PIERCE, FRANKLIN | Pierce, Franklin (1804–1869) ialah Presiden Amerika Syarikat mulai tahun 1853 hingga tahun 1857. Dia memimpin negaranya menempuh salah satu zaman yang paling makmur dalam sejarah Amerika Syarikat. Walau bagaimanapun, tempoh itu juga merupakan satu pengalaman pahit apabila berlaku pergeseran antara Amerika Selatan dengan Utara yang mengakibatkan tercetusnya Perang Saudara Amerika (1861–1865). Pierce juga menghadapi tentangan yang semakin hebat daripada penduduk Amerika Utara terhadap sebarang bentuk pengembangan perhambaan. | UMUM | |
AURELIAN | Aurelian (215?–275 M.) ialah maharaja Rom. Pemerintahannya yang berbentuk ketenteraan dan berdisiplin berjaya menyatukan empayar Rom yang mulai berpecah semasa baginda baru menjadi maharaja. Aurelian mengecap duit syiling dengan perkataan Pemulih Dunia. | UMUM | |
PARLIMEN LANJUT | Parlimen Lanjut merujuk kepada suatu sesi Parlimen Inggeris yang bersidang panjang tanpa rehat mulai tahun 1640 hingga tahun 1653. Persidangan ini dimansuhkan dengan rasminya pada tahun 1660. Parlimen Lanjut ini bermula dengan perbalahan secara langsung dengan Raja Charles I, kemudian bersidang semula semasa Perang Saudara, menjatuhkan hukuman bunuh ke atas raja ini, mencuba memerintah dalam masa kegelisahan selepas perang itu, dan akhirnya dimansuhkan untuk memberikan laluan kepada Parlimen baharu di bawah Raja Charles II. | UMUM | |
TENGGARA | TENGGARA, judul dwibahasa. Tenggara mulai diterbitkan pada tahun 1967 oleh Universiti Malaya dengan kekerapan sekali setahun. Mulai tahun 1968, ia diterbitkan dua kali setahun. Pada tahun 1979, Tenggara dikendalikan oleh Dewan Bahasa dan Pustaka dan mulai tahun 1989, penerbitannya diambil alih oleh Yayasan Penataran Ilmu. Tujuan utama jurnal ini adalah untuk menghasilkan karya-karya kreatif yang asli dalam bahasa yang luas digunakan di Malaysia dan Singapura. Sungguhpun begitu rencana dalam bidang lain seperti kebudayaan, kesenian, bahasa dan kesusasteraan tradisional turut diterbitkan. Karya yang bukan dalam bahasa Inggeris diterbitkan dalam terjemahan Inggeris sementara karya tentang sastera Melayu diterbitkan dalam bentuk asal. | SASTERA | Penerbitan |
ABDUL TAIB MAHMUD, TAN SRI | Abdul Taib Mahmud, Tan Sri (1936- ) ialah Ketua Menteri Sarawak ke-4. Dia dilantik menjadi Ketua Menteri Sarawak mulai 26 Mac 1981 hingga kini menggantikan Tun Haji Abdul Rahman Ya’kub. | UMUM | |
SWETTENHAM, SIR FRANK | Swettenham, Sir Frank (1850–1946) ialah pentadbir British yang diakui sebagai “bapa dan pengasas Malaya moden”. Pada tahun 1874, dia telah dilantik sebagai penolong residen (penasihat) negeri Selangor. Mulai dari tahun seterusnya, kerjayanya tertumpu pada Negeri-negeri Melayu Bersekutu. Dia mendakwa supaya diberi penghormatan kerana mewujudkan Negeri-Negeri Melayu Bersekutu. Dia ialah Residen Jeneral yang pertama bagi Negeri-Negeri Melayu Bersekutu dari tahun 1896 hingga tahun 1900. Pada tahun 1901, dia dilantik sebagai Gabenor Negeri-Negeri Selat dan Pesuruhjaya Tinggi Negeri-Negeri Tanah Melayu. Dia bersara pada tahun 1904. | UMUM | |
PENGAJIAN MELAYU DI BELANDA | PENGAJIAN Melayu DI BELANDA, pusat pengajian bahasa Melayu. Bahasa Melayu dijadikan mata pelajaran di Universiti Leiden mulai tahun 1876, dalam rangka pengembangan pengajian bahasa, budaya dan sastera Indonesia. Pengembangan itu berkaitan langsung dengan peluasan dan pengintensifan pentadbiran Belanda di Hidia Belanda. Di samping bahasa Melayu, diajarkan juga bahasa Jawa, ilmu bangsa-bangsa Indonesia, sejarah Indonesia dan ilmu undang-undang Indonesia. Pada bahagian pertama abad ke-20, bidang pengajian Indonesia semakin berkembang. Pengkaji pertama untuk bahasa Melayu ialah J. Pijnappel (1877-1889), H.C. Klinkert (1890-1905), Ch.A. van Ophuysen (1904-1917), dan Ph.S. van Ronkel (1919-1940). Sebelum pengajian bahasa Asia, Universiti Leiden memberi penumpuan kepada bahasa Ibrani, Arab dan Parsi. Pada abad ke-19, Bahagian Sastera Timur Fakulti Sastera diperluas, mencukupi bahasa Sanskrit, kemudian bahasa Jepun. | BAHASA | Bahasa |
EJAAN RUMI BAHARU BAHASA MALAYSIA | EJAAN RUMI BAHARU BAHASA MALAYSIA, sistem ejaan yang telah diisytiharkan penggunaannya serentak di Kuala Lumpur dan di Jakarta pada 16 Ogos 1972. Di Kuala Lumpur, pengisytiharan tersebut dilakukan oleh Perdana Menteri Malaysia, Tun Abdul Razak bin Hussain manakala di Jakarta, pengisytiharan tersebut dilakukan oleh Presiden Suharto. Mulai saat itu, bahasa Melayu (Malaysia) dan bahasa Indonesia menggunakan sistem ejaan yang sama.
| BAHASA | Bahasa |
POOR RICHARD'S ALMANAC | Poor Richard’s Almanac ialah sebuah almanak yang ditulis dan diterbitkan oleh Benjamin Franklin (lihat Almanak ). Negarawan yang Amerika terkenal itu mencipta almanak ini pada awal kerjayanya sebagai pencetak dan penerbit di Philadelphia. Franklin mengeluarkan almanak ini pada setiap tahun mulai tahun 1733 hingga tahun 1758. | UMUM | |
SAKHAROV, ANDREI DMITRIYEVICH | Sakharov, Andrei Dmitriyevich (1921–1989) ialah ahli fizik Soviet yang menjadi terkemuka kerana penyelidikannya tentang tindak balas termonuklear terkawal. Usahanya membantu ahli sains Soviet mencipta bom hidrogen pada awal tahun 1950-an. Tetapi, Sakharov menjadi terkenal kerana usahanya mempromosi hak asasi manusia dan keamanan dunia. Dia dianugerahi Hadiah Nobel tahun 1975 kerana usaha ini. Mulai akhir tahun 1960-an, Sakharov dan isterinya Yelena Bonner, berkali-kali mengkritik kerajaan Soviet dengan menuduhnya tidak memberikan hak asasi manusia kepada warganegara Soviet. Pada tahun 1980, Sakharov ditangkap oleh pihak berkuasa Soviet dan dibuang negeri ke Gorki (kini Nizhniy Novgorod), iaitu bandar yang tertutup kepada orang asing. Pada tahun 1986, dia dibebaskan dan dibenarkan pulang ke Moscow. Pada tahun 1989, Sakharov dipilih menjadi ahli dewan perundangan Soviet yang baru dibentuk yang dinamakan Kongres Wakil Rakyat. | UMUM | |