Salman al-Farisiy ( ? –36 H./ ? –656 M.) ialah salah seorang sahabat nabi yang berasal daripada golongan Ansar yang menetap di Madinah (dulu Yathrib atau Tayyibah). Dia berketurunan Parsi dari Isfahan. Sebelum Islam, dia berpindah ke Syam, al-Mosul, Nasibyan dan ‘Umuriah untuk mencari pegangan yang boleh menenangkan jiwanya. Dia bergaul dengan para pendeta dan banyak membaca buku karangan orang-orang Parsi, Rom dan Yahudi. Kesemua buku tersebut tidak berjaya menyelamatkannya daripada arus kesesatan. Akhirnya dia menuju ke negeri Arab. Semasa dalam perjalanan ke sana, dia berjumpa dengan serombongan penyamun Bani Kalb. Mereka menculiknya lalu menjualnya kepada seorang Yahudi. Akhirnya dia dibawa ke Madinah dan dipaksa bekerja di ladang. |