NYAMUK | Nyamuk ialah serangga yang menyebarkan sesetengah penyakit yang paling teruk kepada manusia dan haiwan. Jenis nyamuk tertentu membawa kuman yang menyebabkan penyakit serius seperti ensefalitis, malaria, filariasis, dan demam kuning. Apabila nyamuk “menggigit”, ia mungkin meninggalkan kuman. Banyak jenis nyamuk tidak menyebarkan penyakit, tetapi ia mempunyai “gigitan” yang menyakitkan. Banyak daripada nyamuk yang dikaitkan dengan penyakit hidup di kawasan yang panas, lembap dekat khatulistiwa. Tetapi nyamuk terdapat di semua bahagian di dunia, malah di Artik. | UMUM | |
SPEKTROMETER | Spektrometer ialah alat yang menyebarkan cahaya menjadi spektrum dan mempamerkannya untuk dikaji. Atom atau molekul semua bahan mengeluarkan cahaya apabila dipanaskan ke suhu tinggi. Pola cahaya yang dikeluarkan berbeza bagi setiap bahan. Oleh itu, pakar boleh mengenal pasti sesuatu bahan atau menentukan komposisi kimianya dengan menganalisis spektrumnya. | UMUM | |
KRISTIANISASI | Kristianisasi ialah istilah bagi gerakan penganut Kristian untuk menyebarkan agama mereka dalam kalangan masyarakat seluruh dunia. Pelbagai kaedah dan strategi yang teratur digunakan sehingga agama Kristian dapat diterima ramai. | UMUM | |
KASUT SALJI | Kasut salji ialah alat yang membolehkan seseorang berjalan di atas salji tebal tanpa tenggelam. Ini dapat dilakukan kerana kasut salji menyebarkan berat seseorang itu meliputi kawasan yang lebih luas. | UMUM | |
SHEEN, FULTON JOHN | Sheen, Fulton John (1895–1979), salah seorang jurucakap terkenal bagi ajaran Gereja Roman Katolik di dunia. Rencana serta bukunya yang melebihi 50 buah, telah membantu menyebarkan doktrin Katolik kepada berjuta-juta orang di serata dunia. | UMUM | |
NATIONAL GEOGRAPHIC SOCIETY | National Geographic Society ialah organisasi saintifik dan pendidikan yang bukan membuat untung yang terbesar di dunia. Ia ditubuhkan pada tahun 1888 di Amerika Syarikat untuk mengumpul dan menyebarkan pengetahuan geografi ke seluruh dunia. Persatuan ini mempunyai lebih daripada 10 juta ahli di sekitar 185 buah negara. Ia juga telah menaja dan menyokong lebih daripada 4000 ekspedisi dan projek penyelidikan. | UMUM | |
TIFOID MARY | Tifoid Mary ialah nama yang kadangkala digunakan untuk merujuk kepada Mary Mallon (1868?–1938), pembawa pertama demam tifoid yang dikenal pasti di Amerika Syarikat. Dia pulih dari penyakit tersebut, tetapi sebagai seorang pembawa, dia menyebarkan kuman demam tifoid kepada orang ramai. Dia telah menjangkiti lebih kurang 53 orang dengan demam tifoid antara tahun 1900 hingga tahun 1915. Tiga orang daripadanya mati akibat penyakit itu. Tidak banyak yang diketahui tentang kehidupan awal Mary Mallon. Dia lahir di Ireland dan berpindah ke New York, Amerika Syarikat, untuk bekerja sebagai tukang masak. George Soper, seorang jurutera sanitasi, telah mengaitkannya dengan lebih kurang enam kes demam tifoid yang berlaku di negeri tersebut. Mallon enggan berhenti daripada pekerjaannya sebagai tukang masak, oleh itu dia ditahan di sebuah hospital. Dia tinggal di hospital tersebut selama lebih 20 tahun hingga ke akhir hayatnya. | UMUM | |
MULBERI | Mulberi ialah pokok hiasan yang buahnya berjus dan berisi. Buahnya berwarna putih, merah, atau ungu dan kelihatan seakan-akan beri hitam. Setiap satunya terdiri daripada segugus buah kecil berbiji satu. Buah ini menjadi tarikan burung, yang memakannya dan menyebarkan bijinya. Sesetengah jenis mulberi, terutamanya mulberi putih dan mulberi hitam , ditanam untuk buahnya, yang dipetik dan dimakan mentah atau dibuat jem dan wain. Bunga mulberi berwarna putih kehijauan dan tergantung bergugus-gugus. Ia didebungakan oleh angin. | UMUM | |
TASS | TASS ialah agensi berita yang penting di Kesatuan Soviet dari tahun 1925 hingga negara itu berpecah pada tahun 1991. TASS adalah salah satu daripada perkhidmatan berita yang terbesar di dunia. Agensi yang beribu pejabat di Moscow ini mengumpul dan menyebarkan berita di seluruh Rusia dan dunia. TASS ialah singkatan bahasa Rusia untuk Agensi Telegraf Kesatuan Soviet. Agensi ini mempunyai beribu-ribu orang wartawan, editor dan jurufoto di lebih daripada 100 buah negara. Ia menyediakan laporan dalam enam bahasa – Arab, Inggeris, Perancis, Jerman, Rusia dan Sepanyol. Negara-negara lain bergantung kepada TASS untuk berita dari Kesatuan Soviet, walaupun kerajaan mengawal ketat liputannya. | UMUM | |
KUTU | Kutu ialah serangga kecil tanpa sayap yang hidup pada burung dan mamalia, termasuk manusia. Kutu ialah parasit yang mendapat makanan daripada haiwan tempat ia tinggal. Haiwan ini dikenali sebagai perumah. Kutu menyebabkan rasa gatal yang teruk dan boleh menyebarkan penyakit. | UMUM | |