SEJARAH NEW ZEALAND | New Zealand, Sejarah . New Zealand dinamakan oleh seorang pelukis peta Belanda yang tidak diketahui, selepas jurumudi Belanda, Abel Tasman mengunjungi kawasan ini pada tahun 1642. Tasman merupakan orang Eropah pertama yang diketahui mengunjungi New Zealand . Tetapi New Zealand sudah dijumpai dan didiami seribu tahun lebih awal oleh penduduk Polinesia Timur, mungkin dari Kepulauan Cook atau Tahiti. Pada pertengahan tahun 1800-an, keturunan daripada mereka ini menggunakan nama Maori, daripada ungkapan mereka tangata maori (orang biasa), untuk membezakan mereka daripada pendatang asing Pakeha (Eropah) – peneroka British yang menjajah negara itu pada waktu itu. Orang Maori memanggil negara mereka Aotearoa, bermakna negara awan putih yang panjang, yang dikatakan oleh sesetengah orang Maori sebagai nama yang mula-mula digunakan oleh Kupe, penemu legenda negara ini. | UMUM | |
SUSSEX | Sussex ialah kaunti yang besar di pantai barat daya England. Ramai orang bercuti mengunjungi bandar-bandar tepi pantainya pada musim panas. Kebanyakan penduduk Sussex tinggal berdekatan dengan kawasan pantai dan berulang-alik ke London kerana bekerja. Salah satu daripada pertempuran masyhur dalam sejarah Britain berlaku di Sussex berhampiran bandar Hastings pada tahun 1066. Pada pertempuran ini, Duke William dari Normandy mengetuai serangan yang berjaya menakluki England dan menjadi King William I (the Conqueror). | UMUM | |
PERGUNUNGAN ADIRONDACK | Pergunungan Adirondack adalah sekumpulan gunung yang melitupi kawasan seluas 30 000 kilometer persegi di barat laut negeri New York. Pergunungan Adirondack terletak di sebelah barat Pergunungan Appalachian. Ramai pelancong dan ahli sukan mengunjungi Pergunungan Adirondack untuk melihat hidupan liar dan menyaksikan pemandangan yang indah. Kawasan ini mempunyai kira-kira 100 puncak gunung dan hampir separuh daripadanya mencapai ketinggian melebihi 1200 meter. Gunung Marcy ialah puncak tertinggi di negeri New York. Ketinggiannya 1629 meter. Puncak Algonquin mencapai ketinggian 1558 meter. Tasik Champlain dan Tasik George adalah antara ratusan tasik yang terdapat di kawasan itu. Tasik Saranac dan Tasik Placid merupakan tempat percutian yang terkenal. | UMUM | |
MESHED | Meshed (pend. 1 463 508) ialah salah sebuah bandar terbesar dan pusat keagamaan utama Iran. Bandar ini terletak di dataran subur di sebelah timur laut Iran. Untuk lokasinya, lihat Iran (peta). Pada setiap tahun, ramai orang mengunjungi Meshed untuk melihat kubah emas makam Imam Reza, seorang pemimpin Islam. | UMUM | |
NUFAYR IBN MALIK | Nufayr ibn Malik (?–80 H./?–699 M.) ulama hadith. Nama sebenarnya ialah al-Imam al-Kabir Nufayr ibn Malik ibn Amir Abu Abd al-Rahman al- Hadramiy al-Himsiy. Dia sempat mengenali Rasulullah s.a.w. dan mengunjungi Baginda seperti yang disebut oleh Ibn al-Athir. Dia meriwayatkan hadith daripada Abu Bakar (dipercayai kemungkinan dia pernah berjumpa dengan Abu Bakar), ‘Umar, al-Miqdad, Abu Dhar, Abu Darda, Aishah dan sahabat-sahabat lain. Hadith-hadith Nufayr ibn Malik diriwayatkan pula oleh anaknya Abd al-Rahman, Makhul, Khalid ibn Mi dan beberapa orang lagi. Dia tergolong dalam kalangan ulama hadith yang pakar. Hadithnya terdapat dalam semua kitab hadith kecuali kitab Sahih al-Bukhariy . Ini adalah kerana Nufayr ibn Malik meriwayatkan hadith daripada sahabat-sahabat tanpa berjumpa dengan mereka, sedangkan al-Bukhariy tidak menerima sesuatu hadith kecuali guru yang meriwayatkan hadith berjumpa sendiri dengan perawinya. Nufayar ibn Malik dikatakan meninggal dunia pada tahun 75 H. | UMUM | |
MAKAM | Makam ialah tempat menguburkan mayat. Sesetengah makam dibina dengan menebuk batuan, dan sesetengahnya dibina di atas tanah. Manusia purba menggunakan makam untuk menjaga mayat agar selamat. Orang Mesir percaya bahawa roh orang yang sudah meninggal akan datang mengunjungi makamnya. Mereka mendirikan Piramid, iaitu makam paling besar di dunia, untuk raja-raja mereka . | UMUM | |
THORNDIKE, DAME SYBIL | Thorndike, Dame Sybil (1882–1976) ialah pelakon wanita British yang unggul. Bakatnya yang serba boleh terserlah dalam persembahan komedi moden, tragedi Yunani, drama puisi, dan klasik dari beberapa buah negara. Dari tahun 1914 hingga tahun 1918, Thorndike berada di Teater Old Vic, London, melakonkan berbagai-bagai watak dalam drama Shakespeare. Semasa Perang Dunia II, dia mengunjungi beberapa buah bandar perlombongan dan perkampungan di Britain. Sybil Thorndike lahir di Gainsborough, Lincolnshire , England . Pada tahun 1961, Thorndike dilantik sebagai Komander Dame bagi Penerima Darjah Empayar British. | UMUM | |
PSYCHE | Psyche ialah seorang puteri dalam mitos purba. Dia begitu cantik sehingga orang berpaling memujanya, dan bukannya Venus, dewi cinta. Venus menjadi marah, lalu menghantar anak lelakinya, Cupid (Cinta) untuk menghukumnya. Walau bagaimanapun, Cupid jatuh cinta kepada Psyche dan melarikannya ke istana dunia pari- parinya yang diperbuat daripada emas dan batu permata. Cupid mengunjungi Psyche hanya pada malam hari sahaja dan memberitahunya bahawa sekiranya dia melihat Cupid dalam cahaya, dia terpaksa meninggalkan Psyche untuk selama- lamanya. Tetapi Psyche, selalu digesa oleh saudara- saudara perempuannya yang zalim, pada suatu malam menyalakan lampu untuk melihat Cupid semasa dia sedang tidur. Cupid terjaga dan meninggalkan Psyche. | UMUM | |
SZILARD, LEO | Szilard, Leo (1898–1964) ialah ahli fizik Amerika yang merintis usaha dalam pembangunan perkembangan tenaga nuklear. Bersama Enrico Fermi, dia merintis kaedah menyusun grafit dan uranium yang memungkinkan terciptanya reaktor nuklear pertama mapan kendiri pada tahun 1942. Pada bulan Julai 1939, Szilard dan Eugene Wigner mengunjungi Albert Einstein. Einstein kemudiannya menulis kepada Presiden Amerika Syarikat, Franklin D. Roosevelt dan memulakan sokongan kerajaan terhadap tenaga nuklear, yang membawa kepada pembinaan bom nuklear. Szilard lahir di Budapest, Hungary. Dia menjadi warganegara Amerika Syarikat pada tahun 1943. Dia dan Wigner berkongsi Anugerah Atom untuk Perdamaian (Atoms for Peace Award) pada tahun 1959. | UMUM | |
PERPUSTAKAAN | Perpustakaan . Perpustakaan merupakan suatu bahagian yang amat penting dalam sistem pendidikan di dunia dan dalam proses menyimpan dan mendapat kembali maklumat. Perpustakaan menyediakan pengetahuan yang telah dikumpulkan dari zaman ke zaman melalui buku, filem, rakaman, dan media lain. Manusia dari semua lapisan masyarakat, termasuk pelajar, guru, eksekutif perniagaan, pegawai kerajaan, para sarjana, dan ahli sains, menggunakan sumber yang ada di perpustakaan untuk kerja mereka. Sebilangan besar daripada orang awam turut mengunjungi perpustakaan untuk memenuhi keperluan menimba ilmu pengetahuan atau untuk mendapatkan bahan bagi kegiatan masa lapang mereka. Di samping itu, ramai orang menikmati perbincangan buku, pertunjukan filem, kuliah, dan kegiatan lain yang diaturkan oleh perpustakaan tempatan mereka. | UMUM | |