SLOVAK | Slovak ialah orang Slav yang merupakan sebahagian besar penduduk Slovakia. Menjelang tahun 400-an, M., leluhur kaum Slovak menetap di negara yang kini dikenali sebagai Slovakia. Pada tahun 800-an, Slovak merupakan sebahagian daripada Empayar Moravia Besar. Kaum Magyar (orang Hungary) menawan Slovakia lebih kurang pada tahun 900 dan memerintah orang Slovak selama 10 abad berikutnya. Di bawah pemerintahan Hungary, kaum Slovak mengekalkan bahasa mereka sendiri tetapi tidak pernah menganggap diri mereka sebagai kaum yang berasingan sehinggalah pada tahun 1800-an. | UMUM | |
TASIK XOCHIMILCO | Tasik Xochimilco, tasik yang menyerupai paya di Mexico City, Mexico, terkenal kerana terdapat “taman terapung”. Menjelang waktu wilayah tersebut ditakluki oleh Sepanyol pada tahun 1521, Orang Asli Amerika sudah pun membuat lima buah tasik cetek daripada sebuah tasik yang lebih besar dengan cara membina daik. Mereka menimbunkan lumpur lembut di atas ranting yang berjalin dan membentuk batas untuk menanam bunga dan sayur-sayuran. Saiz “taman terapung” ini beransur-ansur menjadi lebih besar dan akhirnya dipenuhi tumbuhan yang akarnya berjalin antara satu sama lain. Ramai pelancong berperahu di terusan-terusan yang memisahkan pulau-pulau buatan tersebut. | UMUM | |
TEMBOK ROM | Tembok Rom ialah tembok penghalang yang dibina oleh orang Rom di kawasan yang tidak terdapat sempadan jajahan yang semula jadi. Menjelang tahun 100 M., mereka telah membina satu garisan tembok di negara yang kini ialah Romania dan Jerman. Mereka kemudiannya membina Tembok Hadrian dan Tembok Antonine di sepanjang sempadan utara wilayah Britain yang mereka jajahi. Tembok ini yang dikenali sebagai Hadrian dan Antoninus Pius sempena nama dua maharaja Rom, dan kemudiannya menjadi tembok Rom yang paling masyhur. | UMUM | |
MENDELSSOHN, FELIX | Mendelssohn, Felix (1809–1847), penggubah, pemain piano, dan konduktor Jerman. Dia mula muncul di khalayak ramai sebagai pemain piano semasa berumur sembilan tahun. Dia mengarang muzik pertamanya semasa berumur 10 tahun, dan menjelang umur belasan tahun, dia sudah menjadi penggubah yang dihormati. Dia mungkin penggubah yang paling masyhur pada zamannya. | UMUM | |
NUFFIELD, LORD | Nuffield, Lord (1877–1963), William Richard Morris, pelopor pembuatan motokar. Dia membuat motokarnya yang pertama pada tahun 1911. Dia mula mengeluarkan kereta secara besar-besaran di United Kingdom selepas Perang Dunia I dan, menjelang tahun 1926, syarikatnya membuat 100 000 buah kereta setahun. Seorang dermawan, Nuffield mendermakan satu juta paun dan tapak bagi Nuffield College kepada Oxford University. Pada tahun 1943, dia menubuhkan Yayasan Nuffield bagi penyelidikan pendidikan, perubatan, saintifik, dan sosial dengan hadiah 10 juta paun. Nuffield lahir di Worcester , England. Dia dilantik menjadi baronet pada tahun 1929 dan menjadi Lord Nuffield pada tahun 1934. | UMUM | |
BIG BEN | Big Ben ialah loceng besar di menara jam Bangunan Parlimen di London. Big Ben beratnya 12 tan metrik. Diameternya 2.7 meter dan tingginya 2.3 meter. Big Ben mula bergema pada tahun 1859. Menjelang malam Tahun Baru 1923, loceng ini buat pertama kali didengari di radio, dan menjelang Tahun Baru 1949, loceng ini dan menara loceng yang terang-benderang muncul di kaca televisyen. Ia dipasang semasa Sir Benjamin Hall yang tinggi lagi gempal menjadi pesuruhjaya kerja raya. Benjamin digelar Big Ben dan anggota Parlimen menamakan loceng Big Ben sempena namanya. | UMUM | |
MUSIM BUNGA | Musim bunga ialah musim antara musim sejuk dengan musim panas. Hemisfera Utara mengalami musim bunga pada akhir bulan Mac, April, Mei, dan awal bulan Jun. Di Hemisfera Selatan, musim bunga bermula sekitar bulan September dan berakhir menjelang awal bulan Disember. Untuk tarikh hari pertama musim bunga dan maklumat lain, lihat Musim. | UMUM | |
SPODE CHINA | Spode China ialah sejenis porselin buatan Inggeris yang popular. Ia mula dikeluarkan buat pertama kalinya dalam sebuah kilang yang ditubuhkan pada tahun 1770 oleh Josiah Spode (1733–1797) yang terletak berdekatan dengan Stoke-on-Trent di Staffordshire. Spode juga diberi penghargaan sebagai orang yang mencipta bone china. Menjelang tahun 1796, dia mengeluarkan sejenis porselin yang sesuai untuk membuat pinggan mangkuk yang dapat digunakan dalam majlis makan malam yang dinamakan English china, yang dianggap sebagai bone china yang pertama yang pernah dibuat. Anak lelaki Spode, Josiah (1754–1827), telah mencapai kejayaan dalam pemasaran bone china menjelang lebih kurang pada tahun 1799. Bagi mencipta bone china, abu tulang dicampurkan dengan suatu pes yang keras. Tanah liat yang sememangnya sudah menjadi bahan-bahan tradisi yang digunakan dalam pembuatan porselin. Bone china mempunyai rupa yang lut cahaya, berwarna putih susu bak gading dan tidak mudah terserpih. | UMUM | |
FAJAR | Fajar ialah cahaya kemerah-merahan di langit timur menjelang matahari terbit. | FIZIK | Konsep |
PIAGAM JAKARTA | PIAGAM JAKARTA, persetujuan yang dicapai antara nasionalis Islam dengan nasionalis (kebangsaan) Indonesia mengenai pembentukan negara bangsa Indonesia menjelang pengisytiharan kemerdekaan Indonesia. Persetujuan ini telah dicapai oleh Badan Penyelidik Usaha-Usaha Persiapan Kemerdekaan Indonesia (BPUPKI), iaitu satu panitia yang telah dibentuk pada 28 Mei 1945. Pada sidang kedua BPUPKI, satu panitia kecil telah ditubuhkan. Ahli-ahlinya terdiri daripada Sukarno, Mohammad Hatta, A.A. Maramis, Abiskusno Tjokrosujoso, Abdul Kahar Muzakar, Haji Agus Salim, Ahmad Subardjo, Wahid Hasjim dan Muhammad Yamin. Pada 22 Jun 1945, panitia ini berjaya mencapai suatu modus persetujuan yang kemudian dikenal sebagai Piagam Jakarta (Jakarta Charter). Kandungan Piagam Jakarta hampir sepenuhnya tercermin dalam Pembukaan Undang-Undang Dasar 1945 (UUD 45), iaitu sistem pemerintahan negara Indonesia. Modus persetujuan itu juga mempengaruhi rumusan rancangan UUD bagi Indonesia merdeka. | SEJARAH DAN ARKEOLOGI | Konsep |