MILOSEVIC, SLOBODAN | Milosevic, Slobodan (1941– ), menjadi Presiden Serbia, salah sebuah republik yang membentuk Yugoslavia pada tahun 1989. Dia telah dilantik semula pada tahun 1990 dan tahun 1992. Milosevic menjadi terkenal kerana semangat kebangsaannya yang melampau. Pada tahun 1990, dia telah menghapuskan kuasa pemerintahan sendiri yang dipegang oleh orang-orang Serbia di wilayah Kosovo dan Vojvodina. | UMUM | |
TEMPAT BERTEDUH | Tempat berteduh ialah suatu struktur atau keadaan semula jadi yang menyediakan perlindungan terhadap cuaca buruk, bahaya, atau gangguan serangga perosak. Manusia memerlukan tempat berteduh untuk melindungi diri mereka daripada kesejukan dan kepanasan yang melampau, serta daripada hujan, salji, dan angin. Terdapat pelbagai jenis tempat berteduh. Rumah ialah bentuk yang paling lazim. Jenis tempat berteduh lain ialah pondok hentian bas, pelindung bom, bangsal, dan pentas beratap. Tempat berteduh mudah alih termasuk khemah, treler, dan bot seperti bot rumah dan kapal layar. | UMUM | |
KEJUTAN | Kejutan ialah keadaan berbahaya yang boleh terjadi jika darah gagal beredar dengan betul di dalam tubuh. Keadaan ini kadangkala dikenali sebagai kejutan edaran. Kejutan juga boleh terjadi kerana sebarang penyakit atau kecederaan yang serius. Ia boleh juga disebabkan oleh tekanan emosi. Kejutan yang melampau boleh menjejaskan fungsi utama tubuh dan boleh membawa maut. | UMUM | |
METALOGRAFI | Metalografi ialah kajian tentang struktur dalaman logam dan aloi. Istilah ini juga boleh digunakan dalam kajian tentang seramik dan komposit, iaitu gabungan logam dengan serat bukan logam. Ahli metalografi menentukan bagaimana bahan akan bertindak balas dalam keadaan tertentu, seperti dalam keadaan panas atau sejuk melampau. Industri bergantung pada metalografi untuk menghasilkan, menguji dan memperbaiki keluaran seperti misil dan kapal angkasa. Ahli metalografi mengkaji sampel bahan menggunakan sinar-x dan mikroskop. Mikroskop elektron yang berkuasa tinggi membantu mereka mencipta bahan baru. | UMUM | |
PUPA | Pupa ialah peringkat yang agak tidak aktif dalam metamorfosis (perkembangan) kebanyakan serangga. Dalam metamorfosis lengkap , larva makan sehingga membesar sepenuhnya (lihat Larva ). Kemudian larva bersalin kulit menjadi pupa, satu bentuk sementara yang membolehkan struktur dewasa berkembang. Serangga dewasa muncul dengan memecahkan “kulit” pupa. Peringkat pupa mungkin lamanya satu atau dua hari, atau sehingga satu tahun atau lebih, bergantung pada spesies. Peringkat ini membolehkan sesetengah serangga dewasa, seperti rama-rama, mempunyai ciri-ciri yang sangat berbeza daripada ciri-ciri larva. Ia juga membolehkan sesetengah serangga yang berkembang mengelakkan kepanasan dan kesejukan yang melampau, kebuluran, dan kemarau. | UMUM | |
AEROPAGUS | Areopagus ialah majlis tertua dan paling dihormati pada zaman Athens purba. Warganegara ternama yang memegang jawatan sebagai archon, salah satu jawatan tertinggi di negara kota Athens, ialah anggota Aeropagus seumur hidup. Pada sejarah awal Athens, Areopagus mempunyai kuasa pentadbiran dan kuasa perlembagaan. Kira-kira pada tahun 600 S.M., sebuah kumpulan baru, Majlis Empat Ratus mengambil alih banyak tugas Areopagus. Kira-kira tahun 450 S.M., kebanyakan tugas dan keistimewaan Areopagus dipindahkan ke mahkamah awam. Tetapi Areopagus masih mengadili kes bunuh dan masih berkuasa untuk mendenda rakyat yang didapati bersalah kerana boros, biadab atau melampau. Majlis archon dinamai sempena nama Aeropagus atau Hill of Ares, iaitu tempat majlis itu bermesyuarat. Lihat juga Solon . | UMUM | |