PERGUNUNGAN URAL | Pergunungan Ural menganjur kira-kira 2400 kilometer merentasi bahagian barat Rusia. Pergunungan ini menganjur ke selatan, bermula daripada Bulatan Artik hingga menghampiri sempadan Kazakhstan. Ramai ahli geografi menganggap pergunungan ini sebagai salah satu sempadan antara Eropah dan Asia. Lihat Rusia (peta rupa bumi). | UMUM | |
MISTRAL | Mistral adalah angin utara yang sejuk, kering, dan bertiup kencang dari barat Alps dan penara di selatan Perancis dan keluar ke Mediterranean. Udara yang berat dan sejuk dari tanah tinggi bergerak semakin laju apabila menghampiri udara yang lebih panas dan ringan di atas permukaan laut pada musim sejuk. Keadaan ini menyebabkan wujudnya angin kencang secara tiba-tiba, apabila angin sejuk turun ke aras laut dan angin panas bergerak ke atas. Mistral menyebabkan fros berlaku dan menyebabkan kerosakan tumbuhan. Keadaan ini tidak sesuai bagi ladang anggur di selatan Perancis. Angin mistral lazimnya bertiup selama 100 hari dalam setahun. | UMUM | |
WARNA | WARNA, sesuatu yang mencerminkan struktur sosial secara simbolis dan mempunyai pengertian tertentu dari segi magis dan perubatan. Dalam budaya Melayu, warna sangat rapat dengan alam persekitaran semula jadi. Selain warna-warna dasar seperti putih, hitam, merah, biru atau kuning, terdapat beberapa cahaya warna yang menghampiri warna-warna dasar itu. Biasanya istilah cahaya adalah mengikut kepekatan dan kecairan warna itu, iaitu sama ada tua atau muda, maka terdapatlah warna seperti merah tua atau merah muda, dan kuning tua atau kuning muda. Di samping itu, terdapat cahaya warna yang diistilahkan mengikut apa yang dilihat pada alam semula jadi, terutamanya tumbuh-tumbuhan seperti merah pulasan daripada warna buah pulasan, kuning kunyit, daripada warna kunyit dan hijau pucuk pisang, cahaya yang menyerupai warna pucuk pisang. Lembayung, pinang masak, biji remia, biji asam, bunga keduduk dan kulit manggis adalah istilah bagi warna tertentu daripada tumbuh-tumbuhan. Unsur –unsur lain daripada alam semesta adalah seperti tanah liat (kuning), laut (biru), batu (merah), darah-darah ikan (merah) atau asap (kelabu). Semua istilah ini mencerminkan pandangan hidup orang Melayu. | BUDAYA | Konsep |
PARARATON | PARARATON, hasil sastera sejarah yang berbentuk prosa yang ditulis dalam bahasa Jawa Tengahan. Separuh bahagian permulaannya menceritakan kisah Ken Angrok dari lahirnya hingga menemui ajalnya. Menurut cerita, Ken Angrok dikatakan anak yang ajaib. Apabila dewasa, dia menjadi seorang yang sangat jahat. Akhirnya dia menaiki takhta Tumapel yang kemudian dikenal sebagai Singasari dengan gelaran Prabu Ronggah Rajasa. Dia juga diberi gelaran sebagai Sri Girindratanya. Ken Angrok dikatakan menjadi leluhur raja-raja Majapahit. Bahagian akhir kitab Pararaton memaparkan keadaan kerajaan Majapahit sejak awal hingga menghampiri keruntuhannya. | SASTERA | Penerbitan |