TARIQ IBN ZIYAD | Tariq ibn Ziyad (50–102 H./670–720 M.) ialah penakluk Sepanyol. Terdapat juga pendapat mengatakan bahawa namanya Tariq ibn Amru, hamba kepada Musa ibn Nusayr, iaitu Gabenor Maghribi merangkap panglima tentera Barbar yang ditugaskan membuka Semenanjung Iberia pada zaman Kerajaan Umaiyyah yang pada masa itu diketuai oleh Khalifah al-Walid ibn Abd al-Malik. | UMUM | |
MAPHILINDO | MAPHILINDO, gagasan untuk menyatukan negara-negara rumpun Melayu. Gagasan ini merangkumi Tanah Melayu Persekutuan (Malaya), Indonesia dan Filipina dalam satu persekutuan yang besar. Gagasan MAPHILINDO (Malaya, Philippines, Indonesia) dikemukakan oleh Diasdado Macapagal, Presiden Filipina, di Persidangan Menteri-Menteri Luar, di Manila pada bulan Jun 1963. Persidangan ini dihadiri oleh pemimpin dari ketiga-tiga negara untuk berunding bagi menyelesaikan konflik antara negara berkaitan isu penubuhan Persekutuan Malaysia yang dikemukakan oleh Tunku Abdul Rahman Putra pada tahun 1961. Persekutuan Tanah Melayu diwakili oleh Dato’ Abdul Razak bin Hussein, Timbalan Perdana Menteri merangkap Menteri Pertahanan; Indonesia diwakili oleh Dr. Subandrio, Menteri Luar; dan Filipina diwakili oleh Emmanuel Pelaez, Naib Presiden merangkap Setiausaha Luar Negara. Adalah diharapkan penubuhan gagasan ini dapat mewujudkan keamanan serantau dan ia dapat bertindak sebagai benteng kepada ancaman luar. | SEJARAH DAN ARKEOLOGI | Institusi/Organisasi |
HAJI SAMAN | HAJI SAMAN ( ? – 1846), pembesar merangkap penasihat Sultan Brunei. Tarikh dan tempat lahirnya tidak diketahui. Dia dikenal sebagai pemimpin tempatan yang menentang perluasan kuasa British di Brunei dan wilayah jajahannya di Borneo. | SEJARAH DAN ARKEOLOGI | Tokoh |
PPMM | PPMM, Persatuan Pengajian Melayu Malaysia, salah satu daripada 23 buah pertubuhan dan institut penyelidikan yang menjadi badan kerabat Kongres Cendekiawan Melayu. Persatuan ini ditubuhkan pada 16 Oktober 1977 sebagai memenuhi salah satu revolusi yang dicapai oleh Simposium Kesarjanaan Melayu yang berlangsung pada bulan April 1977. Penubuhan persatuan ini dirasmikan oleh Dr. Mahathir Mohamad, Timbalan Perdana Menteri merangkap Menteri Pendidikan Malaysia. | BAHASA | Institusi/Organisasi |
UNIVERSITI PERTANIAN MALAYSIA | UNIVERSITI PERTANIAN MALAYSIA, pusat pengajian pertanian yang tertinggi di Malaysia. Penubuhan universiti ini berasaskan percantuman antara Kolej Pertanian Serdang dengan Fakulti Pertanian Universiti Malaya. Kolej Pertanian Serdang pada awalnya adalah Sekolah Pertanian, Serdang, Selangor yang ditubuhkan pada 21 Mei 1931. Pembukaan rasmi sekolah tersebut telah dilakukan oleh John Scott, pegawai pentadbir bagi kerajaan Negeri-Negeri Selat merangkap Pesuruhjaya Tinggi ‘Ex-Officio’ Negeri-Negeri Melayu Bersekutu. Tujuan Sekolah Pertanian ini ditubuhkan adalah untuk menyediakan pegawai-pegawai bagi Jabatan Pertanian. Sekolah ini terletak di kawasan seluas 8.9 hektar di Serdang. | SEJARAH DAN ARKEOLOGI | Institusi/Organisasi |
PERIKATAN PEMUDA MELAYU DI LUAR TANAH AIR | PERIKATAN PEMUDA MELAYU DI LUAR TANAH AIR, pertubuhan pemuda Tanah Melayu di Indonesia. Pertubuhan ini lebih dikenal sebagai Perikatan. Perikatan ditubuhkan di Jakarta, Indonesia pada 22 Disember 1952. Perikatan dipimpin oleh Syekh Gharieb bin Syekh Raouf (ketua umum), Ahmad bin Haji Salam (wakil ketua umum), Rukiah Itam (setiausaha jeneral) dan Yaacub Alias (setiausaha I merangkap ketua penerangan). Tujuan penubuhan Perikatan adalah untuk memperjuangkan kemerdekaan dan kedaulatan Tanah Melayu. | SEJARAH DAN ARKEOLOGI | Institusi/Organisasi |
TRISNO SUMARDJO | TRISNO SUMARDJO (1916 – 1969), pelukis, penulis dan penterjemah Indonesia. Dia lahir pada 6 Disember 1916 di Surabaya, Jawa Timur. Trisno Sumardjo mempunyai kelulusan AMS-II Barat Klasik dari Yogyakarta, Jawa Tengah, pada tahun 1937. kemudian dia menjadi guru sekolah swasta (1938 – 1942) dan sebagai Pegawai Jawatan (Jabatan) Kereta Api (1942 – 1948). Dia juga menjadi editor majalah Seniman (1947 – 1948), ketua majalah Indonesia (1947 – 1948), Sekretaris Lembaga Kebudayaan Indonesia (1950), editor penyelaras majalah Seni (1954), Sekretaris Umum Badan Musyawarat Kebudayaan Nasional (1956), Ketua Delegasi Pengarang Indonesia ke Republik Rakyat China (1957), editor penyelaras majalah Gala (1968) dan Ketua Badan Pengurus Harian Taman Ismail Marzuki (TIM), merangkap sebagai Ketua Kesenian Jakarta yang pertama (1968 – 1969). Pada tahun 1952, Trisno Sumardjo mendapat biasiswa Rockfeller dalam rangka lawatan muhibbah ke Amerika Syarikat dan ke beberapa negara Eropah Barat. Pada 17 Ogos 1963, dia menandatangani Manifes Kebudayaan, di Jakarta. | SASTERA | Tokoh |