PERANCANGAN TARAF BAHASA MELAYU | PERANCANGAN TARAF BAHASA MELAYU, usaha mendaulatkan bahasa Melayu. Apabila kita mengambil tindakan secara bersendirian atau berkelompok untuk menjadikan suatu bahasa kebangsaan atau bahasa rasmi sesebuah negara, atau mengenakan syarat-syarat kepada masyarakat supaya menggunakan suatu bahasa, maka proses itu diistilahkan sebagai proses perancangan taraf bahasa. Sebaliknya, apabila kita menjalankan usaha untuk membentuk atau menyelaraskan ejaan, sebutan, imbuhan, perkataan, istilah, tatabahasa dan menyusun dan menyelaraskan makna perkataan serta penggunaannya, maka proses itu diistilahkan sebagai proses perancangan bahan atau korpus bahasa. | BAHASA | Bahasa |
DEWAN BAHASA | DEWAN BAHASA, majalah bahasa yang diterbitkan oleh Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) pada tahun 1957. Keluaran sulungnya ialah pada bulan September 1957 dengan cogan kata yang berbunyi ‘Mendukung Cita-cita Bahasa Jiwa Bangsa’. Cogan kata ini selaras dengan matlamat penubuhan DBP, iaitu untuk memenuhi perjuangan dan aspirasi rakyat mendaulatkan bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan. | BAHASA | Penerbitan |
HADIAH CERPEN MALAYAN BANKING-DBP | HADIAH CERPEN MALAYAN BANKING-DBP, peraduan penulisan cerpen. Peraduan ini khusus kepada penulis Malaysia yang bahasa ibundanya bukan bahasa Melayu. Syarat-syarat pertandingan antara lain ialah cerpen yang dikemukakan hendaklah karya asli, cerpen tersebut juga tidak pernah disiarkan baik secara cetakan atau stensilan. Hadiah cerpen ini ditaja oleh Malayan Banking Berhad dengan kerjasama Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP). Pemberian hadiah ini, sejajar dengan matlamat untuk menarik lebih ramai penulis di kalangan yang bahasa ibundanya bukan Bahasa Melayu untuk mengungkapkan daya kreatif mereka dalam bahasa Melayu. Di samping itu, untuk meneguhkan pengucapan kesusasteraan tanah air di kalangan penulis bukan Melayu dan mendaulatkan penggunaan bahasa kebangsaan. | SASTERA | Anugerah/Hadiah |