Sungai Yangtze, juga disebut Yangtze Kiang ialah sungai yang ketiga terpanjang di dunia dan yang terpanjang serta terpenting di China. Bagi kebanyakan penduduk China, Sungai Yangtze dikenali sebagai Chang Jiang, atau sungai panjang. Sungai ini berpunca dari Pergunungan Tanggula di Wilayah Qinghai, kira-kira 4880 meter di atas aras laut. Sungai itu mengalir ke timur, tenggara, dan kemudian ke selatan ke provinsi Yunan. Dari sini ia mengalir ke timur laut menyeberangi provinsi Sichuan (Szechwan), kemudian mengalir mengikut haluan yang tidak tetap ke timur melalui bahagian tengah China dan memasuki Laut China Timur, 6300 kilometer dari puncanya. Sungai Yangtze dan cabang sungainya mengairi kawasan seluas kira-kira 1 829 000 kilometer persegi. |