Nabi Ismail a.s. ialah seorang nabi dan rasul, anak kepada Nabi Ibrahim a.s. dan ibu baginda Hajar berasal dari Mesir. Sarah, isteri pertama Nabi Ibrahim a.s. tidak dapat melahirkan zuriat pada waktu itu dan telah dihadiahkan seorang hamba perempuan oleh Raja Mesir untuk berkhidmat kepadanya. Dengan alasan tidak dapat melahirkan anak, Sarah telah memberikan hamba tersebut iaitu Hajar, kepada suaminya Nabi Ibrahim a.s. dengan harapan dapat melahirkan seorang anak yang dapat menggembirakan mereka. Akhirnya mereka dikurniakan seorang anak dengan kelahiran Nabi Ismail a.s. Setelah itu, perasaan cemburu mula timbul di hati Sarah lalu dia merayu suaminya membawa anak tersebut bersama-sama ibunya ke suatu tempat yang jauh daripada pandangan matanya. Hikmah Allah SWT sememangnya menghendaki perkara tersebut berlaku, lalu Nabi Ibrahim a.s. memperkenankan permintaan isterinya. Allah SWT mewahyukan kepada Nabi Ibrahim a.s. untuk membawa Nabi Ismail a.s. bersama-sama ibunya dan menempatkan kedua-duanya di suatu wadi yang tidak ditumbuhi sebarang tumbuhan. Ini merupakan satu ujian kepada Nabi Ibrahim a.s., iaitu perpisahan dengan anaknya yang sangat dicintai. |