PERGELANGAN TANGAN | Pergelangan tangan ialah sendi yang menyambungkan tangan dan lengan bawah. Kita menggunakan pergelangan tangan untuk menggerakkan tangan ke atas, ke bawah dan ke sisi. Perkataan pergelangan tangan juga merujuk kepada satu kawasan di bahagian atas tangan. Kawasan ini termasuk lapan tulang kecil yang dinamakan karpal. | UMUM | |
PERPINDAHAN KE BARAT | Perpindahan ke barat membawa peneroka Amerika merentas benua dari Lautan Atlantik hingga ke Lautan Pasifik. Perpindahan ke barat ini bermula pada awal tahun 1600-an dengan petempatan orang Eropah di sepanjang pinggir pantai Atlantik, Amerika Utara. Ia berterusan hingga akhir tahun 1800-an. Pada waktu itu, perbatasan di barat Amerika Syarikat telah ditakluk. | UMUM | |
RHINELAND | Rhineland ialah kawasan bersejarah yang kini adalah Jerman. Ia terletak di sepanjang Sungai Rhine dan mengunjur ke barat, ke sempadan Belgium, Perancis, Luxembourg, dan Belanda (lihat Jerman [peta fizikal]). | UMUM | |
NISTAGMUS | Nistagmus ialah gerakan mata yang berirama dan di luar kawalan. Mata boleh bergerak dari sisi ke sisi, ke atas dan ke bawah, dalam bulatan, atau gabungan bentuk-bentuk gerakan tersebut. Pergerakan ini boleh cepat atau perlahan, dan tersentak-sentak atau lancar. | UMUM | |
PUTERI SA'ADONG | Puteri Sa’adong ( ? - ? ) ialah isteri kepada Raja Abdullah, pemerintah kerajaan Jembal ke-3 iaitu sebuah kerajaan di timur negeri Kelantan, pada abad yang ke-17. Puteri Sa’adong adalah puteri kepada Raja Luyor, iaitu raja ke-2 yang memerintah Jembal. Perihal kecantikan Puteri Sa’adong tersebar luas hingga ke negeri Serendah Sekebun Bunga Cerang Tegayung, iaitu negeri yang diperintah oleh Cik Siti Wan Kembang yang berpusat di Gunung Chinta Wangsa, Ulu Kelantan. Puteri Sa’adong yang juga dikenali sebagai Puteri Wijaya Mala dijadikan anak angkat oleh Cik Siti Wan Kembang. | UMUM | |
TASIK TE ANAU | Tasik Te Anau ialah tasik yang terbesar di Pulau Selatan New Zealand. Tasik ini luasnya 344 kilometer persegi dan panjangnya melebihi 64 kilometer. Ia mempunyai tiga buah terusan yang panjang yang menganjur ke luar ke arah pergunungan di bahagian barat. Kebanyakan puncak gunung di sekeliling tasik ini menjulang hingga melebihi 1800 meter di atas aras laut. Te Anau, sebuah bandar kecil di hujung selatan tasik ini, merupakan tempat percutian yang popular. Antara tarikannya ialah perjalanan dengan bot di Tasik Te Anau. Tasik ini juga merupakan tempat permulaan Milford Track, iaitu lorong pejalan kaki yang mengambil masa selama tiga hari untuk sampai ke Milford Sound. Untuk lokasi, lihat New Zealand (peta rupa bumi). | UMUM | |
SENEGAL | Senegal ialah negara di pantai barat laut Afrika. Ia terletak di hujung bonjolan besar di utara Afrika yang menganjur ke arah barat menghala ke Lautan Atlantik. Ia menganjur lebih jauh ke barat daripada negara-negara lain di tanah Besar Afrika. | UMUM | |
TIAN SHAN | Tian Shan, juga dieja Tien Shan,ialah banjaran gunung di Asia Tengah. Ia memanjang sejauh 2400 kilometer ke timur laut dari Pergunungan Pamir (lihat Pamir ). Ia merentang ke barat laut China. Tian Shan bermaksud Gunung Indah. Ia merupakan sistem pergunungan yang tertinggi di utara Tibet. Puncak Pobeda, setinggi 7439 meter di atas aras laut, ialah puncaknya yang tertinggi. Banyak sungai mengalir ke utara dari Tian Shan ke Kyrgyzstan dan Kazakhstan, dan ke selatan memasuki China. Sistem pergunungan ini mempunyai beberapa glasier yang terbesar di dunia. Jalan-jalan yang melalui genting merentas banjaran Tian Shan. Untuk lokasi, lihat Asia (peta rupa bumi). | UMUM | |
N | N ialah huruf ke-14 dalam abjad Inggeris. Ia juga huruf ke-14 dalam abjad yang digunakan oleh orang Semit yang pernah tinggal di Syria dan Palestin. Simbol ini berasal daripada hiroglif Mesir (atau tulisan bergambar) untuk ular. Kemudian tradisi Semit Barat menamakan huruf ini sebagai nun, perkataan yang digunakan untuk ikan. Orang Yunani mengambil alih huruf ini daripada Phoenicia dan menamakannya sebagai nu. Lihat Abjad. | UMUM | |
M | M ialah huruf ke-13 dalam abjad Inggeris. Ia juga merupakan huruf ke-13 dalam abjad yang digunakan oleh orang Semit yang pernah tinggal di Syria dan Palestin. Mereka menamakannya mem, yang dalam bahasa mereka bererti air, dan menyesuaikannya dengan bentuk hiroglif atau simbol gambar Mesir untuk air. Orang Yunani menamakannya mu . Lihat Abjad. | UMUM | |