SUKU | Suku ialah satu kumpulan manusia yang bersaudara melalui nenek moyang yang sama. Sesetengah suku merupakan matrilineal (pertalian persaudaraan melalui nasab ibu). Suku yang lain ialah patrilineal (pertalian persaudaraan melalui nasab bapa). Ahli sesuatu suku dapat merasakan hubungan yang rapat antara satu sama lain, dan biasanya mempunyai semangat perpaduan yang utuh walaupun mereka mungkin tinggal berjauhan. Mereka sering berkongsi harta benda atau hak-hak istimewa. Kebanyakan suku dikatakan eksogami, iaitu ahli suku mesti berkahwin di luar suku. Suku sering dinamai mengikut totem (haiwan atau tumbuhan simbolik). Orang Asli Amerika mempunyai suku dikenali sebagai suku Bear atau suku Tobacco. | UMUM | |
BODI CANIAGO | BODI CANIAGO, nama suku matrilineal dan salah satu daripada dua laras atau tradisi politik Minangkabau. Organisasi sosial tradisional Minangkabau yang terpenting ialah suku, yang bersifat geneaologis. Setiap negeri iaitu perkampungan yang merupakan sebuah kesatuan komuniti adat terdiri daripada beberapa suku. Menurut tradisi Minangkabau, ada empat suku yang asli, iaitu Bodi, Caniago, Koto dan Piliang. Sebuah suku diketuai oleh seorang atau lebih penghulu adat. | SEJARAH DAN ARKEOLOGI | Bangsa/Suku/Kaum |
RUMAH GADANG | RUMAH GADANG, rumah tradisional yang dimiliki bersama sebagai rumah pesaka oleh keluarga matrilineal di daerah Minangkabau, Sumatera Barat, Indonesia. Rumah ini menjadi pusat pengaturan segala yang bersangkutan dengan kehidupan para kerabat matrilineal, dan juga melambangkan semangat demokrasi kerana di sinilah tempat rakyat bermusyawarah dan melaksanakan acara adat serta acara keagamaan. | BUDAYA | Bangunan/Kota |
KOTO PILIANG | KOTO PILIANG, nama suku dan salah satu daripada dua laras atau tradisi politik Minangkabau. Organisasi genealogis terpenting daripada masyarakat Minangkabau, yang matrilineal dengan sistem perkahwinan yang matrilokal itu, ialah suku, yang diketuai oleh seorang atau lebih penghulu adat. Orang Minangkabau yang tidak mempunyai suku, bererti orang yang telah dikeluarkan daripada komuniti adatnya. Koto dan Piliang ialah dua daripada nama suku yang dianggap tertua. | SEJARAH DAN ARKEOLOGI | Adat |
KEKERABATAN MELAYU | KEKERABATAN MELAYU, amalan sistem kekerabatan dwisisi dan sistem kekerabatan senasab (nasab ibu) di kalangan orang Melayu. Pada umumnya, orang Melayu mengamalkan sistem kekerabatan dwisisi (bilateral/cognatif system), kecuali bagi mereka yang tinggal di Negeri Sembilan dan di beberapa tempat di Melaka. Penduduk di kedua-dua negeri berkenaan mengamalkan sistem kekerabatan senasab variasi nasab ibu (matrilineal system). Sistem sosial yang berasaskan prinsip nasab ibu ini lebih dikenal dengan nama sistem sosial adat perpatih, sedangkan sistem sosial yang berasaskan prinsip kekerabatan dwisisi, secara umumnya lebih dikenal dengan sistem sosial adat temenggung. Walau bagaimanapun, pengaruh sistem kekerabatan Islam ketara sekali hingga terdapat banyak persamaan dalam kedua-dua sistem kekerabatan Melayu yang dimaksudkan. | BUDAYA | Kekerabatan |
DATUK SUTAN MAHARADJA | DATUK SUTAN MAHARADJA (1860 -1921), pelopor persuratkhabaran Melayu di Sumatera, Indonesia. Dia lahir di Sulit Air, Sumatera, Indonesia. Dia bersekolah Eropah di Kota Padang pada tahun 1873. Meskipun tidak tamat, dia belajar hukum daripada seorang jaksa dan peguam. Pada tahun 1882, Datuk Sutan Maharadja dilantik sebagai pembantu jaksa di Indrapura dan sebagai jaksa di Padang dan Pariaman, hingga tahun 1891. Dia bekerja sebagai wartawan Palita Ketjil, akhbar Melayu yang tertua di Sumatera (pertama terbit awal 1880-an). Melalui Palita Ketjil, dia melawan pemikiran agama yang antitarekat dan adat matrilineal yang disuarakan oleh seorang ulama Minangkabau, Syekh Ahmad Chatib. Pada tahun 1895, dia bekerja dengan Warta Berita, dan pada tahun 1904, dia bekerja dengan Tjaja Soematera. Melalui akhbar ini, dia melancarkan ‘revolusi adat demokratis’ melawan keabsahan kedudukan Tuanku Panglima Regen, penguasa peribumi tertinggi dan bangsawan Padang. | SEJARAH DAN ARKEOLOGI | Tokoh |