Memori ialah kebolehan untuk mengingat sesuatu yang sudah dipelajari atau yang pernah dialami. Memori merupakan bahagian penting dalam proses pembelajaran. Jika kita tidak mengingati langsung tentang masa lampau, maka kita tidak akan dapat mempelajari sesuatu yang baru. Semua pengalaman kita akan hilang sebaik sahaja pengalaman tersebut berakhir dan setiap keadaan baru betul-betul merupakan suatu perkara yang asing. Tanpa memori kita akan mengalami pengalaman yang sama berulang kali untuk “pertama kalinya”. Kita juga akan kehilangan nikmat yang diberikan oleh memori kepada kehidupan – nikmat kenangan yang indah di samping kenangan yang menyedihkan. |