NAGA LAUT | Naga laut ialah makhluk laut yang besar, yang mungkin makhluk khayalan. Sejak zaman purba, legenda kebanyakan bangsa telah menceritakan makhluk seperti naga laut, naga, dan unikon. Saksi telah melaporkan melihat naga laut, tetapi tiada satu pun makhluk bak ular ini dapat ditangkap atau terdampar di pantai. | UMUM | |
NAGA | Naga ialah haiwan mitos dalam sastera rakyat banyak budaya Eropah dan Asia. Legenda memerikan naga sebagai makhluk yang besar bak cicak, yang bernafas mengeluarkan api, dan mempunyai ekor yang panjang bersisik. Di Eropah, naga biasanya digambarkan sebagai haiwan yang ganas, yang melambangkan kejahatan yang ditentang oleh manusia. Tetapi di Asia, terutamanya di China dan Jepun, haiwan ini biasanya dianggap sebagai makhluk yang suka berkawan yang membawa tuah dan kekayaan. | UMUM | |
NAGA TERBANG | Naga terbang ialah nama yang biasanya diberi kepada cicak terbang di tenggara Asia dan Hindia Timur. Ia membesar sepanjang kira-kira 20 sentimeter. Ia sebenarnya tidak terbang, tetapi meluncur dengan menggunakan lipatan kulit yang mengembang pada rusuknya. Naga terbang tinggal di atas pokok dan meluncur dari pokok ke pokok untuk mencari makanan atau untuk mengelakkan musuhnya. Semasa berehat, ia melipatkan “sayap” pada sisi badannya. Pada musim mengawan, serangga jantan mengembangkan “sayap” yang berwarna terang untuk menarik perhatian serangga betina. | UMUM | |
SIEGFRIED | Siegfried ialah wira legenda kesusasteraan Jerman pada Zaman Pertengahan. Sebagai orang muda, Siegfried memperoleh harta karun Nibelung yang tidak terperi nilainya dan selubung yang boleh menjadikannya halimunan. Dia juga membunuh seekor naga dan mandi dengan darahnya untuk menjadikannya kebal. Walau bagaimanapun, sehelai daun linden terjatuh di bahagian belakangnya, di antara kedua-dua bahu, meninggalkan tanda yang tidak terlindung. | UMUM | |
ADAT PERTABALAN SULTAN KEDAH | ADAT PERTABALAN SULTAN KEDAH, upacara menabalkan Sultan Kedah yang baharu untuk menggantikan sultan yang mangkat. Bagi Negeri Kedah Darul Aman, peraturan istiadat pertabalan dibuat pada zaman pemerintahan Sultan Rijaluddin ibni Sultan Sulaiman (1625-1653) iaitu Sultan Kedah yang ke-13, yang bersemayam di Kota Naga. | BUDAYA | Konsep |
MAHJUNG | Mahjung juga dieja mah jong atau mah-jong ialah sejenis permainan orang Cina yang berkembang pada tahun 1800-an. Mahjung dipercayai berasaskan permainan yang dimainkan di China semenjak lebih kurang tahun 500 S.M. Mahjung sama dengan permainan rummy, iaitu sejenis permainan kad. Walau bagaimanapun, sebagai ganti kad, mahjung dimainkan dengan buah kecil, bersegi empat tepat yang diukir dengan lukisan dan lambang Cina. Terdapat 136 buah piawai yang terdiri daripada buah angin, buah naga dan tiga jenis sama bunga – titik, krak dan bam. Sama bunga diberi nombor dari 1 hingga 9. Terdapat empat buah yang serupa untuk setiap jenis. Kebanyakan set mahjung turut mempunyai lapan buah bonus yang mewakili bunga dan musim. | UMUM | |
TASIK CINI | TASIK CINI, sebuah tasik asli, terletak di lembah Sungai Pahang. Air Tasik Cini datang dari Sungai Pahang melalui anak sungainya, iaitu Sungai Cini. Dari Tasik Cini, air mengalir masuk ke dalam empat buah sungai: Sungai Gumuni, Sungai Jembarau, Sungai Malai dan Sungai Perupuk. Tasik Cini dikenali kerana legendanya, iaitu Naga Tasik Cini. | SEJARAH DAN ARKEOLOGI | Bandar/Negeri/Negara/Tempat |