MELEBUR | Melebur ialah kaedah mengasingkan logam daripada bijih aslinya. Proses melebur dilakukan dalam relau yang dibina khas. Relau bagas untuk membuat besi jongkong adalah setinggi bangunan 10 tingkat. Bijih besi, kok, dan batu kapur dimasukkan melalui bahagian atas relau. Bagas panas (udara prapanas) masuk dari bawah. Bagas ini membakar kok dan menghasilkan gas serta haba yang perlu untuk menurunkan besi daripada mineral oksidanya di dalam bijih dan juga membentuk sanga daripada tindak balas batu kapur dan sisa komponen bijih seperti silikon dan fosforus (lihat Sanga). Sanga lebur dan besi dikeluarkan dari bukaan di bawah relau. Gas relau pula dikeluarkan dari atas. Industri juga menggunakan relau bagas untuk melebur bijih lain untuk menghasilkan tembaga, plumbum dan feroaloi (aloi yang mengandungi besi). | UMUM | |
SANGA | Sanga ialah bahan bukan logam-logam yang dikeluarkan semasa proses membuat besi jongkong, melebur tembaga, plumbum, dan logam- logam lain. Sanga dari relau bagas keluli mengandungi sulfur dan silikat kalsium, magnesium, dan aluminium. Sanga dari relau tembaga dan relau melebur plumbum mengandungi besi silikat, dan oksida logam lain dalam kuantiti yang kecil. Sanga dari relau keluli mengandungi kapur, besi oksida, dan silika. Biasanya, bahan ini dilebur sekali lagi untuk mendapatkan besi. Sanga kadangkala digunakan untuk membuat simen dan jalan raya. | UMUM | |
SUHU PELEBURAN POLIMER | Suhu berlakunya perubahan keadaan polimer daripada pepejal ke cecair. Pada takat suhu peleburan, polimer mengalami perubahan sifat fizikal secara mendadak. Bahan polimer tidak mempunyai suhu peleburan yang tajam seperti bahan bermolekul kecil yang ringkas, contohnya air yang melebur tepat pada suhu 0ºC. | KEJURUTERAAN | Disiplin Ilmu |
TITANIUM | Titanium ialah unsur kimia dengan simbol Ti : Ia adalah logam yang ringan, berwarna kelabu perak. Nombor atomnya ialah 22, dan berat atomnya ialah 47.88. Ketumpatan titanium adalah antara ketumpatan aluminium dengan keluli tahan karat. Ia melebur pada 1667 ° C ( _ 10 ° C) dan mendidih pada 3287 ° C. Titanium tahan terhadap kakisan atau karat air laut atau udara laut dan juga sebaik platinum dan lebih baik daripada keluli tahan karat. Banyak asid dan alkali yang mengakis tidak menjejaskan titanium. | UMUM | |
NEODIMIUM | Neodimium ialah unsur kimia yang mempunyai simbol Nd. Ia adalah logam yang tergolong dalam kumpulan nadir bumi. Nombor atomnya ialah 60. Berat atomnya ialah 144.24. C. F. Auer von Welsbach dari Austria menemui unsur ini pada tahun 1885. Dia mengasingkan unsur yang dikenali sebagai didimium kepada neodimium dan praseodimium. Neodimium melebur pada 1021 o C, dan mendidih pada 3074 o C. Ia mempunyai ketumpatan 7.003 gram per sentimeter padu pada 25 o C. Logam ini boleh disediakan melalui elektrolisis garam halidanya, atau melalui penurunan garam ini oleh logam bumi alkali ini dengan menggunakan haba. Industri seramik menggunakan garam neodimium untuk mewarnakan kaca dan dalam serlis. Logam ini wujud dalam logam misch , iaitu aloi yang mempunyai banyak kegunaan, dan dalam laser Nd- YAG yang penting. | UMUM | |
POLIESTER | Poliester adalah mana-mana kumpulan bahan plastik yang digunakan dengan meluas. Poliester yang terpenting, polietilen tereftalet (PET), boleh dipintal menjadi serat, disemperit untuk dijadikan tapisan, atau digabungkan dengan bahan-bahan lain dan diacu menjadi bahagian plastik. PET ialah termoplastik – iaitu, ia menjadi lembut dan melebur pada suhu tinggi (lihat Plastik [Jenis plastik]). | UMUM | |
TELURIUM | Telurium ialah unsur kimia dengan simbol Te. Ia adalah separa logam. Telurium tulen biasanya didapati sebagai keluaran sampingan dalam penapisan tembaga. Secara semula jadi, unsur ini paling sering wujud berpadu dengan logam seperti tembaga, emas, plumbum, raksa, dan perak. Telurium adalah penting dalam pembuatan aloi tertentu dan dalam penyelidikan separa pengalir. Ia berfungsi sebagai agen perawatan bagi getah dan sebagai mangkin dalam penapisan petroleum. Ia juga digunakan untuk mewarnakan kaca dan seramik. Nombor atom telurium ialah 52, dan berat atomnya ialah 127.60. Telurium dalam bentuk hablur melebur pada 449.8 o C dan mendidih pada 989.9 o C. Telurium ditemui pada tahun 1782 oleh ahli kimia Austria, Franz Müller von Reichenstein. | UMUM | |
SKANDIUM | Skandium ialah logam yang lembut, berwarna putih keperakan. Simbol kimianya ialah Sc. Nombor atomnya ialah 21 dan berat atomnya ialah 44.9559. Pada tahun 1869, Dmitri Mendeleev dari Rusia meramalkan kewujudannya. Pada tahun 1879, Lars Nilson dari Sweden menemuinya dalam mineral gadolinit dan euksenit. Skandium dinamakan sempena nama Scandinavia. Skandium terdapat dalam sejumlah yang kecil dalam lebih daripada 800 mineral, tetapi sangat mahal untuk diekstradisi dan tidak mempunyai kegunaan yang penting. Skandium melebur pada 1541ºC dan mendidih pada 2831ºC. Ketumpatannya ialah 2.489 gram per sentimeter padu pada 20ºC. Lihat juga Unsur kimia (jadual). | UMUM | |
SAMARIUM | Samarium ialah unsur kimia dengan simbol Sm. Ia adalah satu daripada logam nadir bumi. Nombor atomnya ialah 62 dan berat atomnya ialah 150.36. Ketumpatannya ialah 7.536 gram per sentimeter padu pada 25 ° C (lihat Ketumpatan ). Ia dinamakan sempena nama jurutera Rusia Kolonel Samarski. Paul Émile Lecoq de Boisbaudran dari Perancis menemui samarium pada tahun 1879. Samarium paling baik dipisahkan daripada lain-lain nadir bumi melalui proses pertukaran ion atau proses ekstraksi pelarut. Samarium berwarna perak dan mengoksida dengan perlahan dalam udara. Oksida biasa, Sm 2 O 3 , berwarna kuning pucat dan larut dengan cepat dalam kebanyakan asid. Logam ini melebur pada 1074 ° C dan mendidih pada 1794 ° C. Aloi samarium dan kobalt adalah bahan magnet yang sangat baik dan mempunyai banyak kegunaan komersial. Lihat juga Bumi nadir; Unsur kimia. | UMUM | |
NEPTUNIUM | Neptunium ialah unsur yang dicipta secara artifisial dengan simbol kimia Np. Nombor atomnya ialah 93. Isotopnya yang paling stabil mempunyai berat atom 237 dan separuh hayat dua juta tahun (lihat Sinaran ). Neptunium ditemui oleh Edwin M. McMillan dan P.H. Abelson di University of California, Amerika Syarikat, pada tahun 1940. Ia mula-mula dihasilkan dengan membedil uranium dengan neutron perlahan. Neptunium yang dihasilkan dengan cara ini adalah tidak stabil dan mereput untuk membentuk isotop yang boleh digunakan untuk pembelahan nuklear. Ahli sains mencipta banyak neptunium dalam reaktor nuklear dan mengkaji sifat-sifat fizikal dan kimia. Logam neptunium mempunyai ketumpatan 20.25 gram per sentimeter padu pada 20 ° C. Ia melebur pada 639°C. | UMUM | |