NAIPAUL, SHIVA | Naipaul, Shiva (1945–1985) ialah penulis novel kelahiran Hindia Barat. Dia menulis tentang kehilangan kebudayaan Hindu di kalangan penduduk Trinidad keturunan India. Dia telah mengkritik hebat penjajah Trinidad pada masa lalu. | UMUM | |
PERAMALAN | Peramalan ialah amalan mencuba mengenal pasti peristiwa yang tidak diketahui melalui cara magik atau ghaib. Seorang peramal dianggap dapat mempelajari tentang masa lampau, masa kini, atau masa depan. Sesetengah peramal percaya mereka boleh tahu sebab-musabab berlakunya kejadian masa lalu, seperti penyakit atau kematian seseorang. Peramal lain, dikenali sebagai dowser, mendakwa mereka boleh menentukan tempat air berada di bawah tanah. Malah ada yang percaya mereka boleh meramalkan peristiwa, seperti bila seseorang akan meninggal dunia atau orang yang akan dikahwini oleh seseorang itu. | UMUM | |
MALAYAN UNION | MALAYAN UNION, kesatuan negeri-negeri Melayu berserta Melaka dan Pulau Pinang yang dibentuk kerajaan British pada 1 April 1945. Sebuah sistem pentadbiran dan perlembagaan baharu diperkenalkan menggantikan sistem pentadbiran sebelum perang. Idea menyatukan negeri-negeri Melayu telah lama dikemukakan, tetapi tidak dapat dilaksanakan pada masa lalu kerana tidak mendapat sokongan daripada raja-raja Melayu. | SEJARAH DAN ARKEOLOGI | Institusi/Organisasi |
ORANG SAXON | Orang Saxon ialah orang Jerman yang menyerang Kepulauan Britain kira-kira 1500 tahun yang lalu. Orang Angle dan Jute, yang juga orang Jerman, menyerang Britain pada masa yang sama. Kumpulan ini kemudiannya bersatu dan menubuhkan kerajaan Anglo–Saxon yang berakhir sehingga penaklukan Norman pada tahun 1066 (lihat Penaklukan Norman). | UMUM | |
SCRIBE, AUGUSTIN EUGÉNE | Scribe, Augustin Eugéne (1791–1861), penulis drama Perancis. Dia merupakan penulis yang berjaya dalam bentuk drama realistik yang dinamakan, the well-made play . Drama seperti itu bergantung pada kesan dan pada penerangan yang teliti tentang peristiwa lalu, sedangkan pada masa yang sama, menunjukkan peristiwa yang akan datang. Drama yang baik mengandungi suatu babak wajib pada klimaks apabila rahsianya didedahkan. Hasil daripada pendedahan rahsia, watak-watak itu akan menerima ganjaran atau denda. | UMUM | |
PERANG MU'TAH | Perang Mu’tah berlaku antara orang Islam dengan orang Rom di Syam ketika Rasulullah s.a.w. masih hidup. Antara sebab tercetusnya peperangan ini adalah kerana Rasulullah s.a.w. mengutuskan seorang utusan untuk menghantar kitab al-Quran kepada raja Basrah (di Syam). Apabila utusan yang membawa kitab tersebut singgah di kampung Mu’tah, dilihat oleh Syurahbil ibn ‘Amru al-Ghassaniy lalu dia dibunuh. Mengikut peraturan pada masa itu, utusan tidak boleh dibunuh. Oleh itu, Rasulullah s.a.w. berasa marah lalu Baginda menghantar satu pasukan tentera seramai 3000 orang ke Mu’tah pada bulan Jamadilawal tahun kelapan Hijrah. | UMUM | |
MUHARAM | Muharam, bulan yang pertama mengikut kalendar Hijrah. Ia dinamakan Muharam kira-kira pada tahun 412 M., ketika zaman Kilab ibn Murrah, iaitu datuk kelima kepada Rasulullah s.a.w. Bulan ini dinamakan Muharam kerana pada bulan ini orang Arab diharamkan berperang dan membuat serbuan. Dikatakan juga, ia dinamakan Muharam kerana pada masa itu mereka saling berperang dan melakukan pembunuhan yang besar, lalu mereka mengharamkan pembunuhan. Oleh sebab itu, mereka menamakan bulan itu Muharam. | UMUM | |
SURAH ‘ABASA | Surah ‘Abasa ialah salah satu daripada surah Makkiyyah, surah yang ke-80 mengikut susunan surah-surah al-Qur’an dan mengandungi 42 ayat. Surah ini dinamakan ‘Abasa (memasamkan muka) berdasarkan kisah Abdullah ibn Maktum yang menemui Rasulullah s.a.w. dan bertanyakan soalan kepada Baginda, tetapi Baginda enggan melayannya kerana pada masa itu Baginda sedang menerangkan tentang Islam kepada para bangsawan Quraisy. Lalu Allah S.W.T. menurunkan ayat yang berbunyi “’abasa wa tawalla”. | UMUM | |
SENAPANG BATU | Senapang batu ialah mekanisme menembak yang digunakan dalam pistol, senapang lantak, dan lain-lain senjata api semenjak kira-kira tahun 1620 hingga pertengahan tahun 1800-an. Senjata senapang batu mengandungi sekeping batu api diselitkan dalam sekeping bahan yang yang dinamakan sebagai pencekah . Apabila picu dipetik, pencekah akan terlantak ke hadapan dan batu api akan membidas sekeping besi pada paksi lalu mengeluarkan percikan api. Pada masa yang sama, piring kecil yang berisi serbuk bedil akan meletup. Percikan api akan menyebabkan serbuk bedil meletup dan mencucuh peledak utama di dalam laras. Senapang batu mungkin merupakan separuh cekah , iaitu dalam keadaan selamat – atau cekah penuh dan sedia untuk menembak. Senjata senapang batu kemudiannya digantikan oleh senjata api yang menggunakan tudung tukulan. Lihat juga Senapang lantak; Senjata api. | UMUM | |
POLIS | Polis ialah pekerja awam yang menguatkuasakan undang-undang dan mengekalkan keamanan. Tugas mereka ialah menghalang jenayah dan melindungi nyawa serta harta benda orang awam dalam sesebuah komuniti. Anggota-anggota polis lelaki dan wanita berkhidmat kepada komuniti dalam pelbagai cara. Mereka meronda jalan raya dengan tujuan untuk mengawal jenayah dan membantu menyelesaikan berbagai-bagai masalah orang ramai. Polis mengawal lalu lintas untuk memastikannya berjalan lancar dan selamat. Polis juga sering kali dipanggil untuk menyelesaikan pertelingkahan, mencari orang yang dilaporkan hilang atau membantu mangsa-mangsa kemalangan. Pada masa banjir, kebakaran dan lain-lain bencana, mereka menyediakan tempat berteduh, pengangkutan dan penjagaan kepada mangsa-mangsa. | UMUM | |