MIKROSKOP | Mikroskop ialah alat yang membesarkan objek yang terlampau kecil supaya mudah dilihat. Mikroskop tergolong dalam salah satu alat yang paling penting dalam sains. Contohnya doktor dan ahli biologi, menggunakan mikroskop untuk memeriksa bakteria dan sel darah. Ahli sains dan jurutera bahan menggunakan mikroskop untuk mengkaji struktur hablur di dalam logam dan aloi (campuran logam) dan memeriksa cip komputer serta peranti kecil elektronik lain. Pelajar biologi pula menggunakan mikroskop untuk memerhati dan mempelajari tentang alga, protozoa dan organisma bersel tunggal yang lain. | UMUM | |
MIKROSKOP ELEKTRON | Mikroskop elektron ialah alat yang menggunakan alur elektron untuk membesarkan imej objek. Mikroskop elektron boleh membeza jelas (menghasilkan gambar yang terang) fitur yang jauh lebih kecil daripada yang dapat dilihat melalui mikroskop optik, yang menggunakan kanta dan cahaya nampak untuk membesarkan imej. Kuasa pembesaran yang hebat menjadikan mikroskop elektron sebagai alat utama penyelidikan dalam bidang biologi, kimia, perubatan, dan metalurgi. Ernst Ruska dan lain-lain ahli sains Jerman telah membina mikroskop elektron yang pertama pada tahun 1931. | UMUM | |
MIKROSKOP KUAR PENGIMBAS | Mikroskop kuar pengimbas adalah mana-mana jenis mikroskop yang mengimbas permukaan bahan dengan penunjuk tajam dan memaparkan hasil di skrin bak televisyen. Penunjuk, dikenali sebagai kuar, boleh jadi sehalus 0.3 daripada satu bilion meter lebarnya – kira-kira selebar atom. Mikroskop kuar pengimbas dapat menyediakan imej tiga dimensi atom individu. Ia menjadi alat penyelidikan yang penting dalam bidang fizik, kejuruteraan, dan kimia. | UMUM | |
MIKROSKOP ION | Mikroskop ion, juga dikenali sebagai mikroskop medan-ion, adalah satu daripada alat pembesar yang paling berkuasa untuk kegunaan saintifik. Ia memperbesar dengan begitu tajam hinggakan setiap atom boleh dilihat. Ahli sains menggunakannya untuk mengkaji fizik dan kimia permukaan pada logam dan aloi. Mereka juga menggunakannya untuk mengetahui bagaimana atom logam tersusun untuk membentuk hablur, dan bagaimana gas dan sinaran mempengaruhi hablur tersebut. | UMUM | |
MIKROTOMI | Mikrotomi pada asalnya bermakna potongan mikroskopik. Tetapi kini, ia bermakna seni menyediakan objek untuk pemeriksaan melalui mikroskop. Tanpa persediaan, sebilangan kecil objek boleh diperiksa dengan betul melalui mikroskop (lihat Mikroskop). Sekeping logam, misalnya mesti digilap dengan baik dan digores sebelum strukturnya boleh dilihat. Batu-batan digergaji menjadi hirisan cukup nipis untuk dilihat melalui teknik mikrotomi. | UMUM | |
MIKROSKOP | Mikroskop ialah alat optik yang dapat membesarkan objek kecil yang tidak dapat dilihat strukturnya dengan mata kasar. | FIZIK | Alat/Alatan |
MIKROSKOP PETROLOGI | Mikroskop petrologi ialah alat optik yang direka khas untuk mengkaji mineral dan batuan. | GEOGRAFI DAN GEOLOGI | Alat/Alatan |
METALOGRAFI | Metalografi ialah kajian tentang struktur dalaman logam dan aloi. Istilah ini juga boleh digunakan dalam kajian tentang seramik dan komposit, iaitu gabungan logam dengan serat bukan logam. Ahli metalografi menentukan bagaimana bahan akan bertindak balas dalam keadaan tertentu, seperti dalam keadaan panas atau sejuk melampau. Industri bergantung pada metalografi untuk menghasilkan, menguji dan memperbaiki keluaran seperti misil dan kapal angkasa. Ahli metalografi mengkaji sampel bahan menggunakan sinar-x dan mikroskop. Mikroskop elektron yang berkuasa tinggi membantu mereka mencipta bahan baru. | UMUM | |
MIKROTOM | Mikrotom ialah alat yang digunakan untuk memotong bahan menjadi sangat nipis supaya keratan rentasnya boleh dilihat melalui mikroskop. Ia mempunyai pemegang untuk mengepit spesimen, pisau setajam pisau cukur, panduan untuk pisau dan skru putar yang mengawal ketebalan hirisan. Lihat juga Mikroskop; Mikrotomi. | UMUM | |
SITOLOGI | Sitologi ialah kajian tentang struktur dalaman dan organisasi sel. Kajian mikroskop struktur sel dapat memberi penjelasan tentang proses pembahagian sel, dan menjadi asas kepada kajian genetik (lihat Genetik). Kajian ini juga menunjukkan bahawa setiap struktur mempunyai fungsi tersendiri, dan setiap aktiviti sel berkaitan dengan perubahan pada kandungan kimia yang membentuk sel tersebut. Sitokimia ialah kajian tentang aktiviti bahan kimia di dalam sel. Lihat juga Sel. | UMUM | |