Taiwan ialah sebuah pulau yang bergunung-ganang, terletak di Laut China Selatan, lebih kurang 140 kilometer dari perairan China. Orang Cina menamakan pulau ini Taiwan yang bermaksud teluk yang berteres. Hutan yang tumbuh meliar, sumber keindahan pulau ini, telah menyebabkan pelayar Portugis pada tahun 1590 menamakan pulau ini Ilha Formosa yang bermaksud pulau yang indah. Selepas Komunis China mengambil alih pemerintahan di tanah besar China pada tahun 1949, kerajaan Nasionalis China telah berpindah ke Taiwan. Presiden Parti Nasionalis China, Generalisimo Chiang Kai-shek menjadikan Taipei sebagai ibu negara Republik China. Kerajaan Nasionalis juga mengambil alih beberapa buah pulau di Selat Taiwan yang memisahkan Taiwan dengan China. Pulau-pulau ini termasuk Quemoy, Matsu dan gugusan Pulau Pescadores. Pulau Quemoy dan Matsu adalah sebahagian daripada provinsi Fujian kepunyaan Tanah Besar China, tetapi ditadbir oleh Taiwan. |