Sekolah ialah institusi yang menyediakan pendidikan. Kebanyakan sekolah boleh dijelaskan sebagai bangunan yang sering dikunjungi oleh kanak-kanak dan remaja untuk belajar membaca, menulis, matematik, sains, pengajian sosial, dan sebagainya. Walau bagaimanapun, ciri sesetengah sekolah berlainan daripada sekolah biasa. Contohnya, ramai kanak-kanak Australia yang tinggal di ladang biri-biri yang jauh dari bandar, mendapat pendidikan harian di rumah melalui radio dan televisyen. Guru mereka berada di studio yang menyiarkan maklumat dari jarak jauh. Murid-murid berbual dengan guru melalui sistem radio dua hala. Sekolah udara ini bukanlah bangunan yang dikunjungi oleh pelajar untuk mendapatkan pelajaran, tetapi masih dianggap sebagai sekolah. Di pusat jagaan kanak-kanak atau tadika , anak kecil yang dianggap murid tidak akan belajar membaca, menulis, dan mengira. Bagaimana pula dengan universiti yang menerima pelajar dewasa? Bolehkah ia dianggap sekolah? |