| SA‘D IBN MU‘AZ | Sa‘d ibn Mu‘az ( ? –5 H / ? –626 M), antara sahabat Ansar yang mula-mula memeluk Islam di Madinah. Nama penuhnya Sa‘d ibn Mu’az al-Nu‘man. Dia telah diislamkan oleh Mus‘ab ibn ‘Umayr r.a. Keimanan terdetik dalam hati Sa‘d ibn Mu‘az untuk beriman setelah dia mendengar ayat suci al-Qur’an. Lantas dia menemui kaumnya dan berkata kepada mereka: “Percakapan lelaki dan perempuan kamu denganku adalah haram sehingga mereka beriman dengan Allah dan rasul-Nya”. Sesiapa yang mendengar dakwahnya akan memeluk Islam walaupun dalam masa yang singkat, iaitu dalam sumpah satu malam. | UMUM | |
| MUHAJIRIN | Muhajirin ialah nama yang diberikan kepada sekumpulan sahabat Rasulullah s.a.w. yang beriman kepada Allah dan Rasul-Nya lebih dahulu daripada orang lain. Mereka berhijrah meninggalkan keluarga, rumah, tanah air dan harta benda semata-mata untuk menegakkan kalimah Allah dan mengembangkan agama-Nya. Allah berfirman yang bermaksud: “Dan orang-orang yang terdahulu yang mula-mula (berhijrah dan memberi bantuan) dari orang-orang Muhajirin dan Ansar”. (Surah al-Tawbah 9:100) | UMUM | |
| ANSAR | Ansar ialah nama yang diberikan kepada suku Aws dan Khazraj dan orang yang menyokong mereka di kalangan penduduk Madinah yang beriman dengan Allah S.W.T. dan membantu Rasul- Nya. Firman Allah S.W.T. yang bermaksud: “Dan orang-orang yang terdahulu yang mula-mula (masuk Islam) di antara orang- orang Muhajirin dan Ansar …” ( Surah al-Tawbah 9: 100) | UMUM | |
| SURAH AL-QASAS | Surah al-Qasas ialah salah satu daripada surah Makkiyyah, surah yang ke-28 mengikut susunan surah-surah al-Qur’an dan mengandungi 88 ayat. Surah ini dinamakan al-Qasas (kisah-kisah) kerana Allah S.W.T. menyebut di dalamnya kisah Nabi Musa a.s. secara terperinci dan jelas dari mula kelahirannya sehinggalah waktu pelantikannya sebagai rasul. Di dalam surah ini juga terdapat peristiwa-peristiwa pelik dan ajaib yang menggambarkan dengan jelas pemeliharaan dan pembelaan Allah S.W.T. terhadap wali-wali-Nya (kekasih-Nya) dan mengecewakan musuh-musuh- Nya. | UMUM | |