Tifoid Mary ialah nama yang kadangkala digunakan untuk merujuk kepada Mary Mallon (1868?–1938), pembawa pertama demam tifoid yang dikenal pasti di Amerika Syarikat. Dia pulih dari penyakit tersebut, tetapi sebagai seorang pembawa, dia menyebarkan kuman demam tifoid kepada orang ramai. Dia telah menjangkiti lebih kurang 53 orang dengan demam tifoid antara tahun 1900 hingga tahun 1915. Tiga orang daripadanya mati akibat penyakit itu. Tidak banyak yang diketahui tentang kehidupan awal Mary Mallon. Dia lahir di Ireland dan berpindah ke New York, Amerika Syarikat, untuk bekerja sebagai tukang masak. George Soper, seorang jurutera sanitasi, telah mengaitkannya dengan lebih kurang enam kes demam tifoid yang berlaku di negeri tersebut. Mallon enggan berhenti daripada pekerjaannya sebagai tukang masak, oleh itu dia ditahan di sebuah hospital. Dia tinggal di hospital tersebut selama lebih 20 tahun hingga ke akhir hayatnya. |