MITOS | MITOS, cerita yang memberi keterangan tentang suatu tanpa diketahui siapa pengarangnya. Mitos berakar umbi daripada sesuatu kepercayaan masyarakat semasa masyarakat itu masih dalam keadaan primitif. Mitos merupakan percubaan masyarakat itu memberi keterangan tentang sesuatu yang berlaku dalam alam sekelilingnya, seperti apabila seorang dewasa cuba menjawab soalan daripada seorang kanak-kanak. Keterangan yang diberikan adalah sesuai dan selaras dengan tahap pemikiran yang dicapai oleh masyarakat semasa mitos itu diciptakan. Keterangan yang diberikan dalam mitos itu juga diterima oleh akal masyarakat tersebut. | SASTERA | Kepercayaan |
ENDYMION | Endymion, dalam mitos Yunani ialah seorang pemuda kacak yang dicintai oleh Selene, dewi bulan. Satu versi mitos ini tentang Endymion menceritakan bahawa dia ialah Raja Elis di Greece. | UMUM | |
SATURN | Saturn ialah dewa awal dalam mitos Rom purba. Masyarakat Rom purba menyifatkannya sebagai dewa kesuburan dan tanaman, tetapi tidak banyak mitos tentangnya yang masih wujud. Nama asalnya mungkin Etruscan. Pada mulanya Saturn mempunyai identiti yang berasingan. Kemudian, orang Rom purba mengenalpastinya dengan dewa Yunani, iaitu Cronus. Isteri Saturn ialah Ops, iaitu dewi kesuburan dan penuaian. | UMUM | |
TARTARUS | Tartarus, mengikut mitos Yunani yang awal, ialah sebuah lubang yang dalam di bawah permukaan bumi. Jauhnya ke dalam perut bumi adalah sejauh muka ke langit. Tembok tinggi dan sebatang sungai berapi yang dikenal sebagai Phlegethon (atau Pyriphlegethon) mengelilingi Tartarus. | UMUM | |
MINOTAUR | Minotaur, dalam mitos Yunani ialah raksasa yang berkepalakan lembu jantan dan berbadankan manusia. Ia merupakan anak lembu jantan dan Pasiphae, isteri Raja Minos dari Crete. Minos mengurung Minotaur di dalam Labirin, iaitu bangunan seperti pagar sesat yang tiada siapa pun dapat melepaskan diri. Minos mengorbankan tujuh orang pemuda dan tujuh orang gadis Athens kepada Minotaur setiap tahun. Theseus dari Athens akhirnya membunuh Minotaur, dan melarikan diri dari Labirin dengan menggunakan benang yang diberikan kepadanya oleh anak perempuan Minos, Ariadne. | UMUM | |
SEMIRAMIS | Semiramis ialah ratu mitos Assyria. Dia dianggap pengasas bandar purba Babylon dan menakluki Parsi (kini Iran) dan Mesir. Dia ialah anak perempuan kepada seorang pemuda Syria dan dewi ikan. Ibunya meninggalkannya dan dia telah diberi makan oleh merpati. Apabila dewasa, Semiramis menjadi wanita yang cantik dan berkahwin dengan Raja Ninus, raja Assyria. Dia menjadi ratu setelah kematian suaminya, dan memenangi banyak peperangan. Namun begitu, anaknya telah menggulingkannya. Herodotus pernah mengatakan bahawa Semiramis menjadi permaisuri Babylon pada tahun 700 S.M. | UMUM | |
EURIDIS | Euridis, dalam mitos Yunani, ialah nimfa pokok yang dicintai oleh Orfeus, ahli muzik legenda Yunani. | UMUM | |
DIONYSUS | Dionysus dalam mitos Yunani ialah dewa wain. Selepas bertembung dengan kebudayaan Yunani, orang Rom menerima Dionysus sebagai dewa wain mereka, tetapi mereka menyebutnya dengan nama Bacchus. | UMUM | |
NARCISSUS | Narcissus, dalam mitos Yunani ialah seorang pemuda kacak yang cuba dipikat oleh ramai wanita. Walau bagaimanapun, dia dengan angkuh menolak mereka semua, termasuklah dewi Echo. Sebagai balasan terhadap kekejamannya itu, dewa- dewa menghukum Narcissus supaya merenung ketampanannya itu pada bayang-bayangnya dalam kolam di Gunung Helicon di Greece. Hari demi hari dia berbaring di tepi kolam, merenung dengan kasih pada bayangannya sehingga dia semakin kurus dan mati. Apabila pasukan pencari keluar untuk mencarinya, mereka hanya menjumpai sekuntum bunga, yang kini dipanggil narcissus. Echo juga semakin kurus kerana cintanya terhadap Narcissus dan akhirnya dia bertukar menjadi suara di dalam hutan. Versi terbaik Narcissus terdapat dalam Metamorphoses, iaitu koleksi cerita-cerita dongeng oleh penyair Roman, yang bernama Ovid. | UMUM | |
NAGA | Naga ialah haiwan mitos dalam sastera rakyat banyak budaya Eropah dan Asia. Legenda memerikan naga sebagai makhluk yang besar bak cicak, yang bernafas mengeluarkan api, dan mempunyai ekor yang panjang bersisik. Di Eropah, naga biasanya digambarkan sebagai haiwan yang ganas, yang melambangkan kejahatan yang ditentang oleh manusia. Tetapi di Asia, terutamanya di China dan Jepun, haiwan ini biasanya dianggap sebagai makhluk yang suka berkawan yang membawa tuah dan kekayaan. | UMUM | |