MENDAKI GUNUNG | Mendaki gunung ialah sukan pendakian sesebuah gunung untuk sampai ke puncaknya. Pendakian gunung sebagai satu sukan bermula di Eropah apabila orang mula mendaki puncak gunung hanya untuk cabaran dan pengembaraan. Kebanyakan gunung-gunung utama, kecuali yang terletak di kawasan yang sangat terpencil di dunia, sudah didaki. Puncak yang paling tinggi di Amerika Utara yang terletak di Gunung McKinley, mula didaki pada tahun 1913. Pada tahun 1953, Sir Edmund Hillary dari New Zealand dan Tenzing Norgay dari Nepal menjadi orang pertama sampai ke puncak Gunung Everest di Asia, iaitu gunung yang tertinggi di dunia. Lihat Gunung Everest; Gunung McKinley. | UMUM | |
MENDAKI | MENDAKI, pertubuhan orang Melayu Singapura. MENDAKI ialah singkatan Majlis Pendidikan Anak-anak Islam di Singapura. Pertubuhan ini ditubuhkan pada 10 Oktober 1982. Nama pertubuhan ini kemudiannya ditukarkan kepada Majlis Pembangunan Masyarakat Islam Singapura (MENDAKI II) pada bulan Jun 1989. | SEJARAH DAN ARKEOLOGI | Kegiatan |
STRZELECKI, SIR PAUL EDMUND DE | Strzelecki, Sir Paul Edmund de (1797–1873), ialah penjelajah dan ahli sains Poland, yang mendaki dan menamakan Gunung Kosciusko, puncak tertinggi di Alps Australia, pada tahun 1840. Dia berminat dalam bidang geologi dan mineralogi. Strzelecki meneroka sebahagian besar New South Wales serta Pulau Tasmania. Pada tahun 1839, dia menemui sedikit logam emas berdekatan Hartley dan Wellington, di New South Wales. Dia menyatakan bahawa kawasan Bathurst mengandungi emas dalam jumlah yang banyak. Pada tahun 1840, dia pergi dari Gunung Kosciusko melalui Gippsland ke West Port, dan Melbourne. Laluan yang sukar membuatkannya meninggalkan kuda dan sebilangan contoh-contoh geologi. Strzelecki lahir berhampiran dengan tempat yang kini dikenali Poznan´, di Poland. Dia mendapat pendidikan di Warsaw, dan menganggotai angkatan tentera Prussia. Dia sampai di Australia pada tahun 1839, tetapi menetap di Britain pada tahun 1843. | UMUM | |
SMYTHE, FRANCIS SYDNEY | Smythe, Francis Sydney (1900–1949) ialah pendaki gunung, pengarang, dan jurufoto British yang terkenal. Pada tahun 1927 dan tahun 1928, dia membuka beberapa laluan baru di Brenvan Face di Mont Blanc. Pada tahun 1930, dia mengambil bahagian dalam percubaan mendaki Kanchenjunga. Pada tahun 1931, dia memimpin dengan jayanya cubaan mendaki Gunung Kamet. Dia turut serta dalam ekpedisi Gunung Everest pada tahun 1933, 1936, dan tahun 1938 dan menemui jalan terus ke puncak sebelah barat North Col. Smythe lahir di Ivythorne, berhampiran Maidstone, di Kent. | UMUM | |
ANNAPURNA I | Annapurna I , puncak gunung setinggi 8078 meter dan merupakan gunung yang kesebelas tertinggi di dunia. Puncak ini terletak di pergunungan Himalaya. Annapurna I terletak di bahagian tengah Nepal dan membentuk sebahagian daripada kumpulan gunung Annapurna. Orang Nepal menggelar puncak gunung yang diselubungi salji ini Dewi Penuaian, kerana mereka percaya puncak ini mengawasi ladang tanaman di penara subur di Pokhara yang terletak bersebelahan. Pada tahun 1950, satu ekspedisi 11 orang yang dipimpin oleh Maurice Herzog dari Perancis mendaki Annapura. Sebelum Puncak Everest didaki pada tahun 1953, Annapurna adalah puncak yang paling tinggi pernah didaki. Lihat juga Gunung (jadual gambar rajah). | UMUM | |
PUTERI GUNUNG LEDANG | PUTERI GUNUNG LEDANG, puteri legenda. Dia dipercayai berketurunan jin dan tinggal di puncak gunung Ledang, Johor. Kisah puteri ini telah menjadi legenda bagi masyarakat Melayu di Malaysia. Cerita tentangnya terdapat dalam bentuk lisan yang disampaikan di kalangan masyarakat setempat dalam bentuk tulisan seperti dalam Sejarah Melayu. Orang Melayu percaya puteri ini wujud, oleh itu pertuturan dan tingkah laku hendaklah dijaga jika mahu mendaki gunung tersebut. Jika tidak dipatuhi, dipercayai orang itu akan ditimpa sesuatu bencana. | BUDAYA | Konsep |
PETRIE | Petrie ialah nama sebuah keluarga peneroka di Australia . Andrew Petrie (1798–1872) ialah pembina bangunan dan salah seorang peneroka yang pertama di Brisbane, Queensland, Australia. Dia lahir di Fife, Scotland. Dia tiba di Sydney dan bertugas sebagai pekerja bebas pada tahun 1831. Selepas bekerja sebagai kerani di jabatan kelengkapan, Petrie menjadi penyelia kerja di Teluk Moreton (kini Brisbane) pada tahun 1837. Apabila stesen banduan dipindahkan pada tahun 1839, Petrie tinggal di tempat yang sama sebagai peneroka bebas. Dia mereka bentuk dan membina banyak bangunan yang penting di sekitar tempat tersebut. Perjalanannya memberi banyak pengetahuan mengenai kawasan sekitar. Petrie ialah orang yang pertama mendaki Gunung Beerwah, di Pergunungan Glasshouse. Dia membawa balik ke Brisbane contoh-contoh pertama pain bunga. Pada tahun 1842, dia menemui Sungai Mary. | UMUM | |