dengan persetujuan suadara-saudaranya yang lain. Oleh sebab itu baginda dikenali dengan gelaran Raja Kecil. | SEJARAH DAN ARKEOLOGI | Tokoh |
RAJA KECIL | RAJA KECIL ( ? -1746), Sultan Johor-Riau (1718-1722). Baginda menduduki takhta kerajaan Johor pada tahun 1718 dengan memakai gelaran Sultan Abdul Jalil Rahmat Syah. Menurut Sejarah Melayu, Raja Kecil mendakwa baginda adalah putera Sultan Mahmud (Marhum Mangkat Dijulang) dan ibunya, Encik Pong. Raja Kecil dibesarkan di istana Minangkabau. Baginda mendapat kebenaran daripada Puteri Jamilan mengembara ke Tambang, Limon, Batanghari, Palembang, Johor, Lawas, Siantan, Bangka dan akhirnya pulang semula ke Minangkabau. Ketika berada di Lawas, Raja Kecil berkahwin dengan anak Dipati Mata Kucing. | SEJARAH DAN ARKEOLOGI | Tokoh |
TENGKU YAHYA | TENGKU YAHYA (1760 – 1791), Sultan Siak terakhir daripada keturunan Raja Kecil. Baginda adalah putera kepada Raja Ismail, Sultan Siak. Tengku Yahya juga dikenal sebagai Tengku Sulong, Sultan Ahmad Syah, Sultan Yahya Abdul Jalil Muzaffar Syah dan Marhum mangkat di Dungun. | SEJARAH DAN ARKEOLOGI | Tokoh |
RIAU-LINGGA | RIAU-LINGGA, kesultanan Melayu pada abad ke-18 dan abad ke-19. Nama kerajaan Riau-Lingga diubah bergantung pada tempat pusat kerajaan itu. Setelah kerajaan Melaka dikalahkan oleh Portugis pada tahun 1511, pusat kerajaan didirikan di bahagian selatan Johor, dan selama abad ke-17, kerajaan Melaka disebut kerajaan Johor. Pada tahun 1699, sewaktu Sultan Mahmud (Marhum Mangkat Dijulang) dibunuh, Bendahara Tun Abdul Jalil dilantik sebagai Sultan dengan memakai gelaran Sultan Abdul Jalil Riayat Syah IV. Pada tahun yang sama, kerajaan Johor diserang oleh Raja Kecil dari Siak yang mendakwa dirinya putera Sultan Mahmud. Dengan itu, pusat kerajaan Johor dipindahkan ke Pulau Bintan. Pada tahun 1709, sultan dan kerabat istana berpindah ke Riau, Pulau Bintan. Sepanjang abad ke-18, kerajaan Johor disebut Riau-Lingga kerana kota sultan terdapat di beberapa tempat di Riau, dan wilayah yang diperintah sultan termasuk Pulau Lingga, pulau-pulau lain di kawasan Laut China Selatan dan di Semenanjung Tanah Melayu, Johor dan Pahang. | SEJARAH DAN ARKEOLOGI | Kesultanan/Kerajaan/Pemerintahan |
MASJID KERSIK | MASJID KERSIK, salah sebuah masjid yang tertua di Patani, selatan Thailand. Masjid ini juga dikenal sebagai Masjid Pintu Gerbang. Masjid ini terletak di Kampung Kersik, lebih kurang 6 km dari bandar Patani. Masjid ini didirikan di halaman kota raja Patani pada masa pemerintahan raja-raja puteri Patani. Kampung Kersik dan kampung di sekitarnya seperti Kampung Bandar, Kampung Tanjuk Lulok dan Kampung Parit Marhum adalah antara kampung yang tertua di Patani dan pernah menjadi pusat kerajaan Melayu Patani pada abad ke-16 dan abad ke-17. | SEJARAH DAN ARKEOLOGI | Bangunan/Kota |
RAJA BUANG IBNI RAJA KECIL | RAJA BUANG IBNI RAJA KECIL (? -1760), Raja Siak yang kedua (1746-1747) dan (1754-1760). Raja Buang adalah anak Raja Kecil dengan Tengku Kamariah, puteri Sultan Abdul Jalil dari Johor (m.m 1699-1721). Dalam Tuhfat al-Nafis, baginda lebih dikenal sebagai Tengku Mahmud. Namun, baginda lebih dikenali umum sebagai Raja Buang. Menurut laporan Syarikat Hindia Timur Belanda (VOC), nama baginda ialah Raja Muhamad. Ayahanda baginda ialah Raja Kecil, pengasas kerajaan Siak. Raja Kecil pernah menawan Riau pada tahun 1718 dan mendakwa baginda adalah putera Sultan Mahmud Syah (Marhum Mangkat Dijulang) yang dibunuh pada tahun 1699. | SEJARAH DAN ARKEOLOGI | Tokoh |
SYEIKH DAUD ABDULLAH AL-FATANI | SYEIKH DAUD ABDULLAH AL-FATANI ( ? – 1847), penulis dan ulama Patani, Thailand. Nama penuhnya ialah Syeikh Wan Daud bin Abdullah bin Idris al-Fatani. Beliau lahir di Kersik, Patani. Ada pendapat yang mengatakan beliau lahir di Bendang Gucir, Patani atau Parit Marhum, Patani. Tarikh lahirnya juga tidak dapat dipastikan sama ada pada tahun 1721 atau 1742 atau 1769. Datuknya, Wan Idris digelar dengan Senik atau Tuk Wan Derasid dan berketurunan Raja Campa. Ayah Tuk Wan Derasid bernama Wan Abu Bakar bin Tuk Kaya Pandak bin Andi/Faqih Ali Datuk Maharajalela bin Mustafa Datuk Jambu/Sultan Abdul Hamid Syah ibni Sultan Muzaffar Waliullah ibni Sultan Abdullah `Umdatuddin (Wan Abu atau Wan Bo Teri Teri atau Maulana Israil (Raja Campa 1471). Ibu Syeikh Daud bernama Fatimah anak Wan Salamah binti Tuk Banda Wan Su bin Tuk Kaya Rakna Diraja bin Andi/Faqih Ali Datuk Maharajalela; di sinilah bertemunya nasab ayah dan nasab ibu Syeikh Daud. | SEJARAH DAN ARKEOLOGI | Tokoh |
SULTAN YUSUF IZZUDDIN SYAH | Kapsyen : Sultan Yusuf Izzuddin Syah SULTAN YUSUF IZZUDDIN SYAH (1890-1963), Sultan Perak yang ke-32 (1948-1963). Baginda adalah putera Sultan Abdul Jalil (Marhum Radhiallah). Baginda diputerakan pada 15 Januari 1890 di Bukit Chandan, Kuala Kangsar, Perak. Baginda mendapat pendidikan Melayu sebelum memasuki Hoger School, Kuala Kangsar (yang kemudiannya dikenal sebagai Clifford School). Kemudian baginda menyambung pelajarannya di Maktab Melayu, Kuala Kangsar. | SEJARAH DAN ARKEOLOGI | Tokoh |