SALAH AL-DIN AL-AYYUBI (532–589 H. / 1137–1193M.), digelar al-Malik al-Nasir dan pemimpin tentera Islam yang terkenal. Nama penuhnya ialah Yusuf ibn Ayyub ibn Shadiy ibn Marwan ibn Ya‘qub al-Duwiniy, al-Takritiy al-Mawlid Abu Muzaffar, Salah al-Din al-Ayyubi. Ayahnya Najm al- Din berasal dari Duwin, sebuah negeri di Azerbaijan di bahagian Aran dan al-Karaj. Dia berasal daripada keturunan al-Rawadiyyah dan juga daripada Kabilah al-Huzbaniyyah yang merupakan antara kabilah Kurdis yang terbesar. Kabilah al-Huzbaniyyah yang diketuai oleh Mujahid al-Din Bahruz, iaitu ketua pengawal tentera Iraq yang tiba di Tikrit setelah kekuatannya tersusun lengkap dan kabilahnya memberi khidmat kepadanya dalam keadaan inilah lahirnya Salah al-Din. |