SYARIKAT KEWANGAN | Syarikat kewangan ialah firma yang meminjamkan wang kepada orang yang berjanji untuk membayar balik pinjaman itu berserta faedah dalam tempoh yang tertentu. Peminjam mungkin diperlukan memberi jaminan bahawa mereka akan membayar pinjaman itu, seperti lien bagi gaji mereka atau milik peribadi (lihat Lien). | UMUM | |
NOTA JANJI | Nota janji ialah janji tidak bersyarat serta tak boleh mansuh yang dibuat secara bertulis untuk membayar sejumlah wang tertentu apabila dituntut ataupun pada waktu yang telah ditetapkan kepada orang yang dinamakan. Nota janji biasanya berupa janji hendak membayar balik wang yang telah dipinjamkan untuk tujuan perniagaan. Jumlah yang harus dibayar balik itu biasanya lebih besar daripada jumlah yang dipinjam. Perbezaannya ialah faedah bagi pinjaman tersebut. Orang yang menandatangani nota tersebut dikenali sebagai pembuat . Orang yang akan dibuat bayaran kepadanya dikenali sebagai penerima . Tarikh apabila bayaran itu perlu dibuat dikenali sebagai tarikh tebus . | UMUM | |
KEBANKRAPAN | Kebankrapan ialah proses undang-undang yang dikenakan ke atas seseorang yang tidak dapat membayar hutang. Aset penghutang, atau bankrap, diagihkan antara pemberi kredit berdasarkan jumlah hutang yang ditanggung oleh penghutang. | UMUM | |
DRAF | Draf merupakan perintah bertulis yang dibuat oleh satu pihak untuk mengarahkan pihak kedua untuk membayar sejumlah wang yang ditentukan kepada pihak ketiga. | UMUM | |
SEWA BELI | Sewa beli ialah satu kaedah pembelian secara hutang. Kedai yang menjual barangan secara sewa beli selalunya menghendaki pembeli membayar sebahagian daripada harga barangan pada masa ia dijual. Pembeli kemudiannya akan membuat beberapa kali bayaran yang sama banyaknya seperti yang dinyatakan, sehingga bayaran dilunaskan sepenuhnya. Bayaran ini dikenali sebagai bayaran tertunda dan tempoh masa pembayarannya boleh dilanjutkan. | UMUM | |
ALAT BOLEH NIAGA | Alat boleh niaga, merujuk kepada jenis pertukaran undang-undang atau dokumen sama ada secara perjanjian atau arahan untuk membayar wang. Alat boleh niaga digunakan sebagai keterangan keterhutangan atau gantian kepada wang yang boleh dipindahkan daripada seseorang kepada seseorang. | UMUM | |
SEKAT MASUK KERJA | Sekat masuk kerja berlaku apabila seseorang majikan menutup kilangnya untuk mengelakkan pekerja daripada bekerja. Majikan menggunakan senjata ekonomi dengan menghentikan kerja dan tidak membayar upah supaya pekerja menerima syarat kerja atau upah tertentu. Tindakan ini, seperti juga mogok, merupakan senjata ekonomi yang digunakan dalam pertikaian buruh. Namun begitu, sekat masuk kerja berbeza daripada mogok kerana mogok ialah pemberhentian kerja yang dimulakan oleh pekerja untuk memaksa majikan supaya memenuhi tuntutan tertentu. | UMUM | |
PERSATUAN SEKERJA | Persatuan sekerja di Zaman Pertengahan ialah persatuan orang yang mempunyai minat yang sama, atau terlibat dalam tugas yang sama. Mereka menubuhkan pertubuhan-pertubuhan amal, keagamaan, dan sosial. Ahli persatuan keagamaan membayar wang untuk tabung bersama. Ahli yang memerlukan pertolongan disebabkan sakit atau untuk kegunaan masa tua menerima bantuan yang dikenali sebagai sedekah. Persatuan ini mengadakan upacara mass (upacara orang yang beragama Katolik) untuk ahli yang meninggal dunia. Pada tahun 1500-an, aktiviti persatuan keagamaan ini disekat di England. | UMUM | |
MORATORIUM | Moratorium ialah penangguhan sah untuk pembayaran hutang atau tanggungjawab kewangan. Ia dicapai melalui dekri perundangan atau eksekutif. Moratorium melambatkan tindakan undang-undang terhadap hutang dan tidak melepaskan penghutang daripada tanggungjawab untuk membayar tetapi sekadar menangguhkan tarikh hutang yang perlu dibayar. | UMUM | |
PASAR RAYA | Pasar raya ialah gedung besar menjual barang makanan dan pelbagai produk lain. Pelanggan pasar raya memilih sendiri barang yang diperlukan dan membayar di kaunter pembayaran. Pasar raya berbeza daripada kedai runcit terutamanya dari segi nilai jualan. Sesetengah pasar raya berbentuk kedai bebas, tetapi kebanyakannya membentuk cawangan yang dikenali sebagai rangkaian (lihat Rantaian). | UMUM | |