PERAMALAN | Peramalan ialah amalan mencuba mengenal pasti peristiwa yang tidak diketahui melalui cara magik atau ghaib. Seorang peramal dianggap dapat mempelajari tentang masa lampau, masa kini, atau masa depan. Sesetengah peramal percaya mereka boleh tahu sebab-musabab berlakunya kejadian masa lalu, seperti penyakit atau kematian seseorang. Peramal lain, dikenali sebagai dowser, mendakwa mereka boleh menentukan tempat air berada di bawah tanah. Malah ada yang percaya mereka boleh meramalkan peristiwa, seperti bila seseorang akan meninggal dunia atau orang yang akan dikahwini oleh seseorang itu. | UMUM | |
SKEPTISISME | Skeptisisme adalah pergerakan falsafah pada zaman Yunani. Kumpulan ini mencuba melemahkan kepercayaan dalam pemerhatian dan taakulan, sebagai panduan yang boleh dipercayai untuk memahami dunia, dan mereka bertegang leher tentang semua kumpulan falsafah dogmatik. Mereka percaya bahawa manusia dapat memastikan cara pemerhatian mereka tetapi tidak dapat memastikan bahawa pemerhatian mereka membayangkan dunia nyata. Mengikut kumpulan Skeptik, manusia mesti mengetepikan keputusan tentang kebenaran atau kepalsuan dalam persepsinya. | UMUM | |
ALOPATI | Alopati ialah satu kaedah dalam amalan perubatan yang mencuba menyembuhkan penyakit dengan menghasilkan kesan pada tubuh badan yang berbeza dengan kesan daripada penyakit. | UMUM | |
ARTHUR, SIR GEORGE | Arthur, Sir George (1784–1854) ialah leftenan gabenor Van Diemen’s Land (kini Tasmania) dari tahun 1824 hingga tahun 1836. Dia menyokong pengangkutan dan mencuba mentadbirkan tanah jajahannya sebagai petempatan penjenayah. Dia tidak mempedulikan hak politik peneroka bebas dan sering kali menyebabkan mereka memusuhinya. Dia tidak suka akan kritikan dan mencuba menapis akhbar apabila dasar-dasar dan pentadbirannya diserang melalui akhbar. Pada tahun 1825, Van Diemen’s Land menjadi koloni yang terpisah daripada New South Wales dan mempunyai Majlis Perundangannya sendiri. Arthur mendirikan sebuah perkhidmatan awam yang cekap dan banyak berusaha menumpaskan perompakan di tanah jajahan tersebut. | UMUM | |
KESATUAN SEKERJA | Kesatuan sekerja ialah organisasi pekerja yang mencuba untuk memperbaiki gaji ahlinya dan keadaan bekerja mereka. Mereka melakukannya melalui perundingan dengan wakil-wakil majikan dalam prosedur yang dikenali sebagai perundingan kolektif. Kesatuan juga memperjuangkan hal berkaitan dengan kesihatan, piawaian keselamatan, dan latihan- latihan kemahiran, di samping mencari faedah lain kepada ahlinya seperti potongan harga barangan dan memperuntukkan kemudahan pusat jagaan bagi ibu-ibu bekerja. Penubuhan kesatuan sekerja serta pengambilan ahli baharu, sah di sisi undang-undang kebanyakan negara. Walau bagaimanapun, di negara-negara yang mengamalkan demokrasi, aktiviti yang dijalankan, tertakluk kepada garis panduan yang ditetapkan. Di beberapa buah negara seperti Kesatuan Soviet, kesatuan sekerja bebas biasanya tidak dibenarkan. | UMUM | |
TERJUNAN KUTUB UTARA 1998 | Terjunan Kutub Utara 1998 ialah ekspedisi yang diusahakan bagi membuktikan kemampuan Malaysia mencuba sesuatu yang mencabar dan berani bersaing dengan negara-negara maju dunia. Ekspedisi yang dinamakan ‘Ekspedisi Terjun Bebas Kutub Utara’ ini dilancarkan oleh Perdana Menteri Malaysia , Tun Dr. Mahathir Mohamad, pada 29 Mac 1998. Ia diketuai oleh Rahim Dahalan atau dikenali sebagai ‘Rahim King’. | UMUM | |
MAIMONIDES, MOSES | Maimonides, Moses (1135–1204), ahli falsafah Yahudi yang paling penting pada Zaman Pertengahan. Maimonides mencuba menunjukkan keserasian falsafah yang diajarkan oleh pemikir Yunani purba, Aristotle, dengan tradisi Yahudi. | UMUM | |
KEMATIAN | Kematian bermakna berakhirnya kehidupan. Semua benda hidup akhirnya akan mati, tetapi barangkali hanya manusia yang boleh membayangkan kematian mereka. Kebanyakan manusia takut kepada kematian dan mencuba untuk tidak memikirkan tentangnya. Walaupun begitu, sikap berhati-hati terhadap kematian merupakan salah satu daripada dorongan utama yang membentuk tamadun manusia. Sepanjang peredaran sejarah, manusia tidak pernah berhenti mencari kaedah perubatan terkini untuk melambatkan kematian. Ahli falsafah dan ketua agama telah mencuba untuk memahami makna sebenar kematian. Sesetengah para cerdik pandai percaya bahawa perkembangan manusia ini ialah hasil daripada kemampuan manusia mengatasi kematian dan memperoleh keabadian hasil pencapaiannya yang berkekalan. | UMUM | |
MENGUMPUL DUIT SYILING | Mengumpul duit syiling adalah salah satu hobi yang sangat popular di dunia. Kebanyakan pengumpul duit syiling akan berasa seronok apabila mencuba mendapatkan set lengkap duit syiling sesebuah negara atau memperolehi satu atau lebih duit syiling tertentu. Sesetengah orang mengumpul duit syiling sebagai karya seni. Manakala yang lainnya berbuat demikian sebagai satu pelaburan, iaitu untuk dijual kemudiannya bagi mendapat keuntungan. Melalui duit syiling yang dikumpul, seseorang pengumpul dapat mengetahui perihal orang ternama dan peristiwa tertentu dalam sejarah sesebuah negara. | UMUM | |
ALKIMIA | Alkimia ialah gabungan sains kuno, sihir dan falsafah mistik. Ia terkenal pada awal penyebaran agama Kristian sehinggalah kira-kira pada tahun 1700. Alkimia mencuba mengubah logam yang tidak bernilai menjadi perak dan emas. | UMUM | |