MENELAUS | Menelaus, raja Sparta, ialah suami kepada Helen of Troy. Paris, putera Trojan, berjaya meyakinkan Helen untuk melarikan diri bersamanya ke Troy. Menelaus bersama saudara lelakinya, Agamemnon, mengumpulkan askar dan menyerang Troy. Selepas 10 tahun, mereka menawan bandar tersebut dan Menelaus berjaya menemui semula Helen. Mereka berdua mengembara selama lapan tahun dan akhirnya sampai di Sparta. Lihat juga Helen of Troy. | UMUM | |
NEWMAN, PAUL | Newman, Paul (1925– ), pelakon lelaki Amerika, yang menjadi masyhur kerana lakonan aksinya dan kajian perwatakan yang meyakinkan dalam filem. Dia memegang peranan orang asing atau pemberontak dalam banyak filem lakonannya. Newman memenangi Academy Award pada tahun 1986 sebagai pelakon lelaki terbaik kerana lakonannya dalam The Color of Money . | UMUM | |
PERANG SARAF | Perang saraf menggunakan propaganda untuk mencapai tujuan yang tertentu. Perang saraf boleh digunakan sebelum perang untuk mencegah meletusnya peperangan ataupun semasa perang untuk memenanginya. Sesebuah negara menggunakan perang saraf untuk meyakinkan negara musuh bahawa mereka tidak akan menang jika berlakunya perang dan justeru itu, peperangan tidak perlu dimulakan. Semasa perang, negara menggunakan perang saraf untuk meyakinkan pasukan tentera musuh bahawa perjuangan mereka itu tidak adil dan sia-sia, dan untuk melemahkan keyakinan terhadap para pemimpin. Matlamatnya ialah memusnahkan tekad musuh untuk berperang. | UMUM | |
LI BO | Li Bo (701–762) ialah salah seorang pujangga China yang agung. Namanya dieja dengan beberapa cara, tetapi cara yang paling biasa ialah Li Po dan Li Bai. Puisinya dikagumi kerana bahasanya yang meyakinkan, wit, humor, dan gambaran romantiknya tentang alam semula jadi, terutamanya tentang bulan. Li Bo juga menulis puisi yang memuji kebaikan wain. Dia menggubah banyak puisi di bankuet dan majlis istimewa untuk menghiburkan kawan-kawan dan penaungnya. Dia percaya karyanya yang terpenting ialah puisi tentang etika dan norma kesusilaan. | UMUM | |
SADE, MARQUIS DE | Sade, Marquis de (1740–1814) ialah penulis novel dan penulis esei Perancis yang kontroversi. Kini, ramai orang menganggap Sade sebagai gila manakala karyanya menjelikkan. Tetapi ada pula yang menganggapnya sebagai seorang penulis yang kadangkala bijak dengan gaya menarik dan meyakinkan. | UMUM | |
SACHS, NELLY | Sachs, Nelly (1891–1970) ialah penyair dan dramatis wanita Yahudi yang dilahirkan di Jerman. Dia berkongsi Hadiah Nobel tahun 1966 dalam bidang kesusasteraan bersama-sama penulis Israel, Shmuel Yosef Agnon. Para hakim memberikan penghormatan kepada Sach atas ‘penulisannya yang penuh bersemangat dan meyakinkan dalam menggambarkan nasib Israel dengan amat mengharukan’. Kebanyakan puisinya membicarakan penindasan dan kesengsaraan yang dialami oleh orang Yahudi selama beratus-ratus tahun. | UMUM | |
SENI LIBERAL | Seni liberal ialah tabiat ilmiah tentang pemikiran dan pertuturan yang dianggap penting bagi manusia yang bebas. Dari segi sejarah, seni liberal termasuk dua kumpulan pengajian. Yang pertama ialah penggunaan bahasa (nahu) yang betul, berfikir dengan jelas (logik), dan menyatakan idea seseorang dengan meyakinkan (retorik). Kumpulan kedua termasuk pelbagai cabang matematik. Pada mulanya, cabang ini adalah aritmetik, geometri, astronomi dan harmoni. Daripada pengajian tradisional ini, lahir pula kumpulan sains semula jadi, sains sosial dan kemanusiaan. Kolej yang memberi tumpuan kepada pengajian ini biasanya dikenali sebagai kolej seni liberal. | UMUM | |
SALINGER, J.D. | Salinger, J.D. (1919– ), pengarang Amerika yang menjadi terkenal kerana novelnya The Catcher in the Rye (1951). Wira novel ini yang juga penceritanya, Holden Caulfield, ialah penuntut yang tercicir dari sekolah persediaan. Semasa hanyut di New York City, Holden belajar menghadapi kepura-puraan yang ditemuinya dalam kehidupan dunia orang dewasa dan kelemahannya sendiri. Dalam novel ini dan dalam banyak fiksyen yang dihasilkannya kemudian, Salinger secara humor dan meyakinkan menggambarkan ucapan, gerak-geri dan perasaan orang muda. | UMUM | |