Arnab ialah haiwan kecil yang berbulu lembut, bertelinga panjang dan mempunyai ekor pendek yang gebu. Arnab tidak berjalan atau berlari seperti haiwan berkaki empat yang lain. Arnab bergerak dengan meloncat-loncat menggunakan kaki belakang yang panjang dan lebih kuat daripada kaki hadapan. Arnab juga menggunakan kaki hadapan apabila bergerak. Haiwan ini mengimbangi diri pada kaki hadapannya seperti manusia mengimbangkan tangan apabila bermain lompat katak. Apabila dikejar musuh, arnab boleh meloncat sehingga 30 kilometer sejam. Ramai kanak-kanak memelihara arnab sebagai haiwan kesayangan dan banyak kedai menjual arnab jinak yang dipelihara untuk dijadikan haiwan kesayangan. |